26 Mei 2011

Hotel pokok di Sweden


SEBUAH kontena yang dijadikan hotel diletakkan di celah-celah pokok dekat bandar Harads, Sweden.


STOCKHOLM - Hotel pokok untuk dihuni oleh orang ramai terdapat di sebuah kawasan hutan dekat bandar Harads, Sweden, lapor sebuah akhbar semalam.

Bilik-bilik hotel itu diletakkan pada ketinggian beberapa meter di celah-celah beberapa pokok dan diberi pelbagai nama seperti The Bird's Nest dan The Blue Cone.

Katil dan pelbagai kemudahan lain disediakan dalam kontena yang diubah suai menjadi bilik hotel termasuk tingkap kaca yang besar bagi membolehkan penghuni melihat pemandangan indah hutan.

"Idea hotel itu ialah untuk mencipta sesuatu yang selesa, hotel yang membolehkan orang ramai tinggal dengan harmoni bersama alam semula jadi di atas pokok," kata pencipta hotel tersebut, Kent Lindwall.

Dia mencipta hotel itu bersama dengan isterinya, Britta Jonsson Lindvall pada tahun lalu.

"Setiap bilik direka supaya mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan kebanyakan bilik mempunyai dua katil, tempat duduk tetapi tiada televisyen," tambahnya.

Menurutnya, tangga kayu dan tali disediakan bagi membolehkan orang ramai menaiki hotel itu.

Hotel itu dicat dengan bahan yang membolehkan burung melihatnya pada waktu malam bagi mengelak ia dilanggar.

Kadar menginap untuk satu malam di hotel itu ialah AS$633.18 (RM1,937). - Agensi

Agnes Monica sakit punggung dirawat di hospital




JAKARTA - Penyanyi popular Indonesia, Agnes Monica (gambar) menjalani rawatan di sebuah hospital di sini akibat mengalami kecederaan di bahagian punggung, lapor laman berita Vivanews semalam.

Agnes yang berusia 24 tahun itu dan terkenal dengan lagu Tanpa Kekasihku mengaku menerima rawatan di hospital menerusi kenyataannya di laman Twitter miliknya.

Dalam kenyataan itu Agnes menjelaskan: "Berada di hospital.. cedera punggung."

Sementara itu, jurucakap pihak pengurusan penyanyi dan pelakon tersebut, mengaku Agnes mendapatkan rawatan di hospital, namun dia tidak dapat mengulas lebih lanjut.

"Iya, benar memang dirawat di rumah sakit. Apakah cedera punggung? Saya tidak tahu. Saya belum tahu kondisinya," katanya semalam.

Agnes baru-baru ini berduet dengan artis Amerika Syarikat (AS), Michael Bolton menerusi lagu berjudul Said I Loved You But I Lied yang pernah popular sekitar tahun 90-an. - Agensi

Jutawan Malaysia pelihara 30 ekor anjing RM39.83 juta


KENNY LAI bergambar bersama seekor anjing baka Mastiff Tibet di penthouse miliknya di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Seorang jutawan Malaysia, Kenny Lai mungkin dianggap pencinta haiwan peliharaan paling mewah di Malaysia apabila memiliki 30 anjing baka Mastiff Tibet bernilai lebih £8 juta (RM39.8 juta), lapor sebuah akhbar dalam talian semalam.

Jutawan berkenaan sanggup menjelajah ke seluruh dunia bagi mencari baka yang 100 peratus tulen kerana haiwan tersebut dianggap sebagai raja segala anjing.

"Berdasarkan nilai pasaran terkini, 30 anjing yang saya miliki sekarang bernilai lebih dari £8 juta, "katanya seperti yang disiarkan di laman berita mailonline. Dia memelihara kesemua anjing di sebuah penthouse mewah miliknya di Kuala Lumpur.

Lebih menarik lagi apabila tempat peliharaan berkeluasan 5,000 meter persegi yang dilengkapi pendingin hawa dingin turut mempunyai pasukan penjaga, jurulatih dan doktor haiwan bagi merawat anjing tersebut.

Penakluk agung, Genghis Khan bersama angkatan tenteranya menggunakan 30,000 haiwan tersebut ketika cuba menakluk Eropah Barat

Penduduk tempatan percaya anjing itu memiliki roh sami-sami yang tidak cukup baik dijelmakan sebagai manusia atau untuk ke syurga.

Dia pada mulanya membeli sembilan anjing itu pada harga £3.2 juta (RM15.95 juta) sebelum membiaknya.

Di United Kingdom, anjing tersebut bernilai di antara £850 (RM4,238) dan £1,000 (RM4,986) bagi setiap seekor anak haiwan itu.

- Agensi

DUIT