RASULULLAH SAW bersabda bahawa orang fakir masuk syurga lebih dulu
selama beberapa waktu daripada orang kaya. Boleh jadi, hal ini tidak
berlaku umum kerana sebahagian orang kaya ada yang termasuk orang
sentiasa bersyukur, memuji, mengabdi dan membenarkan Allah SWT. Mereka
memiliki keutamaan yang besar serta konsisten dalam ketaatan dan
pengabdian.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Takutlah
kepada Allah dalam hal orang fakir kerana pada hari kiamat, Allah SWT
berfirman: Di mana makhluk pilihan-Ku? Malaikat menjawab: Wahai Tuhanku,
siapakah mereka? Allah SWT berfirman: Orang fakir yang sabar dan rela
terhadap takdir-Ku. Mereka akan Aku masukkan ke dalam syurga. Rasulullah
SAW melanjutkan sabdanya: Kemudian orang fakir itu masuk syurga lalu
makan dan minum, sementara orang kaya masih sibuk dalam penghitungan
amal mereka.”
Imam Tirmizi meriwayatkan hadis dari Abu Sa’id Al-Khudri bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang fakir yang berjuang di
jalan Allah akan masuk syurga sebelum orang kaya, dengan jarak 500
tahun.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk
mengabdi kepada Allah, rela dan sabar terhadap kefakiran sehingga
lisan mereka keluar kata pujian kepada Allah, bersyukur dan menghambakan
diri kepada Allah. Mereka
akan memperoleh kemuliaan pada hari kiamat, ketika mereka masuk syurga
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang fakir akan
masuk syurga terlebih dulu daripada orang kaya, selama setengah hari
akhirat, iaitu 500 tahun dunia.” (Hadis riwayat Tirmizi) Ia berkata
hadis ini hasan sahih.
Hadis itu menunjukkan satu makna bahawa
orang fakir akan masuk syurga lebih dulu. Dengan catatan mereka termasuk
orang yang sabar, mengabdi kepada Allah, rela dan sabar terhadap
kefakiran mereka selama hidup di dunia sehingga dari lisan mereka keluar
kata-kata pujian kepada Allah bersyukur serta menghambakan diri kepada
Allah.
Mereka inilah orang yang akan memperoleh kemuliaan pada
hari kiamat, ketika mereka masuk syurga. Pada hari kiamat nanti Allah
akan berfirman kepada orang yang sabar terhadap kefakirannya yang
bermaksud: “Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu
kerjakan pada hari yang telah lalu.” (Surah Al-Haqqah, ayat 24)
Ertinya,
kesusahan yang telah engkau peroleh di dunia kerana fakir, benar-benar
terasa perih buat kamu. Hal itu bukan cita-cita dan keinginan kamu
tetapi semata-mata kehendak Allah.
Berapa banyak ayat Allah yang mendorong orang mukmin rajin menabung
dengan tabungan amal kebajikan. Allah akan melipatgandakan tabungan itu
selama di dunia dan mereka dapat memetik hasilnya berupa pahala yang
besar di akhirat nanti.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesiapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah
melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan
melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya kamu dikembalikan.” (Surah
Al-Baqarah, ayat 245)
Banyak ayat al-Quran yang mengisyaratkan
adanya kelebihan dan perbezaan darjat dalam segala sesuatu, bahkan
antara para malaikat Al-Muqarrabun, Nabi dan Rasul. Demikian juga,
antara manusia pada umumnya. Ini ketentuan Allah (sunnatullah) terhadap
makhluk-Nya dan kesempurnaan hikmah dari Allah.
Hakikat kelebihan
dan perbezaan darjat ini tidak terletak pada ketakutan seseorang kepada
Allah. Hal ini terjadi semata-mata kerana ilmu dan keutamaan dari
Allah. Sedangkan, kelebihan manusia adalah kerana amal, ilmu, ijtihad
dan kesabarannya.
Antara nabi, ada yang dikenali sebutan Ulul
Azmi, sedangkan sebahagian lain tidak memperoleh sebutan demikian.
Sebahagian manusia ada yang menjadi pejuang (mujahid), mempunyai
keutamaan tetapi sebahagian tidak memiliki semua itu.
Oleh itu,
antara manusia ada memperoleh darjat dan kelebihan dari Allah yang
berbeza dengan yang lainnya. Hal ini berdasarkan ketinggian darjat
manusia dan amal perbuatannya selama di dunia.