29 Mac 2011

Elin beli rumah agam RM37.8 juta

ELIN Nordegren, bekas isteri bintang golf, Tiger Woods mula membelanjakan wang diterima daripada tuntutan perceraiannya dengan membeli sebuah kediaman di Florida yang bernilai AS$12.2 juta (RM37.8 juta).

Walaupun ia hanya sebahagian kecil daripada jumlah AS$60 juta (RM186 juta) yang diterimanya, Elin bakal mempunyai ruang kediaman lebih luas di rumah agam itu.

Kediaman Woods yang terletak di kawasan seluas 12 ekar dikhabarkan hanya separuh daripada saiz kawasan kediaman Elin yang mempunyai keluasan lebih daripada 17,000 kaki persegi.

Tujuh bulan selepas pasangan itu membuat keputusan akhir mengenai perceraian mereka, Elin yang memang sibuk mencari rumah baru sejak musim luruh lalu tertarik untuk membeli rumah agam yang menghadap laut di kawasan eksklusif North Palm Beach.

Ia terletak hanya 10 batu di selatan kediaman baru Woods yang bakal siap di Pulau Jupiter, berikutan bekas pasangan itu bersetuju untuk tinggal berdekatan demi anak mereka.


Kediaman dua tingkat yang mula-mula dibina pada 1932 itu mempunyai lapan bilik air dan tingkat bawah tanah seluas 4,700 kaki persegi, menurut Palm Beach Post.

Walaupun bekas pasangan itu mempunyai hak jagaan bersama ke atas anak mereka, Sam, 3, dan Charlie, 2, tetapi kedua-duanya dijangka akan tinggal bersama Elin.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Woods berbicara mengenai kesukaran membesarkan anak bersama ekoran perceraian yang berlaku.

"Ia sudah menjadi tanggungjawab. Tidak dapat dinafikan memang sukar tetapi seronok juga," ujar Woods.

"Ia tanggungjawab yang saya suka. Saya gemar menghabiskan masa bersama anak-anak dan melihat apa yang mereka lakukan.

"Ia cukup seronok. Kami meluangkan masa indah bersama-sama dan itu yang paling penting," tambahnya.

"Keluarga didahulukan. Keadaan itu yang berlaku ketika saya membesar dulu. Ibu bapa saya sentiasa ada untuk saya dan kini saya melakukan perkara sama kepada anak saya," katanya lagi.

Baru-baru ini, Woods ada menulis dalam laman blognya bahawa dia teruja untuk berpindah ke kediaman barunya tidak lama lagi.

Menurut laporan, Elin membeli kediaman di North Palm Beach itu melalui peguam dari Virginia, Dennis Belcher yang mengendalikan urusan perceraiannya daripada Woods musim panas lalu.

Elin turut memegang AS$45 juta(RM139.5 juta) nilai gadai janji kediaman Woods sehingga urusan untuk bahagian Woods selesai dalam persetujuan perceraian itu yang dikatakan bernilai kira-kira AS$100 juta (RM310 juta).

Ibu dua anak itu kini mendaftar sebagai pelajar separuh masa di Kolej Rollins di Florida dan mengambil pengajian Psikologi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT