10 Oktober 2010

Tatu purba digunakan sebagai rawatan

VIENNA – Beberapa tatu misteri berbentuk bulat yang ditemui di atas mumia yang berasal dari Chiribaya Alta di selatan Peru awal 1990 lalu, adalah daripada tumbuhan yang dibakar yang mungkin digunakan sebagai rawatan perubatan yang berfungsi sama seperti akupunktur.

Pakar Universiti Perubatan Graz Austria, Maria Anna Pabst berkata, tatu berlambang haiwan seperti burung, beruk dan reptilia pada mumia wanita berumur 1000 tahun itu dilukis menggunakan abu atau jelaga di atas tangan, lengan dan kaki kirinya.

Menurutnya, terdapat juga tatu berbentuk bulat bertindih yang dihasilkan daripada tumbuhan yang dibakar pada leher mumia tersebut.

“Setiap lakaran tatu itu mempunyai tujuan yang tertentu,” katanya.

Pabst percaya tatu berbentuk bulat itu kemungkinan adalah sebahagian daripada proses pemulihan atau amalan ritual manakala lambang haiwan itu adalah sebagai perhiasan.

Haba komputer bimbit rosakkan kulit

CHICAGO - Meletakkan komputer bimbit di atas peha secara kerap dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan 'sindrom kulit hangus' iaitu keadaan kulit yang berbintik akibat pendedahan terlalu lama kepada haba, menurut laporan perubatan.

Dalam kes terbaru, seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun melaporkan keadaan kulit pada peha kirinya yang bertompok-tompok dan kehilangan warna selepas bermain permainan komputer beberapa jam setiap hari selama beberapa bulan.

Kesan buruk haba komputer bimbit terhadap kulit berlaku kerana suhu bahagian bawah komputer bimbit boleh mencecah 51 darjah Celcius.

Pengeluar komputer bimbit termasuk Apple, Hewlett Packard dan Dell memperingati pengguna supaya tidak meletakkan komputer di atas kulit yang terdedah untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan kulit terbakar.

Maut bahana permainan seks


Lionel Webster

BARLASTON – Seorang ahli perniagaan di Britain mati dijerut kolar besi berpaku ketika dia tergantung pada bumbung bilik permainan seks di rumah sepasang suami isteri, lapor sebuah akhbar semalam.

Mangsa, Lionel Webster memakai sut gaya tahanan Teluk Guantanamo dan but kulit apabila dia sesak nafas dalam permainan seks di kediaman pasangan Colin Richardson, 75 dan isterinya yang berusia 68 tahun, Anne Richardson di sini, England.

Akhbar The Sun melaporkan bahawa inkues kes itu pada Khamis lepas mendapati Webster, 61, merupakan pelanggan tetap sesi seks sadis itu dengan bayaran £150 (RM745) bagi satu sesi.

Dia gemar meminta dirinya ‘diseksa’ seperti seorang tahanan tentera.

Selepas puting dan kemaluan Webster dikapit dan dirantai, Anne menyambungkan rantai pada kolar leherWebter dan menggantungnya.

Mereka cuba membuka kolar itu selepas mendapati dia terjerut dan lemas tetapi gagal kerana mangsa menguncinya dan menyembunyikan kunci di salah satu poket sut tahanannya.

Berdepan situasi cemas, pasangan itu yang berkahwin selama 49 tahun, membuat panggilan kecemasan.

Polis kemudian menemui sejumlah tali, cemeti, alat bantuan seks, seluar dalam kulit dan beberapa buku seks sadis di bilik berkenaan.

Pasangan itu pada awalnya ditangkap, tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwa raya berpuas hati kes itu tiada unsur jenayah. – Agensi

DUIT