06 Disember 2010

Ratu Elizabeth II terharu menonton Narnia


SATU adegan dalam filem The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader menampilkan pelakon (dari kiri) Georgie Henley, Ben Barnes, Laura Brent dan Skandar Keynes. - AP


LONDON 5 Dis. - Ratu Elizabeth II kelihatan berkenan dengan filem terbaru Narnia, The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader.

Aktor, Liam Neeson yang menggambarkan akhiran babak siri ketiga filem blockbuster itu sebagai adegan yang sungguh memilukan berkata, dia menjadi terlalu emosi ketika menontonnya semasa tayangan perdana diraja awal minggu ini.

"Saya menangis pada malam berikutnya dan diberitahu bahawa Ratu Elizabeth II juga turut menangis," katanya pada satu sidang media Khamis lalu.

Neseson menyumbangkan suaranya bagi watak animasi singa, Aslan dalam filem itu yang berdasarkan kepada buku klasik kanak-kanak karya C.S. Lewis.

Syarikat produksinya, studio Twentieth Century Fox akan terus memerhatikan prestasi filem itu pada carta box office apabila ia memulakan tayangannya pada minggu ini, setelah mengambil alih filem itu daripada Walt Disney Co.

Filem pertama Narnia The Lion, the Witch and the Wardrobe diterbitkan pada 2005, mencatatkan kutipan tiket berjumlah AS$745 juta (RM2.3 bilion) di seluruh dunia dan menjadi filem ketiga yang memperolehi pungutan tiket terbesar pada tahun itu.

Namun Prince Caspian, filem kedua Narnia yang diterbitkan pada 2008 hanya mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$420 juta (RM1.3 bilion) di seluruh dunia.

Penerbit ketiga-tiga filem Narnia, Mark Johnson memberitahu pada taklimat itu bahawa dia ingin melanjutkan lagi filem francais itu.

"Ia sudah tentu tiada rahsia bahawa kami mahu membuat sebuah lagi filem Narnia dan sebenarnya kami ingin membuat banyak lagi.

"Saya fikir ia banyak bergantung pada masa hadapan. Secara jelasnya, kami akan melihat sambutan penonton terhadap The Voyage of the Dawn Treader tetapi ya, kami mahu meneruskannya dan melengkapkan tujuh siri filem ini," kata Johnson.

Filem Narnia akan mula ditayangkan di Malaysia pada 9 Disember ini. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT