01 November 2010

Ronaldo, Messi ledak 2 gol


CRistiano Ronaldo dengan gaya tersendiri ketika meraikan kejayaan menjaringkan gol buat Real Madrid pada perlawanan Liga Sepanyol, semalam. Real membenam Hercules 3-1.

MADRID - Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi masing-masing menjaringkan dua gol dalam perlawanan berasingan pada kempen Liga Sepanyol, semalam. Ronaldo membantu Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan pendatang baru, Hercules 3-1, manakala Messi membantu Barcelona membelasah 10 pemain Sevilla 5-0.

Bintang Portugal, Ronaldo, yang kehilangan mahkota Pemain Terbaik Dunia kepada Messi, kini sudah menyumbat 10 gol dalam empat penampilan terakhir liga untuk menjadikan 11 gol dihasilkan sepanjang musim ini.

Selepas menjaringkan empat gol ketika membenam Racing Santander hujung minggu lalu, dia menambah dua lagi ketika berdepan Hercules untuk memastikan Real kekal di tangga teratas liga dengan 23 mata daripada sembilan perlawanan.

Penyerang Argentina, Messi pula menjaringkan gol keenam dan ketujuhnya musim ini dalam perlawanan yang menyaksikan bintang Piala Dunia Sepanyol, David Villa turut menyumbat dua gol, manakala bekas pemain Sevilla, Daniel Alves menambah satu gol untuk Barcelona terus menghambat Real dengan hanya dipisahkan satu mata di belakang.

Dalam satu lagi perlawanan, aksi buruk Valencia berterusan apabila terikat 1-1 dengan kelab bermasalah, Real Zaragoza di gelanggang sendiri, manakala Villarreal mampu berkongsi 22 mata dengan Barca sekiranya mengalahkan Sporting Gijon dalam perlawanan lewat pagi ini.

Hercules yang mengejutkan Barcelona 2-0 di Nou Camp, Setember lalu, kelihatan seperti bakal mengejutkan satu lagi gergasi Sepanyol apabila mendahului saingan seawal minit ketiga di Stadium Jose Rico Perez. Bekas penyerang Perancis dan Juventus, David Trezeguet, membuka jaringan tuan rumah dengan menanduk hantaran David Cortes untuk menewaskan penjaga gol terbaik Piala Dunia, Iker Casillas.

Hajat Hercules, kelab dengan bajet kecil, 40 juta euro (RM174 juta) untuk melakar kejutan ke atas gergasi Sepanyol itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila Real menyamakan kedudukan tujuh minit memasuki babak kedua. Jaringan berpunca hasil rembatan jarak jauh Ronaldo yang gagal ditepis kemas oleh penjaga gol, Juan Calatayud untuk membolehkan Angel Di Maria menyambut bola dan melepaskan sepakan ke penjuru gawang.

Tuan rumah seperti akan berkongsi mata dengan Real, namun Ronaldo mengecewakan mereka dengan menyambut rembatan muntah Karim Benzema untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-1 pada minit ke-82, sebelum dia memastikan kemenangan 3-1 dibawa pulang hasil jaringan lewat minit ke-88.

"Kami bermain dengan corak permainan sendiri pada babak kedua. Apa yang penting adalah mengutip tiga mata dan terus kekal di tangga teratas liga,'' ujar pengurus Real, Jose Mourinho.

Sementara itu di Nou Camp, Messi meletakkan penyandang juara, Barca di depan seawal minit keempat, sebelum Villa melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-24.

Malang terus menimpa Sevilla apabila tonggak pertahanannya, Abdoulay Konko dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua, beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama. Beraksi dengan 10 pemain nyata membuka banyak kelemahan pelawat, akhirnya Alves melebarkan kedudukan 3-0 buat Barce, lapan minit memasuki babak kedua.

Messi menggamatkan lagi suasana di Nou Camp dengan menyumbat gol keempat pasukannya selepas melepaskan rembatan rendah yang menewaskan Javi Varas pada minit ke-64, sebelum Villa melengkapkan gol kelima pada minit terakhir perlawanan. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT