25 Ogos 2011

Kapsul belon untuk pelancong lihat Bumi


KAPSUL yang bergerak ke lapisan stratosfera Bumi dengan belon.


BARCELONA - Sebuah syarikat Sepanyol mencipta sebuah kapsul yang akan membawa pelancong ke stratosfera Bumi dengan menggunakan belon helium pada 2013, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Stratosfera berada pada ketinggian di antara 12 hingga 50 kilometer dari Bumi.

Syarikat Zero 2 Infinity itu mengenakan tambang sebanyak £90,000 (RM442,734) untuk setiap pelancong yang berada di dalam kapsul tersebut selama lima jam.

Para pelancong akan menikmati pemandangan Bumi. Kapsul tersebut direka supaya mereka boleh memakai baju-T semasa berada di dalamnya.


BENTUK kapsul yang akan dinaiki oleh pelancong.


Ketua Pegawai Eksekutif Zero 2 Infinity, Jose Mariano Lopez-Urdiales berkata, dia mendapat idea untuk melaksanakan projek tersebut sepuluh tahun lalu.

Setakat ini tiga ujian sudah dilakukan pada jarak 32.18 kilometer dari bumi.

Para pelancong akan disajikan makanan semasa mereka berada di dalam kapsul itu. - Agensi

Nelayan tangkap ketam ganjil


RUPA bentuk ketam ganjil yang kini dipelihara di Akuarium Blue Reef, Southsea, Hampshire, Britain.


SOUTHSEA - Seorang nelayan menangkap seekor ketam ganjil yang wajahnya dikatakan mirip makhluk asing dalam filem Predator yang dibintangi pelakon Arnold Schwazenegger pada tahun 1980-an, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketam itu kini ditempatkan di Akuarium Blue Reef di Southsea, Hampshire, Britain selepas haiwan tersebut diserahkan untuk dipamerkan baru-baru ini.

Haiwan tersebut turut dikenali sebagai ketam span dan ia boleh menyamar dan mengelak daripada dilihat menerusi pemandangan mata semasa haiwan tersebut berada di dasar laut.

Ketam itu akan dipamerkan kepada orang ramai selepas ia selesai dikuarantin. - Agensi

DUIT