16 November 2010

Megamind kekal filem terlaris minggu ini


SATU adegan filem animasi Megamind memaparkan watak Roxanne Ritchi yang menggunakan suara Tina Fey (kiri) dan Megamind, suara oleh Will Ferrell. - AP

LOS ANGELES 15 Nov. - Filem animasi komedi anti-superhero, Megamind yang menggunakan suara Will Ferrell terus mengungguli carta box office di Amerika Utara buat kali kedua minggu ini dengan mengutip jualan tiket berjumlah AS$30.06 (RM93.9 juta), semalam.

Menurut penjejak box office, Exhibitor Relations, filem 3D terbitan DreamWorks Animation yang turut menampilkan suara Brad Pitt, Tina Fey dan Jonah Hill itu berjaya mengatasi pencabar terdekat iaitu filem Unstoppable walaupun mencatatkan kutipan yang menggalakkan bagi tayangan pembukaannya.

Membariskan bintang seperti Denzel Washington dan Chris Pine sebagai dua watak utama yang berani untuk cuba menghalang pelanggaran sebuah keretapi yang gagal dikawal serta dipenuhi dengan bahan kimia berbahaya, Unstoppable menduduki tangga kedua dengan memperolehi kutipan tiket berjumlah AS$23.5 juta (RM73.6 juta).

Filem komedi perjalanan dengan kereta, Due Date menampilkan teman sepengembaraan yang pelik lakonan Robert Downey Jr. dan Zach Galifianakis di tangga ketiga dengan mengutip jualan tiket sebanyak AS$15.5 juta (RM48.5 juta).

Di tangga keempat ialah filem baru, Skyline yang mencatatkan kutipan memberansangkan pada tayangan pembukaan dengan merai AS$11.7 juta (RM36.6 juta). Filem sains fiksyen thriller yang sarat dengan kesan khas itu menampilkan Eric Balfour dan Scottie Thompson yang bertindak menentang sebuah kapal angkasa makhluk asing di Los Angeles.

Filem romantik komedi, Morning Glory yang dibintangi Harrison Ford, Diane Keaton dan Rachel McAdams sebagai hos bersama dan penerbit yang cuba untuk menghidupkan semula sebuah rancangan televisyen yang kurang mendapat sambutan, memulakan tayangan pembukaan di tangga kelima dengan kutipan tiket sebanyak AS$9.6 juta (RM29.9 juta).

Di tangga keenam dengan kutipan tiket sebanyak AS$6.8 juta (RM21.2 juta) ialah filem arahan Tyler Perry, For Colored Girls yang menampilkan persembahan antaranya oleh Whoopi Goldberg and Janet Jackson dalam sebuah adaptasi persembahan pentas, Ntozake Shange.

Filem Red mengisahkan ejen perisik yang kembali berkhidmat selepas bersara dengan menampilkan pelakon-pelakon seperti Bruce Willis, Morgan Freeman, John Malkovich dan Helen Mirren berada di tangga ketujuh dengan memungut kutipan tiket berjumlah AS$5.1 (RM15.9 juta). Ia menjadikan jumlah keseluruhan kutipan tiket bagi filem itu sepanjang lima minggu sebanyak AS$79.8 juta (RM248.3 juta).

Jatuh ke tangga kelapan ialah filem Paranormal Activity 2 yang mendakwa memaparkan hantu yang dirakam menggunakan kamera pengasuh kanak-kanak. Ia memperolehi kutipan tiket berjumlah AS$3 juta (RM9.3 juta) dan menjadikan pungutan tiket keseluruhan sepanjang empat minggu sebanyak AS$82 juta (RM225.1 juta).

Filem seram Saw 3D jatuh di tangga kesembilan dengan kutipan tiket sebanyak AS$2.8 (RM8.8 juta) selepas berjaya menakut-nakutkan penonton dan mendominasi carta box office pada hujung minggu Halloween. Filem itu mencatatkan jumlah kutipan keseluruhan berjumlah AS$43.5 juta (RM136.3 juta).

Tangga ke-10 carta pula diisi oleh filem Jackass 3D yang dibintangi Johnny Knoxville dengan mengutip jualan tiket berjumlah AS$2.3 juta (RM7.2 juta). Filem komedi slapstick itu memperolehi jumlah keseluruhan kutipan tiket sepanjang lima minggu berjumlah AS$114.7 juta (RM359.3 juta). - AFP

Anak bilionair ditinggal kekasih selepas cedera


GEORGINA BLOOMBERG

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Anak perempuan Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg dirundung malang selepas dia ditinggalkan kekasihnya dalam keadaan dirinya mengalami kecederaan tulang belakang, lapor sebuah akhbar semalam.

Anak perempuan datuk bandar itu, Georgina Bloomberg, 27, ditinggalkan kekasihnya Joey Cheek, 31, yang merupakan seorang ahli sukan, empat hari selepas dia cedera akibat terjatuh sewaktu menunggang seekor kuda baru-baru ini.

"Saya menyintai lelaki ini dengan sepenuh hati tetapi dia memutuskan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk memutuskan hubungan. Saya berasa terkilan," kata Georgina semasa berehat di kediamannya.

"Perpisahan ini lebih sukar buat saya kerana ia berlaku ketika saya cedera dan tidak boleh berbuat apa-apa," tambahnya.

Namun, menurut Georgina, dia tidak akan menyimpan dendam terhadap lelaki tersebut.

"Kami mungkin bertemu semula dan menjadi rakan suatu hari nanti," katanya.

Cheek yang merupakan pemenang pingat emas acara luncur ais Sukan Olimpik jatuh cinta dengan anak bongsu datuk bandar berkenaan selepas mereka berkenalan dalam satu acara fesyen di AS pada September lalu.

Michael Bloomberg merupakan orang ke-10 terkaya di AS dengan anggaran kekayaannya mencecah AS$18 bilion (RM56 bilion). - Agensi

Pemain bola sepak paling tua


Dicky Borthwick

WEYMOUTH, England - Seorang pemain sayap paling tua di bandar ini, Dicky Borthwick masih mewakili pasukan veterannya, Wyke Rangers walaupun dia sudah berumur 75 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Pada hujung minggu ini dia akan bermain mewakili pasukannya itu di Stadium Bob Lucas di bandar Wymouth di depan ratusan peminatnya.

Dia sudah bermain bola sepak selama 63 tahun sejak mula bermain pada 1947 ketika berumur 12 tahun.

"Saya mula bermain di Rossshire di Scotland semasa berumur 12 tahun dan kemudian saya berpindah ke Weymouth ketika berusia 16 tahun.

"Saya memperoleh pekerjaan pertama di Weymouth," katanya.

Borthwick berkata, kebolehannya bermain bola sepak menyebabkan dia diberikan pekerjaan.

"Saya tidak pernah digantikan semasa bermain," tambahnya.

Borthwick telah menjaringkan hampir 400 gol sepanjang dia bermain bola sepak. - Agensi

Saintis cipta bintang kecil RM11 bilion


GAMBAR menunjukkan bentuk bintang kecil yang sedang dalam pembinaan di Livermore, California.

LIVERMORE - Saintis-saintis sedang membina sebuah reaktor lakuran lestari pertama di dunia dengan mencipta sebutir bintang kecil di California, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam

Projek bintang kecil berharga AS$3.5 bilion (RM11 bilion) itu dibina oleh Fasiliti Penyalaan Kebangsaan (NIF) bagi menjana tenaga untuk menyelesaikan krisis kekurangan tenaga dunia yang semakin meruncing.

Lakuran merujuk kepada pencantuman dua atau lebih nukleus atom yang menghasilkan banyak tenaga.

Apabila siap pada tahun 2012, bintang kecil itu berpotensi menjana tenaga menyamai 1,135 liter petrol dengan menggunakan cuma 3.7 liter air laut.

Satu siri ujian menunjukkan tenaga yang dibebaskan bintang kecil itu mencecah 1.3 juta mega joule (MJ) sekali gus mencatat rekod dunia.

"Reaktor lakuran juga mesra alam dan bebas pencemaran karbon selain menghasilkan sisa radioaktif yang lebih mudah untuk disimpan berbanding loji nuklear," kata Pengarah NIF, Ed Moses. - Agensi

DUIT