06 Oktober 2016

Kekayaan Trump susut RM3.2 bilion



AFP - AKSI Trump semasa berkempen di Prescott Valley, Arizona kelmarin.


NEW YORK – Hasrat Donald Trump untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) dilihat menjejaskan kewangannya apabila kekayaan calon Parti Republikan itu susut sehingga AS$800 juta (RM3.2 bilion) tahun lalu, kata majalah Forbes kelmarin.
Menurut Forbes, Trump menjunam 35 anak tangga dalam senarai individu terkaya AS itu.

Majalah perniagaan tersebut menyatakan, taikun hartanah itu kini mempunyai kekayaan AS$3.7 bilion (RM15.3 bilion), merosot berbanding AS$4.5 bi­lion (RM18.6 bilion) pada Mac lalu. Trump sebelum ini bercakap besar bahawa asetnya berjumlah AS$10 bilion (RM41.3 bilion).

Malah, beliau menjadikan kekayaannya sebagai modal untuk meraih sokongan dalam kempen untuk menduduki kerusi White House.

Kata Forbes, kedudukan bilionair itu dalam senarai 400 individu terkaya AS telah merosot dengan beliau kini menduduki tangga ke-156.

“Kelembapan pasaran harta­nah Bandar Raya New York terutamanya dalam sektor peruncitan dan pejabat menyaksikan nilai hartanah semakin menurun dan menyebabkan kekayaannya merosot,” demikian menurut majalah tersebut.

Forbes yang menilai 28 aset Trump menyatakan, sebanyak 18 asetnya mengalami kejatuhan nilai termasuk bangunan Trump Tower di New York dan kelab persendiriannya di Palm Beach, Florida.

Trump memperuntukkan sebanyak AS$7 juta (RM29 juta) untuk kempen politiknya dan menyuntik dana tambahan berjumlah AS$48 juta (RM199 juta) yang dikira sebagai perbelanjaan hangus, kata Forbes.

Beliau memulakan kempen politiknya pada Jun 2015.

Sementara itu, bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg menduduki tangga keenam senarai berkenaan.

Pengasas gergasi teknologi Mic­rosoft, Bill Gates sekali lagi berada di tempat pertama senarai Forbes dengan kekayaan bersih bernilai AS$81 bilion (RM335.2 bilion). Malah, Gates mengungguli senarai sama selama 23 tahun berturut-turut.

Kesemua bilionair AS dalam senarai Forbes kali ini memiliki kekayaan keseluruhan mencecah AS$2.4 trilion (RM9.9 trilion) meningkat daripada AS$2.34 trilion (RM9.6 trilion) pada 2015.
– AFP

Aset tersembunyi RM1.1 trilion



REUTERS - ORANG ramai mengunjungi kaunter program pengampunan cukai di ibu pejabat percukaian di Jakarta, Indonesia pada 30 September lalu.


JAKARTA – Indonesia memuji program pengampunan cukainya sebagai kejayaan besar selepas mengumpulkan 97.2 trilion rupiah (RM30.6 bilion) dalam tempoh beberapa bulan pertama, namun semakin ramai mengkritik skim kontroversi itu kerana membiarkan golongan paling kaya bebas walaupun tidak membayar cukai.

Pihak berkuasa melaksanakan program pengampunan atau amnesti itu pada Julai lalu supaya rakyat Indonesia mengisytiharkan aset tersembunyi masing-masing.
Sebagai balasan, mereka ha­nya dikenakan penalti jauh lebih rendah berbanding cukai sedia ada.

Fasa pertama skim pengampunan tersebut ditutup minggu lalu dan mendapat sambutan di luar jangkaan. Rakyat yang membuat perisytiharan aset cuma perlu membayar penalti dua peratus daripada kekayaan mereka.

Menurut kementerian kewangan, lebih 350,000 orang mengisytiharkan aset tersembunyi masing-masing berjumlah 3,260 trilion rupiah (RM1.1 trilion) dengan nilai penalti mencecah 97.2 trilion rupiah.

Presiden Joko Widodo kini terdesak untuk mendapatkan wang tambahan bagi membangunkan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu selepas dua tahun berkuasa.
Usaha beliau mengubah ke­lembapan ekonomi Indonesia sebelum ini dilihat kurang berjaya.

Pemerintah berharap program itu dapat mengembalikan dana mencecah puluhan bilion dolar yang disimpan di luar negara terutamanya di negara jiran, Singapura.

Selain itu, Jakarta juga berharap inisiatif sama dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk membayar cukai. Di Indonesia, cuma 10 peratus daripada 250 juta penduduknya merupakan pembayar cukai berdaftar.

Antara taikun perniagaan yang menyertai program pengampunan itu termasuk Tommy Suharto yang merupakan anak lelaki bekas diktator Indonesia, Suharto dan bos konglomerat Lippo Group, James Riady.

Pengampunan cukai tersebut bagaimanapun mendapat tentangan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia. NGO-NGO tempatan mendakwa golongan kaya di negara itu dilabel sebagai wira walaupun apa yang mereka lakukan hanyalah membayar cukai yang sepatutnya sudah menjadi tanggungjawab masing-masing.

“Imej yang dipaparkan adalah mereka yang mengambil bahagian dalam program ini merupakan wira yang membantu membangunkan negara.

“Sedangkan kita semua tahu bahawa hanya mereka yang tidak membayar cukai akan menyertainya,” kata aktivis NGO tempatan, Firdaus Illyas.
Inisiatif tersebut akan berakhir pada Mac tahun depan. – AFP

DUIT