11 November 2010

UNIMAP mahu bina terowong


Kakitangan UniMAP membantu menjemur dokumen yang ditenggelami banjir pada Program Gotong-Royong Banjir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, baru-baru ini.

KANGAR 10 Nov. - Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) sedia membantu kerajaan negeri menangani masalah banjir di negeri ini menerusi pembinaan terowong banjir dari Empangan Timah Tasoh sehingga ke Kuala Perlis.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, terowong 10 kilometer itu diyakini mampu mengurangkan masalah banjir di negeri ini apabila pelepasan air dari empangan tersebut terus melalui terowong berkenaan sehingga ke laut.

"Terowong berbentuk terusan dalam tanah itu dibina secara mudah dan tidak akan mencecah kos melebihi RM300 juta," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan untuk mangsa banjir daripada Timbalan Pengurus Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Kutipan Balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Zulkifli Ansari bernilai RM50,000 di Kolej Kediaman UNIMAP Wang Hulu, di sini baru-baru ini.

Sumbangan turut diterima daripada Pengurus Syarikat Pembinaan Bintong, Azmi Ahmad berjumlah RM5,000.

Sebelum itu, pada Isnin lalu, Kamarudin bersama hampir 800 kakitangannya bergotong-royong membantu dan membersihkan Hospital Tuanku Fauziah selepas banjir menenggelamkan kawasan itu di Kangar.

Menurut Kamarudin, cadangan membina terowong itu berikutan kebimbangan beliau terhadap kejadian sama berulang yang akan melibatkan kira-kira 25,000 warga UNIMAP di seluruh negeri ini.

"Selain itu sebagai universiti kejuruteraan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mencari jalan membantu kerajaan negeri menghadapi bencana ini," katanya.

Beliau berkata, cadangan itu juga akan dibincangkan bersama-sama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan agensi-agensi kerajaan negeri sebelum aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT