19 November 2010

Toyota lancar 11 model hibrid 2012


SEORANG model menunjukkan kaedah mengecas semula bateri kereta elektrik Toyota iQ semasa sidang akhbar di Tokyo, semalam. - AP

TOKYO 18 Nov. - Pengeluar kereta nombor satu dunia, Toyota Motor merancang untuk melancarkan 11 model hibrid baru menjelang penghujung 2012, ketika perlumbaan untuk menghasilkan kenderaan mesra alam semakin meningkat dalam industri automotif.

Rancangan melibatkan kenderaan baru atau model direka semula itu akan meningkatkan jumlah kenderaan dengan enjin hibrid Toyota, yang menggunakan petrol dan elektrik ketika pesaing lain seperti Nissan membangunkan kenderaan sepenuhnya berkuasa elektrik.

Pengeluar kereta ini merancang untuk menjual lebih 50,000 unit kereta hibrid berdasarkan model Prius, yang akan dilancarkan di Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pada awal 2012, dengan harga sekitar 3 juta yen (RM112,777).

Toyota juga merancang untuk melancarkan kenderaan berkuasa elektriknya berdasarkan rekaan kereta mini iQ, yang akan diperkenalkan di Jepun dan Eropah malah pelancaran di China juga sedang dipertimbangkan.

Pesaing Toyota bertindak bergerak ke arah pasaran kenderaan elektrik dengan Nissan bakal melancarkan model Leaf, yang tidak mengeluarkan sebarang pencemaran dan menjadi nadi kepada cita-cita hijaunya.

Toyota setakat ini baru 'hendak bermula' ke dalam pasaran sedemikian, dengan Presiden syarikat, Akio Toyoda minggu lalu, memberikan pandangan berhati-hati dengan menyatakan halangan besar adalah untuk mencipta sistem caj semula yang mudah digunakan.

Ulasan beliau dibuat ketika Toyota melancarkan kereta konsep RAV4 EV yang buat masa ini dipamerkan di Los Angeles Auto Show di AS bulan ini.

Versi kenderaan utiliti sukan RAV4 berkuasa elektrik ini dibangunkan Tesla Motors, syarikat kenderaan elektrik AS yang mana Toyota mempunyai pegangan saham sebanyak AS$50 juta (RM156.4 juta).

Rancangan terbaru itu dibuat ketika pengeluar kereta ini berusaha membina semula imej yang dicemari penarikan balik akibat masalah pecutan, enjin, pemanduan dan brek. Penarikan balik melibatkan 12 juta kenderaan secara keseluruhan.

Toyota juga mahu memperkenalkan kereta jenis sedan berkuasa sel bahan bakar sekitar 2015 di AS, Eropah dan Jepun pada harga di bawah 10 juta yen (RM376,065). - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT