10 Februari 2011

33 bertaraf jutawan

BERMUTU...Mohamed Isa (tiga dari kiri) bersama Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab (dua dari kiri) melawat  gerai promosi produk usahawan Sawari Felda, semalam.
BERMUTU...Mohamed Isa (tiga dari kiri) bersama Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab (dua dari kiri) melawat gerai promosi produk usahawan Sawari Felda, semalam.

NILAI keseluruhan aktiviti perniagaan peneroka rancangan Felda tahun lalu mencatat kutipan sehingga RM1.06 bilion iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding 2006 sebanyak RM550 juta.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad berkata, pencapaian itu memberi kesan positif kepada jumlah pendapatan pengusaha dengan pendapatan purata bulanan mencecah RM2,442 setiap orang.

“Lebih 36,000 warga peneroka membabitkan diri dalam bidang keusahawanan yang dijalankan Felda melalui penyediaan latihan, dana pinjaman perniagaan, khidmat sokongan dan kemudahan infrastruktur kepada mereka.

“Daripada jumlah itu, seramai 33 pengusaha bertaraf jutawan dengan pendapatan tahunan perniagaan mereka melebihi RM1 juta,” katanya ketika merasmikan majlis promosi produk usahawan Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) Felda di pusat beli-belah Jusco AEON AU2 di Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam.

Sehubungan dengan itu juga, Isa berkata, Felda menyasarkan kutipan lebih memberangsangkan tahun ini iaitu RM2 bilion dengan pembabitan jumlah usahawan yang lebih ramai.

Katanya, pemilihan tema pelaksanaan pembangunan usahawan tahun ini iaitu eksport turut mendapat kerjasama AEON Co (M) Sdn Bhd yang menyasarkan produk mampu menembusi pasaran antarabangsa bermula dengan Jepun.

“Sawari Felda turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sewaktu Persidangan One Village One Product (OVOP) keenam di Bali, Indonesia apabila dianugerahkan Anugerah Hiramatsu,” katanya.

Anugerah Hiramatsu ialah anugerah tertinggi di peringkat antarabangsa yang diberikan kerana kejayaan pelaksanaan konsep OVOP yang efektif dan berkesan dalam pasaran produk makanan dan kraf di bawah kendalian Sawari Felda.

Program pembangunan usahawan membuka peluang kepada 12 usahawan Felda terpilih untuk mempromosikan dan meluaskan pasaran produk keluaran masing-masing di pusat beli-belah Jusco AU2 bermula 8 hingga 13 Februari ini.

Sementara itu, Pengerusi AEON Co, Datuk Abdullah Mohd Yusof berkata, pihaknya sentiasa menyokong produk industri kecil dan sederhana (IKS) Bumiputera dengan memberi peluang jaringan pasaran baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT