16 Februari 2011

Katrina Kaif mahu anak


KATRINA KAIF

BERIMEJ seksi menghiasi muka depan majalah GQ India edisi Februari, pemilik nama Katrina Kaif pastinya bertambah popular dan menjadi bualan para peminat.

Kandungan majalah tersebut memaparkan sesi wawancara bersama aktres jelita itu mengenai perkembangan terbarunya di dalam industri hiburan Bollywood.

Dia yang kini sibuk dengan penggambaran filem Mere Brother Ki Dulhan arahan Yash Raj memberitahu, bergelar seorang pelakon merupakan kerjaya yang cukup menarik tetapi penuh dengan kesukaran.

"Saya diperhatikan dan dihakimi oleh orang ramai. Kehidupan saya juga akan tersiar di dada akhbar. Misalnya menonjolkan naluri seksual wanita secara terbuka bukanlah sikap diri saya yang sebenar.

"Saya tidak selesa untuk menonjolkan diri dengan kelakuan sebegitu secara berlebihan dan ia terlalu teruk untuk pandangan segelintir audiens. Bagaimanapun, paling penting apa yang dilakukan itu datang daripada jiwa semula jadi," terangnya.

Mengimbau kembali perjalanan kehidupannya, Katrina dilahirkan di Hong Kong. Dia juga telah dibesarkan di dua buah negara iaitu Perancis dan Jepun sewaktu kecil.

Sewaktu meniti usia 11 tahun, Katrina yang juga berkecimpung dengan dunia peragaan telah berpindah ke Hawaii sebelum menghabiskan dunia remajanya di London ketika berumur 13 tahun.

"Perasaan saya begitu kosong, malu dan sunyi. Ia seolah-olah seperti makhluk asing. Situasi yang saya lalui bagaikan tidak terurus. Saya begitu teringin untuk menyelesaikannya," ceritanya yang memulakan karier lakonan menerusi filem Boom arahan Kaizad Gustad ketika berusia 18 tahun.

Lupa seketika mengenai kehidupan silamnya itu, dia memilih untuk menggunakan nama Katrina Kaif hasil gabungan daripada nama ayahnya iaitu Mohammed Kaif.

Sementara itu, apabila bercerita mengenai alam rumah tangga, Katrina mempunyai pendirian tersendiri.

"Adakah saya akan berkahwin dalam tempoh dua tahun akan datang? Saya sendiri tidak pasti. Tetapi dalam usia sekitar 33 tahun, saya perlu mempunyai cahaya mata. Namun, kita hanya mampu merancang.

"Saya tidak mahu berkahwin tetapi tidak mungkin anak saya akan membesar tanpa belaian seorang ayah," tegas Katrina yang berusia 27 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT