06 Januari 2012

Teknologi terkini ganti manual



PANDANGAN mata semakin kabur namun sering dianggap sebagai kesan biasa akibat keletihan. Apabila melihat objek berwarna, yang kelihatan hanyalah warna kelabu. Adakah anda sering mengalami situasi tersebut?

Jika ya, jangan bertangguh untuk berjumpa dengan pakar mata kerana anda berkemungkinan menghidapi masalah katarak pada mata.

Lazimnya, katarak merupakan penyakit mata semula jadi dalam kalangan warga emas. Ia juga menjadi penyebab utama kerosakan penglihatan dan kebutaan di Malaysia dengan peningkatan tinggi iaitu sebanyak 23 peratus dari tahun 2008 ke 2009.

Peningkatan populasi warga emas Malaysia yang kini mencapai angka lebih lima juta orang pada tahun 2012, telah membawa kepada kepentingan saringan ujian mata untuk pengesanan awal penyakit mata semula jadi golongan itu.

Pada masa yang sama, permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti pula semakin meningkat.

Menurut Ketua Pakar Bedah Oftalmik Pusat Pakar Mata Vista, Dr. Aloysius Low, apabila mencecah usia 45 tahun ke atas, sesetengah individu akan mengalami masalah penglihatan seperti kehilangan kejelasan dan perbandingan warna (meluntur atau berubah) disebabkan katarak.

“Katarak ialah kekaburan pada kanta semula jadi dalam mata yang menghalang laluan cahaya ke dalam mata.

“Individu yang mengalami katarak menghadapi kesukaran melakukan rutin harian kerana penglihatan kabur walaupun selepas memakai dan sering menukar cermin mata,” katanya.

Silau cahaya

Tambah Aloysius, selain mengalami masalah penglihatan berganda dan masalah silau kerana sinar lampu atau matahari, penglihatan malam mereka juga terjejas akibat silau daripada lampu kenderaan dan lampu isyarat. Secara tidak langsung, pemanduan pada waktu malam sesuatu yang amat mencabar.


PERBEZAAN mata normal dan mata yang mengalami masalah katarak.


Seramai lapan juta orang di seluruh dunia menghidap katarak dan ia merupakan punca utama kebutaan di dunia selepas glaukoma.

“Bukan orang tua sahaja yang berisiko menghidap katarak malah, orang muda juga cenderung menghidapinya akibat diabetes dan penggunaan steroid.

“Katarak boleh terjadi pada sebelah mata dan kedua-dua belah mata malah, boleh terdapat lebih daripada satu bentuk katarak pada mata yang sama,” ujarnya.

Terdapat tiga tahap katarak iaitu katarak tidak matang, matang dan terlampau matang.

Sekiranya seseorang itu mampu melihat dengan sebahagian daripada penglihatannya, ini bermakna kanta matanya masih mempunyai kawasan yang jelas dan ini dikenali sebagai katarak tidak matang.

“Jika seseorang itu penglihatannya semakin buruk, dia harus segera berjumpa dengan pakar mata dengan kadar segera lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai sejarah diabetes.

“Disebabkan teknologi pembedahan dan kanta semakin canggih, masalah buta serta kerosakan penglihatan yang disebabkan oleh katarak kini sudah boleh dielakkan,” katanya.

Jelasnya lagi, katarak kini boleh disembuhkan melalui pembedahan yang hanya mengambil masa singkat dengan menggunakan kaedah pembedahan katarak tanpa pisau LenSx.

Ia adalah teknologi terbaharu merawat katarak menggunakan laser yang diperkenalkan oleh Vista iaitu salah sebuah pusat pakar mata terulung di Malaysia sejak 1999. Dengan kerjasama Alcon Laboratories (M) Sdn. Bhd. (Alcon), Vista menjadi pusat pakar mata pertama yang menawarkan kepakaran tersebut di Malaysia.

Teknologi tinggi

Inovasi teknologi Laser LenSx membolehkan pakar bedah melakukan prosedur pembedahan katarak yang paling rumit yang sebelum ini hanya dilakukan secara manual.

Laser LenSx menawarkan ciri-ciri gambaran panduan imej berteknologi tinggi berintegrasi yang membolehkan pakar bedah merancang dan melaksanakan segala langkah pembedahan dengan jitu.

Ia meningkatkan keupayaan pakar bedah untuk membuat teknik membuang kapsul lensa hadapan (anterior kapsulorheksis). Teknologi tersebut meramal secara tepat bagi memecahkan lensa seterusnya mengeluarkannya secara efektif.


PEMBEDAHAN katarak secara manual bukan sahaja lambat sembuh malah mengambil masa lebih lama berbanding pembedahan tanpa pisau LenSx.

Diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) sejak 2009, Laser LenSx seterusnya menerima Full Quality Assurance daripada British Standards Institution dan kebenaran daripada TGA Australia pada tahun 2011.

Teknologi Laser LenSx telah digunakan di Amerika Syarikat sejak 2010.

Teknologi Pembedahan Katarak Tanpa Pisau LenSx yang diperkenalkan di Vista membolehkan pakar bedah melakukan pembelahan teliti dan tepat yang biasanya tidak mampu dilakukan dengan peralatan yang dipegang dengan tangan.

Laser LenSx berkomputer membolehkan pakar bedah membuat potongan 2.2 milimeter ke atas kapsul lensa untuk memecahkannya tanpa menggunakan pisau bedah secara manual.

Ultrasonik

“Serpihan lensa kemudiannya dikeluarkan melalui proses phacoemulsification (juga dikenali sebagai phaco), iaitu pembedahan kanta bahagian dalam mata diemulsi menggunakan peralatan ultrasonik.

“Sambil menghancurkan lapisan katarak yang keras, ia juga mengekstrak serpihan tersebut,” jelasnya.

Setelah katarak dikeluarkan sepenuhnya, pakar bedah membersihkan kapsul di belakang mata untuk mengurangkan kejadian kegelapan kapsul belakang (katarak yang kedua). Langkah terakhir ialah untuk memasang lensa intraokular.

“Prosedur ini terbukti berkesan menghasilkan penglihatan yang jelas serta mengurangkan masa pembedahan dengan memulihkan posisi lensa intraokular.

“Pesakit hari ini mementingkan keselamatan dan keupayaan untuk melihat dengan lebih jelas tanpa bergantung kepada cermin mata selepas pembedahan,” jelasnya.

Hanya pembedahan sebelah mata sahaja dilakukan pada satu-satu masa. Jika pesakit perlu melakukan pembedahan pada kedua-dua belah mata, pembedahan mata yang satu lagi perlu dilakukan selang tujuh hari.

Tempoh pembedahan pembuangan katarak dijalankan kurang seminit. Namun, proses membersihkan mata selepas pembedahan mengambil masa lebih panjang. Secara keseluruhannya, masa yang diperlukan ialah sekitar 20 minit.


MASALAH katarak selalu dihadapi oleh warga emas atas faktor penuaan namun bukan orang tua sahaja berisiko menghidap katarak kerana orang muda juga berisiko mendapat katarak akibat diabetes dan penggunaan steroid.

Ikan tuna gergasi dilelong RM2.3 juta


KIYOSHI KIMURA (kanan) bergambar di sebelah ikan tuna gergasi di pasar ikan Tsukiji, Tokyo semalam.


TOKYO - Seekor ikan tuna gergasi sirip biru seberat 269 kilogram (kg) yang ditangkap di luar perairan wilayah Aomori, utara Jepun mencipta rekod apabila dilelong dengan harga 56.49 iuta yen (RM2.3 juta) pada lelongan pertama hidupan laut itu dalam tahun ini.

Menurut agensi berita AFP, ikan itu dibeli oleh presiden sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian restoran popular Zushi-Zanmai, Kiyoshi Kimura.

"Saya mahu memenangi ikan tuna yang terbaik supaya pelanggan Jepun dan bukan pelanggan dari luar negara yang akan menikmatinya," kata Kimura.

Dia merujuk kepada seorang pemilik restoran sushi di Hong Kong yang membeli seekor ikan tuna sirip biru yang dilelong pada harga 32.49 juta yen (RM1.32 juta) di Tsukiji, Jepun.

Penduduk Jepun makan tiga suku daripada ikan tuna yang ditangkap di seluruh dunia. - AFP

DUIT