29 September 2016

Proton Saga terbaik, mampu milik

Khairy Jamaluddin bergambar bersama  Proton Saga baharu yang dilancarkan Khairy Jamaluddin bergambar bersama Proton Saga baharu yang dilancarkan beliau di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 28 Sept. - Proton Holdings Berhad (Proton) meneruskan legasi sebagai pengeluar kereta nasional dengan melancarkan mo­del legenda, Saga. 

Pelancaran model yang terdiri daripada tiga varian iaitu Stan­dard, Executive dan Premium itu merupakan sebahagian daripada strategi Proton bagi mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan pasaran kenderaan penumpang di negara ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ahmad Fuaad Mohd. Kenali berkata, pelancaran tiga varian Saga itu dijangka memberikan impak positif terhadap jualan kenderaan keluaran syarikat tersebut selepas model baharu Perdana dan Persona masing-masing dilancarkan pada Jun dan Ogos lalu.

Malah, bagi model baharu Saga tersebut, kata beliau pihaknya yakin mampu mencapai sasaran jualan maksimum sebanyak 8,000 unit sebulan berdasarkan ciri-ciri terbaik yang ditawarkan pada harga lebih rendah dan mampu milik.

“Kesemua model Proton Saga menggunakan enjin IAFM (Intake Air-Fuel Module) berkapasiti 1.3 liter dengan transmisi manual dan CVT (Transmisi Berubah-ubah Berterusan).

“Bagi model 1.3 Standard (transmisi manual), harga yang ditawarkan ialah RM36,800; 1.3 Standard CVT (RM39,800) diikuti 1.3 Executive CVT (RM42,800) manakala varian 1.3 Premium CVT RM45,800,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran model baharu Saga yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar dan Pengerusi DRB-Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.

Ketika diminta mengulas keupayaan Proton mengeluarkan model baharu tersebut dan dijual pada harga yang rendah, Ahmad Fuaad me­nyatakan, pihaknya membangunkan model berkenaan menggunakan platform Saga serta teknologi yang dimiliki oleh Proton yang mana kos pembangunan model tersebut hanya melibatkan jumlah sebanyak RM15 juta.

Selain harga yang rendah, model baharu Proton Saga itu turut menawarkan pengalaman pemanduan yang menarik kepada pengguna dengan pengunaan teknologi CVT selain ciri keselamatan yang terkini seperti ABS, ESC, kawalan cengkaman (TC), bantuan dakian cerun (HHA), agihan brek elektronik (EBD) dan kamera belakang.

Dalam perkembangan lain, seorang pelajar jurusan Pemba­ngunan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Aliya Raidah Abdul Malek, 22, mencuri tumpuan hadirin apabila menerima sebuah Proton Saga baharu selepas berjaya menjawab soalan Khairy yang sebelum ini bertanyakan mengenai tiga model Proton yang bermula dengan huruf ‘S’ bersempena bulan September.

“Saya tidak sangka jawapan saya yang menyebut model Proton Saga, Savy dan Satria itu membawa tuah dan memenangi sebuah model baharu Proton Saga.

“Kebetulan saya baru me­nyambut hari jadi 11 September lalu dan selama ini saya ke kelas ha­nya berjalan kaki.

“Alhamdulillah hari ini tidak disangka-sangka saya memena­ngi sebuah kereta. Terima kasih Proton,” katanya yang berasal dari Kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT