12 November 2010

Rakyat berisiko tinggi diserang penyakit tak berjangkit

BALING 11 Nov. - Rakyat negara ini berdepan dengan risiko tinggi menghidap penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup dan amalan pemakanan yang tidak sihat.

Ketua Sektor Bahagian Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Omar Mihat berkata, penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan stres berada pada tahap serius jika tiada kesedaran bagi membendungnya.

Katanya, ia perlu dibendung dengan amalan kesihatan serta aktiviti sihat.

"Gaya hidup yang sihat dan amalan pemakanan yang tidak seimbang menyebabkan rakyat Malaysia terdedah kepada penyakit tidak berjangkit ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Program Bersepadu Memperkasa Komuniti (Intervensi NCD) yang dianjurkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Baling di Kampung Keda Bandar, dekat sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi Che Hussin.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Penyakit Tidak Berjangkit Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Latipah Abd. Rahman dan Pegawai Kesihatan Baling, Dr. Delima Kalsom Abdul Wahab.

Pada majlis itu, Md. Isa Darus, 71, dan Nun Dahaman, 75, terpilih sebagai warga emas sihat kerana mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan kerja menoreh dan pemakanan yang seimbang.

Omar berkata, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan projek perintis melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang dalam menjadikan Pusat Komuniti Masyarakat di kawasan-kawasan tertentu sebagai pusat membantu masyarakat dalam mengawal penyakit tidak berjangkit.

Beliau berkata, Baling telah terpilih sebagai daerah pertama menjalankan program kesihatan komuniti secara sihat yang membabitkan penduduk luar bandar dalam menjaga kesihatan dan mendedahkan mereka dengan amalan pemakanan secara seimbang.

"Inilah langkah proaktif pihak kementerian untuk membantu masyarakat di luar bandar dalam penjagaan kesihatan yang betul bagi mengurangkan penyakit dengan gaya hidup yang sihat," ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, program komuniti berkenaan membuktikan kerajaan peka dengan penjagaan kesihatan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Katanya, program seumpama itu dapat mendedahkan orang ramai kepada gaya hidup yang sihat ke arah mengurangkan kadar penyakit yang tidak berjangkit supaya mencegah sebelum dirawat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT