16 November 2010

Megamind kekal filem terlaris minggu ini


SATU adegan filem animasi Megamind memaparkan watak Roxanne Ritchi yang menggunakan suara Tina Fey (kiri) dan Megamind, suara oleh Will Ferrell. - AP

LOS ANGELES 15 Nov. - Filem animasi komedi anti-superhero, Megamind yang menggunakan suara Will Ferrell terus mengungguli carta box office di Amerika Utara buat kali kedua minggu ini dengan mengutip jualan tiket berjumlah AS$30.06 (RM93.9 juta), semalam.

Menurut penjejak box office, Exhibitor Relations, filem 3D terbitan DreamWorks Animation yang turut menampilkan suara Brad Pitt, Tina Fey dan Jonah Hill itu berjaya mengatasi pencabar terdekat iaitu filem Unstoppable walaupun mencatatkan kutipan yang menggalakkan bagi tayangan pembukaannya.

Membariskan bintang seperti Denzel Washington dan Chris Pine sebagai dua watak utama yang berani untuk cuba menghalang pelanggaran sebuah keretapi yang gagal dikawal serta dipenuhi dengan bahan kimia berbahaya, Unstoppable menduduki tangga kedua dengan memperolehi kutipan tiket berjumlah AS$23.5 juta (RM73.6 juta).

Filem komedi perjalanan dengan kereta, Due Date menampilkan teman sepengembaraan yang pelik lakonan Robert Downey Jr. dan Zach Galifianakis di tangga ketiga dengan mengutip jualan tiket sebanyak AS$15.5 juta (RM48.5 juta).

Di tangga keempat ialah filem baru, Skyline yang mencatatkan kutipan memberansangkan pada tayangan pembukaan dengan merai AS$11.7 juta (RM36.6 juta). Filem sains fiksyen thriller yang sarat dengan kesan khas itu menampilkan Eric Balfour dan Scottie Thompson yang bertindak menentang sebuah kapal angkasa makhluk asing di Los Angeles.

Filem romantik komedi, Morning Glory yang dibintangi Harrison Ford, Diane Keaton dan Rachel McAdams sebagai hos bersama dan penerbit yang cuba untuk menghidupkan semula sebuah rancangan televisyen yang kurang mendapat sambutan, memulakan tayangan pembukaan di tangga kelima dengan kutipan tiket sebanyak AS$9.6 juta (RM29.9 juta).

Di tangga keenam dengan kutipan tiket sebanyak AS$6.8 juta (RM21.2 juta) ialah filem arahan Tyler Perry, For Colored Girls yang menampilkan persembahan antaranya oleh Whoopi Goldberg and Janet Jackson dalam sebuah adaptasi persembahan pentas, Ntozake Shange.

Filem Red mengisahkan ejen perisik yang kembali berkhidmat selepas bersara dengan menampilkan pelakon-pelakon seperti Bruce Willis, Morgan Freeman, John Malkovich dan Helen Mirren berada di tangga ketujuh dengan memungut kutipan tiket berjumlah AS$5.1 (RM15.9 juta). Ia menjadikan jumlah keseluruhan kutipan tiket bagi filem itu sepanjang lima minggu sebanyak AS$79.8 juta (RM248.3 juta).

Jatuh ke tangga kelapan ialah filem Paranormal Activity 2 yang mendakwa memaparkan hantu yang dirakam menggunakan kamera pengasuh kanak-kanak. Ia memperolehi kutipan tiket berjumlah AS$3 juta (RM9.3 juta) dan menjadikan pungutan tiket keseluruhan sepanjang empat minggu sebanyak AS$82 juta (RM225.1 juta).

Filem seram Saw 3D jatuh di tangga kesembilan dengan kutipan tiket sebanyak AS$2.8 (RM8.8 juta) selepas berjaya menakut-nakutkan penonton dan mendominasi carta box office pada hujung minggu Halloween. Filem itu mencatatkan jumlah kutipan keseluruhan berjumlah AS$43.5 juta (RM136.3 juta).

Tangga ke-10 carta pula diisi oleh filem Jackass 3D yang dibintangi Johnny Knoxville dengan mengutip jualan tiket berjumlah AS$2.3 juta (RM7.2 juta). Filem komedi slapstick itu memperolehi jumlah keseluruhan kutipan tiket sepanjang lima minggu berjumlah AS$114.7 juta (RM359.3 juta). - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT