01 Disember 2010

Penjawat Awam Diingatkan Supaya Hayati MBE

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari Selasa mengingatkan semua penjawat awam supaya menghayati sepenuhnya Model Baru Ekonomi (MBE) secara memilikinya bagi memastikan kejayaan pencapaian model tersebut.

Katanya sebagai pemimpin dan anggota perkhidmatan awam negara, mereka harus berusaha untuk menyebarkan manfaat MBE itu.

"Kita harus menunjukkan bahawa MBE adalah mengenai inklusif dalam proses penghasilan kekayaan dan bagaimana kita akan menggunakan penglibatan inklusif ini bagi memastikan pencapaian objektif yang tertera dalam MBE," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perkhidmatan Awam ke-15 di Auditorium Institut Tadbiran Awan Negara (INTAN), Bukit Kiara, dekat sini, hari ini.

Persidangan tiga hari itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf.

Dalam ucapan pembukaannya, Mohd Sidek berkata anggota sektor swasta juga harus memiliki MBE.

"Mereka juga harus menghargai seruan lantang bagi semua untuk berubah, meningkatkan produktiviti dan mengharungi cabaran dalam dunia globalisasi ini.

"Pelan Transformasi Ekonomi tidak boleh bermula tanpa dimiliki oleh semua," tegasnya.

Beliau juga berkata kejayaan MBE memerlukan persekitaran sokongan pertumbuhan menerusi pelaksanaan pantas inisiatif dan proses pemudahan bagi menjadikan negara ini mudah dan lebih murah untuk menjalankan urusan perniagaan.

Persidangan bertema 'Embracing The New Economic Model: Public-Private Sector and People Synergy' diadakan untuk membolehkan peserta menjangka dan memahami bagaimana MBE bertujuan menjana manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama atau gender, di bawah objektif pendekatan pertumbuhan inklusif.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT