17 Mac 2011

Rumah kecil berharga RM465,777


SEORANG wanita berdiri di balkoni sebuah rumah kecil di bandar Framligham yang mahu dijual pada harga RM465,777.

FRAMLINGHAM, Britain - Sebuah rumah kecil dua tingkat yang mempunyai sebuah bilik tidur di Britain bakal dijual pada harga £95,000 (RM465,777) walaupun lebarnya cuma 2.1 meter dan luas 28.6 meter persegi, lapor sebuah akhbar semalam.

Kediaman itu yang terletak di sini, dinamakan Rumah Petak dan merupakan antara rumah paling kecil di Britain.

Rumah tersebut pada asalnya merupakan sebahagian daripada struktur bangunan wap.

Sebuah agensi hartanah tempatan yang menjual rumah itu memberitahu, harganya melambung tinggi kerana lokasinya di pusat bandar di sini.

Walaupun ia kecil, kediaman itu tetap selesa kerana dilengkapi sebuah dapur, bilik mandi dan tandas serta ruang tamu kecil. - Agensi

Pemilik upah lelaki rosakkan Lamborghini miliknya


BEBERAPA orang yang diupah merosakkan kereta Lamborghini Gallardo di Qingdao, wilayah Shandong, China.

BEIJING - Seorang ahli perniagaan China mengupah sekumpulan lelaki dari Shandong untuk merosakkan kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang berharga AS$804,301 (RM2.45 juta) dengan menggunakan tukul di Qingdao kelmarin.

Tindakan itu dibuat selepas beliau sangat kecewa dengan perkhidmatan servis pengedar kereta terbabit yang gagal menyelesaikan pelbagai kerosakan yang dialami Lamborghini miliknya.

Ahli perniagaan itu turut mendapati terdapat kerosakan yang dilakukan seseorang ke atas kereta miliknya di bahagian depan dan kerangka kereta sport itu semasa ia sedang dibaiki.

Orang ramai yang lalu lalang terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki merosakkan kereta mewah itu yang sering rosak sejak dihantar kepada tuannya pada Oktober tahun lalu.

Selepas bertengkar dengan pengedar dan beberapa orang wakil kanan pengedar kereta Lamborghini, ahli perniagaan tersebut mengambil keputusan bahawa satu-satunya cara untuk melindungi haknya ialah dengan merosakkan kereta itu pada Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia. - Agensi

Udang karang raksasa ditangkap


UDANG karang raksasa yang berjaya ditangkap oleh Marcus Hyde mempunyai berat empat kilogram.

TELUK BRACKLESHAM - Seeorang nelayan, Marcus Hyde menghantar seekor udang karang raksasa kepada pihak pengurusan Akuarium Blue Reef di Portsmouth, Britain selepas dia berjaya menangkap haiwan itu, lapor sebuah akhbar semalam.

Udang karang itu yang sepanjang satu meter dan berat hampir empat kilogram (kg) ditangkap Marcus semasa dia memancing di sini.

Nelayan itu membuat keputusan untuk menghantar udang karang tersebut yang berusia lebih 50 tahun kerana dia menganggap haiwan berkenaan sebagai terlalu istimewa.

Udang itu juga dianggap terlalu tua untuk dijadikan hidangan yang menyelerakan.

Setakat ini udang karang yang paling besar pernah ditangkap ialah pada 1934 dengan berat 19kg. - Agensi

DUIT