28 April 2010

Cendawan Kaya Nutrien

Cendawan sering dikategorikan sebagai sayur-sayuran, bagaimanapun, fungi yang boleh dimakan ini turut mempunyai ciri-ciri yang boleh ditemui dalam daging, kekacang atau bijirin.

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis cendawan yang boleh dimakan seperti cendawan butang, portobello, maitake, shiitake dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu, yang popular sejak dulu ialah cendawan kukur yang enak dimasak lemak, dan sekarang, cendawan tiram banyak dipasarkan sama ada di pasar-pasar tani mahupun pasaraya.

Cendawan berkalori rendah, bebas lemak, bebas kolesteral dan amat rendah kandungan sodiumnya. Sungguhpun begitu, cendawan mengandungi beberapa nutrien yang lazimnya ditemui dalam bijirin dan daging binatang. Contohnya riboflavin, niacin dan selenium.
Masyarakat timur, seperti orang China dan Jepun telah mengetahui khasiat serta manfaat cendawan kepada kesihatan. Mereka juga menjalankan kajian mengenainya, terutamanya terhadap cendawan shiitake dan maitake.

Kini telah banyak kajian dijalankan mengenai khasiat cendawan. Antara yang ditemui ialah:

1. Cendawan boleh menjadi sumber vitamin D yang penting untuk tulang dan gigi sihat.

2. Ia juga sumber vitamin B riboflavin (B2), niacin (B3) dan asid pantothenic (B5). Vitamin-vitamin ini membantu meleraikan protein, lemak dan karbohidrat agar boleh digunakan sebagai tenaga. Jadi mereka yang tidak makan daging, elok mengambil lebih banyak cendawan untuk mendapatkan zat ini.


3. Cendawan juga mengandungi selenium, sejenis mineral yang penting untuk sistem imun dan kesuburan lelaki. Selenium juga bertindak sebagai sejenis antioksidan untuk melindungi sel-sel tubuh daripada musnah dan seterusnya menyebabkan penyakit jantung, sesetengah jenis barah serta lain-lain penyakit berkaitan penuaan.

4. Antioksidan lain terkandung di dalam cendawan ialah ergothioneine, yang boleh membantu melindungi sel-sel tubuh.

5. Potassium adalah sejenis lagi mineral yang terdapat di dalam cendawan, Ia membantu mengekalkan keseimbangan cecair dan mineral, serta menolong mengawal tekanan darah. Potassium juga berperanan memastikan saraf dan otot, termasuk jantung berfungsi dengan betul.

6. Lain-lain kebaikan cendawan ialah, mengandungi asid pantothenik yang membantu menghasilkan hormon serta memainkan peranan penting dalam sistem saraf; riboflavin yang menolong mengekalkan sel darah merah yang sihat, dan niacin baik untuk kulit dan melancarkan fungsi sistem digestif dan saraf.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT