26 Oktober 2010

Teknologi tanpa batasan


Untuk memberi kepuasan paparan, Nokia N8 dilengkapi skrin sentuh AMOLED 3.5 inci.

PERCAYA kepada konsep komunikasi tanpa sempadan, Nokia terus menjana idea-idea terbaik menerusi penciptaan peranti telekomunikasinya. Terbaru, syarikat berteknologi tinggi itu tampil memperkenalkan model telefon bimbit pintar terkini, Nokia N8.

Ia hadir bersama fungsi sofistikated yang memberi fokus kepada ciri komunikasi dan hiburan unik serta moden.

Merupakan telefon bimbit Nokia pertama dilengkapi perisian Symbian 3, ia berupaya menyokong pelbagai operasi secara serentak, antara muka lebih responsif serta peka kepada sentuhan tekanan dan putaran menggunakan jari.

Menurut Pengurus Besar Nokia Singapura, Malaysia Dan Brunei, Vlasta Berka, pembangunan peranti Nokia N8 mempunyai matlamat melengkapkan gaya hidup individu.

''Selain berhubung, ia juga merupakan pusat capaian utama kepada semua cabang aktiviti hiburan secara mobiliti,'' katanya pada pelancaran media model telefon bimbit itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk memberi kepuasan paparan, ia dilengkapi skrin sentuh AMOLED 3.5 inci di samping slot HDMI untuk kemudahan sambungan kepada televisyen berdefinisi tinggi (HD).

Memperbaiki spesifikasi kameranya, Nokia N8 mempunyai resolusi 12 megapiksel dengan lensa optik Carl Zeiss dan lampu flash Xenon.

Sesuatu yang berbeza daripada model-model Nokia sebelum ini, fungsi pengimejannya tersedia bersama sensor foto yang lebih peka untuk rakaman kualiti terbaik.

Lebih menarik, pengguna juga kini boleh mengedit sendiri gambar-gambar yang telah dirakam menggunakan aplikasi pengeditan intuitif binaan dalam.

Kelebihan lainnya, Nokia N8 mampu merakamkan video HD, mempunyai sistem bunyi Dolby Digital Plus dan boleh mengakses perkhidmatan web televisyen dalam dan luar negara seperti CNN, E! Entertainment, National Geographic, Paramount, TV3 dan 8TV.

Dari segi memori pula, ia mempunyai storan binaan dalam 16 gigabit (GB) di samping menyokong perluasan ruang sehingga 48GB menerusi kad memori microSD.

Bagi pengguna yang obses dengan aktiviti pelayaran laman web rangkaian sosial, Nokia N8 dilengkapi akses laman Facebook dan Twitter untuk kemudahan perkongsian lokasi, status, gambar, video dan juga integrasi kalendar aktiviti.

Turut menarik perhatian, model berkenaan didatangkan bersama perisian pembangunan kandungan dikenali sebagai Qt untuk membantu pengguna mencipta sendiri aplikasi-aplikasi mudah mengikut kreativiti mereka.

Melengkapkan lagi Nokia N8, ia mempunyai capaian penuh kepada perkhidmatan Ovi untuk tujuan memuat turun aplikasi dan sokongan peta navigasi di 70 buah negara seluruh dunia.

Dengan pilihan warna kelabu, silver dan hijau, Nokia N8 kini ditawarkan dengan harga pasaran RM1,690.

Bagi pengguna yang ingin mendapatkannya bersama pelan suara dan data daripada Maxis, ia ditawarkan dalam lingkungan harga RM999 hingga RM1,299 bersama pilihan kontrak 12 atau 24 bulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT