07 Jun 2012

Padah terima habuan seks

SINGAPURA 6 Jun - Bekas Pesuruhjaya Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), hari ini didakwa atas tuduhan menerima habuan seks dalam kes rasuah paling serius melibatkan pegawai kanan kerajaan dalam tempoh hampir 20 tahun.

Peter Lim Sin Pang (gambar), 52, dituduh atas 10 dakwaan melakukan seks dengan tiga wanita antara Mei 2010 hingga November 2011 di pelbagai lokasi antaranya di sebuah bilik hotel di Paris, di beberapa tempat letak kereta di Singapura dan pangsapuri-pangsapuri di Clementi dan Tanjong Rhu.

Dalam satu pertuduhan, beliau didakwa menerima layanan seks oral daripada Pengarah Pusat Radiasi Singapura, Lee Wei Hoon dan Pengurus Besar Nimrod Engineering, Pang Chor Mui.

Sin Pang turut dituduh melakukan hubungan seks sebanyak tujuh kali dengan Pengarah Pembangunan Perniagaan NCS Private Limited, Esther Goh Tok Mui.

Menurut pendakwaan, sebagai habuan, beliau akan menganugerahkan tender kontrak berkaitan teknologi kepada syarikat ketiga-tiga wanita terbabit.

Sin Pang yang telah berkahwin, ditahan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Januari tahun ini dan dipecat daripada jawatannya pada bulan sama.

Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin sejumlah SG$10,000 (RM24,806) dan akan dihadapkan ke mahkamah semula pada 5 Julai ini.

Pasportnya turut diserahkan kepada CPIB.

Menurut laman web akhbar Straits Times, Sin Pang hadir ke mahkamah berseorangan hari ini, namun laporan tersebut tidak menyatakan sama ada beliau membuat rayuan atau tidak.

Beliau berdepan hukuman sehingga lima tahun penjara dan denda sebanyak SG$100,000 (RM248,068) untuk setiap kesalahan. - REUTERS/AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT