02 September 2016

Perbelanjaan ‘gila’ kelab EPL


Manchester City membelanjakan lebih £150 juta (RM811.92 juta) untuk mendapatkan pemain termasuk Stones (kiri) dan Sane pada jendela perpindahan musim ini.


LONDON – Kelab-kelab bola sepak Liga Perdana England (EPL) mencatatkan rekod baharu apabila membelanjakan lebih £155 juta (RM 838.98 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan pemain menjadikan nilai keseluruhan pembelian pemain berjumlah £1.165 bilion (RM6.31 bilion) semalam.

Nilai keseluruhan itu dicatatkan sepanjang dua bulan jendela perpindahan pemain bermula Julai hingga semalam, sekali gus mengatasi rekod sebelum ini, £870 juta (RM4.079 bilion) bagi tempoh sama.

Sebanyak 13 kelab teratas EPL turut memecahkan rekod perpindahan kelab masing-ma­sing pada kali ini.

“Peningkatan pendapatan penyiaran bagi musim 2016/20017 untuk perjanjian penyiaran baharu menjadi faktor utama kuasa berbelanja kali ini,” kata penganalisis kewangan Deloitte, Dan Jones.

Sebanyak 20 kelab EPL memperoleh manfaat daripada rekod perjanjian penyiaran bernilai £5.1 bilion (RM27.61 bi­lion) yang berkuat kuasa mulai musim baharu ini.
Menurut sumber Deloitte, purata perbelanjaan kasar kelab-kelab EPL bagi perpindahan musim ini adalah kira-kira £60 juta (RM324.77 juta).

Bagi kelab yang bersaing dalam Liga Juara-Juara iaitu Arsenal, Leicester City, Manchester City dan Tottenham Hotspur, keempat-empatnya telah mem­belanjakan keseluruhan £385 juta (RM2.083 bilion) yang mewakili kira-kira satu pertiga perbelanjaan kasar oleh kelab-kelab EPL.

Sejak jendela perpindahan diper­kenalkan, perbelanjaan pembelian pemain telah mencecah £8.6 bilion (RM46.55 bilion) dengan lebih 80 pe­ratus dibelanjakan pada jendela perpindahan musim panas.

Kedua-dua kelab Manchester pula masing-masing telah membelanjakan lebih £150 juta (RM811.92 juta) pada kali ini.

Manchester United di bawah pengurus baharu, Jose Mourinho mencatatkan perpindahan rekod dunia dengan menandatangani Paul Pogba pada harga £89 juta (RM481.74 juta) selain pemain te_ngah Armenia, Henrikh Mkhitaryan dan pemain pertahanan, Eric Bailly ma­sing-masing bernilai kira-kira £30 juta (RM162.38 juta).

City yang melantik jurulatih baharu, Pep Guardiola telah membawa pemain tengah, Leroy Sane daripada Schalke pada harga £37 juta (RM200.27 juta) dan membayar Everton sebanyak £47.5 juta (257.11 juta) untuk pemain pertahanan, John Stones.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich tidak ketinggalan berbelanja besar dengan menghabiskan £120 juta (RM649.53 juta) termasuk £34 juta (RM184.03 juta) untuk membawa kembali pemain pertahanan Brazil, David Luiz (Paris St-Germain) dan £33 juta (RM178.62 juta) bagi penyerang Belgium, Michy Batshuayi daripada Marseille.

Pengarah Sukan kelab Jerman, Schalke, Christian Heidel berkata, EPL telah memaksa bahkan menyebabkan kenaikan melampau harga mana-mana pemain bola sepak.

“Jika pengurus daripada EPL dalam talian telefon, maka (perpindahan pemain) jumlah wang secara automatik melonjak tinggi.

“Jika rundingan hanya melibatkan kelab-kelab dalam Bundesliga, mustahil jumlah tersebut mencatatkan nilai seperti di EPL,” katanya dalam temu bual dengan majalah Kicker.

Schalke bulan lalu menjual pemain sayap Jerman, Leroy Sane, 20, ke Manchester City dengan nilai perpindahan dilaporkan RM200.27 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT