29 Jun 2010

Serat Dalam Diet Anak Anda


Ramai kanak-kanak mengalami sembelit dan pergerakan usus yang kurang sempurna. Mengapa?

Fikirkan diet mereka, adakah anak-anak anda mengambil makanan yang mengandungi serat atau fiber yang mencukupi.

Bagaimana cara menambah serat di dalam diet anak-anak yang sedang membesar?

1. Perkenalkan diet campuran, contohnya sup sayur atau sayur masak lemak yang sangat digemari kebanyakan kanak-kanak. Hidangkan juga buah-buahan segar dan libatkan juga mereka dalam penyediaan hidangan.

2. Sediakan biskut atau kuih-muih yang diubahsuai resipinya dengan mengurangkan lemak dan gula, serta menambah tepung penuh bijirin. Jangan lupa libatkan anak-anak dalam membuatnya. Dengan cara itu anda dapat melatih mereka dalam penyediaan makanan sihat dan mereka juga akan teruja menikmatinya.

3. Jika ingin bekalkan makanan ringan atau sampingan, sediakan yang berkhasiat dan merupakan tambahan untuk memenuhi keperluan zat harian mereka. Contohnya, potongan buah-buahan seperti betik, tembikai, jampul, epal, oren dan sebagainya. Anda juga boleh menyediakan salad menggunakan dadih rendah lemak berbanding mayonis; cucur, jemput-jemput, roti atau biskut yang dibuat dengan tepung penuh bijirin.


Roti serat dengan sayur dan jus buah-buahan baik untuk diet sihat.

4. Pastikan buah-buahan yang dibekalkan adalah daripada jenis yang tidak mudah masam atau busuk seperti pisang. Anda juga boleh beri mereka buah-buahan kering yang dicampur dengan kerepek pisang yang tidak manis, ubi atau kekacang.

5. Apabila makan diluar, seperti ke restoran makanan segera, jangan hanya memesan makanan bergoreng saja, pilih juga makanan tinggi kandungan serat seperti yang mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan atau bijirin penuh mil. Makanan Cina, India dan Barat menawarkan hidangan yang tinggi serat, contohnya, capati dan dal, mi sup atau spageti yang diperbuat daripada gandum.

Jika anak anda mengalami masalah berat badan berlebihan, pertingkatkan kandungan serat dalam diet mereka. Ini kerana serat akan menyebabkan kita berasa kenyang. Makanan tinggi serat juga akan berada lebih lama di dalam usus dan menyerap air serta mengelakkan daripada sembelit.

Apapun anda juga perlu tahu, makanan yang tinggi kandungan seratnya sering kali mengandungi kalori yang rendah serta menyebabkan rasa kenyang yang lama. Sedangkan kanak-kanak memerlukan banyak tenaga yang dibekal daripada makanan yang mereka ambil. Jadi pengambilan kalori perlu diseimbangkan dengan makanan berserat tinggi.

Sarapan berserat tinggi untuk anak anda:

1. Capati dengan dalca berbanding roti canai.

2. Bijirin dengan susu skim

3. Mee rebus dengan sayuran

4. Bubur lambuk dengan sayuran atau ikan bilis tanpa dibuang tulang.

5. Roti penuh bijirin; disediakan sandwic dengan sayuran atau dibakar serta dihidangkan

bersama jus buah-buahan segar tanpa gula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT