29 Oktober 2010

Ular paling panjang di zoo mati


GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan ular sawa sepanjang 7.3 meter di Zoo Columbus, Ohio.


COLUMBUS, Ohio - Seekor ular sawa yang paling panjang di Zoo Columbus di sini ditemui mati pada pagi kelmarin kerana menghidap tumor.

Haiwan sepanjang 7.3 meter yang diberi nama Fluffy dan seberat 136 kilogram itu disenaraikan dalam Guinness World of Records sebagai ular paling panjang pernah tinggal dalam zoo.

Ular berusia 18 tahun itu berjaya menarik minat kehadiran ramai pengunjung di zoo tersebut sejak ia dipamerkan pada 2007.

Ular sawa paling panjang yang pernah direkodkan ialah sepanjang 9.9 meter yang mati dibunuh pada 1912 di Indonesia. - AP

Kemenangan penari bogel ditarik balik


JANA KADERAVKOVA

SAAZ, Republik Czech - Pemenang satu pertandingan ratu cantik di sini, Jana Kaderavkova ditarik balik selepas dia mengaku pernah bekerja sebagai penari bogel dan bergambar erotik untuk sebuah majalah bogel, lapor sebuah akhbar semalam.

Kaderavkova yang berumur 20 tahun membuat pendedahan itu semasa dia dimahkotakan sebagai pemenang Permaisuri Bir baru-baru ini.

Semasa diwawancara selepas diumumkan sebagai pemenang dia berkata: "Saya bekerja di sana (Itali) sebagai seorang penari bogel, bergambar untuk majalah bogel dan saya merupakan gadis cuaca erotik di televisyen."

Mendengar pendedahan wanita itu, wakil pihak penganjur Petr Simacek berkata, peserta yang melakukan kerja-kerja erotik dilarang daripada menyertai pertandingan tersebut.

Kaderavkova yang mendengar keputusan untuk menarik balik gelaran itu menjadi marah dengan menyatakan pihak penganjur sepatutnya bertanya kepadanya mengenai latar belakang dirinya sebelum dia dibenarkan bertanding. - Agensi

Lelaki miliki mulut paling lebar


KEDUA-DUA tangan Francisco Domingo Joaquim menarik mulutnya yang lebar.


ROM, Itali - Seorang lelaki, Francisco Domingo Joaquim dapat memuatkan satu tin minuman ringan di dalam mulutnya, lapor sebuah akhbar semalam. Joaquim yang berasal dari Angola memiliki mulut selebar 17 sentimeter sekali gus namanya dicatatkan dalam Guinness World of Records.

Bakat Joaquim yang dikenali sebagai Chiquinho itu ditemui oleh beberapa penyelidik Guinness Book of World Records yang mencarinya menerusi laman YouTube di internet.

Selepas dua tahun mencarinya, para penyelidik itu dapat berjumpa dengannya di bandar kelahirannya di Angola.

Sejak itu, Joaquim yang berusia 20 tahun menjadi popular di Internet dengan videonya dilihat ribuan kali.

Joaquim menyatakan, mimpinya menjadi kenyataan apabila dia diberikan penghormatan oleh Guinness Book of World Records yang mencatatkan namanya sebagai pemegang rekod dunia kerana memiliki mulut paling lebar. - Agensi

Kereta James Bond dilelong RM12.8 juta


GAMBAR menunjukkan kereta Aston Martin DB5.


LONDON - Sebuah kereta Aston Martin DB5 berwarna perak yang pernah dipandu oleh pelakon Sean Connery dalam filem Goldfinger dan Thunderball dilelong di sini kelmarin pada harga £2.6 juta (RM12.8 juta).

Kereta unik yang mempunyai mesingan, nombor pendaftaran yang boleh berputar dan gear khas itu dibeli oleh pengumpul kenderaan klasik dari Ohio, Amerika Syarikat (AS), Harry Yeaggy.

Yeaggy, seorang ahli perniagaan yang mempunyai sebuah muzium peribadi di Ohio, berkata, dia tidak sabar untuk memandu kereta itu yang boleh bergerak selaju 233 kilometer sejam.

Menurutnya, kereta itu tidak pernah dilelong sebelum ini menyebabkan ia menjadi daya tarikan tinggi kepada pengumpul kereta klasik.

Pemilik asal kereta itu ialah pemilik stesen radio WBEB dari Philadelphia, AS, Jerry Lee.

Lee membeli kereta itu pada 1969 dengan harga AS$12,000 (RM37,296).

Lee berkata, hasil lelongan itu akan disumbangkan kepada sebuah yayasan miliknya untuk melakukan projek pendidikan dan antijenayah di peringkat antarabangsa.

Menurut, Ketua Pengarang majalah Classic & Sports Car Magazine, Mick Walsh, ia merupakan satu-satunya kereta filem James Bond yang tulen.

Kereta itu turut dilengkapi dengan alat pengesan, bumbung yang boleh dibuka, penyembur minyak, alat pelindung kalis peluru dan skrin asap.

Semua peralatan itu dikawal oleh togol dan suis tersembunyi.

Kereta Aston Martin itu dibuat dengan gabungan reka bentuk Itali dan kejuruteraan Britain.

Filem James Bond telah mempopularkan kereta Aston Martin walaupun kenderaan buatan tangan itu dianggap dijual pada harga yang amat mahal. - Agensi

Terselamat selepas kereta sport melayang


KERETA sport Lamborghini Gallardo.


DALLAS - Seorang pelumba, Richard Holt, 40, tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kereta sport Lamborghini Gallardo bernilai AS$238,871 (RM742,963) yang dipandunya di trek Texas Mile di Amerika Syarikat melayang dan berpusing beberapa kali selepas dirempuh angin lintang pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada mulanya, dia memandu selaju 378 kilometer sejam sebelum membrek dan kereta itu mengeluarkan payung terjun untuk memperlahankan kelajuan.

Namun, angin lintang yang kuat menyebabkan kereta itu tidak stabil menyebabkan ia terbabas dan melayang sebelum berpusing beberapa kali dan terhempas.

Anggota-anggota penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan mereka mendapati Holt cuma terperangkap di dalam kereta itu dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan. - Agensi

DUIT