04 April 2011

AS bina penempatan bawah tanah hindar bencana alam

Mungkinkah manusia terpaksa memilih untuk tinggal di bawah tanah selepas krisis nuklear di Jepun dikatakan semakin meruncing iaitu sebagai satu inisiatif untuk mengelakkan bencana yang boleh menjejaskan penduduk? Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah awal dengan membina penempatan mewah di bawah tanah di kawasan padang rumput Nebraska yang boleh memuatkan 950 orang pada satu masa.

Tempahan terhadap rumah kecil itu kini semakin meningkat di AS sejak gempa bumi berkekuatan 9.0 skala Ricther dan tsunami melanda Jepun pada 11 Mac lalu.

Rumah seluas 41,757 meter persegi itu boleh menempatkan 950 orang dalam tempoh setahun dan berkeupayaan menahan letupan sehingga 50 megatan.

Syarikat Vivos yang berpusat di California adalah firma yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan penempatan tersebut.

Terdahulu, individu yang sudah membuat tempahan perlu membayar wang pendahuluan sebanyak AS$5,000 (RM15,100), di mana harga sebenar untuk seunit rumah itu bernilai AS$25,000 (RM75,700).

Jurucakap syarikat itu menyatakan, permohonan untuk membeli rumah itu kini melonjak 1000 peratus selepas bencana alam dahsyat melanda Jepun.

Walaupun rumah itu bersaiz agak kecil, ia turut dilengkapi kemudahan moden yang sememangnya dapat memenuhi keperluan pembeli di negara itu.

Kompleks perumahan penduduk setinggi empat tingkat itu turut dilengkapi dengan bilik kediaman untuk penduduk, pusat perubatan dan klinik gigi.

Kemudahan lain seperti rumah untuk haiwan peliharaan, kedai roti dan kek serta bilik khas untuk upacara keagamaan turut dibina di kompleks itu.

Malah, beberapa unit lokap juga dibina di dalam kompleks penempatan tersebut.

Sebuah menara pemerhati berketinggian 107 meter turut dibina supaya penduduk dapat melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Pangarah Urusan Syarikat Vivos, Robert Vicino berkata, penduduk di AS kini khuatir dengan perubahan keadaan bumi berikutan kesan gempa bumi di Jepun, pada bulan lalu. Mereka amat risau dengan persekitaran yang semakin tercemar akibat kebocoran radiasi di mana ia turut meningkatkan risiko terhadap kesihatan mereka.

Laporan mengenai tahap radiasi pada paras rendah yang dikesan di beberapa kawasan di AS turut menyebabkan penduduk mengambil tindakan berjaga-jaga dan seterusnya memilih untuk tinggal di penempatan bawah tanah tersebut.

Sekurang-kurangnya sebanyak 15 kawasan di AS melaporkan kewujudan radiasi pada paras rendah di permukaan udara di kawasan berkenaan.

Terdahulu, Agensi Keselamatan Alam Sekitar mengesahkan sisa radiasi dikesan pada alat penapis udara di Alabama dan dalam takungan air hujan di Pennsylvania dan Massachusetts.

Walaupun paras radiasi berada pada tahap rendah dan tidak berbahaya kepada kesihatan, penduduk turut diberi amaran awal supaya tidak menggunakan air hujan yang terkumpul di dalam tangki simpanan mereka.

Vicino berkata lagi, bilakah krisis itu akan berakhir tidak diketahuinya, atau adakah ia juga akan menyebabkan kejatuhan ekonomi? Hal ini kerana kemerosotan ekonomi yang teruk akan mengakibatkan keadaan huru-hara, di mana ia juga boleh menyebabkan sebanyak 90 peratus populasi penduduk di dunia terancam.

Syarikat itu mendakwa kompleks perumahan kecil itu turut dilengkapi dengan sistem pelindung khas yang dapat mengelakkan apa jua bentuk bencana termasuklah jika berlaku krisis nuklear.

Projek pembinaan kompleks perumahan di bawah tanah semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu, tetapi ada juga pihak yang mengkritik usaha itu kerana ia dilihat seperti sengaja mencetuskan rasa cemas penduduk dan mahu mengaut keuntungan semata-mata.

Ketua di Pusat Penganalisis di Rusia untuk Pasaran Hartanah, Oleg Repchenko berkata, ketakutan seperti ini telah lama wujud di AS iaitu sejak Perang Dingin lagi terutama selepas kejadian 11 September 2001, di mana ia memberi kesan besar terhadap persekitaran dan psikologi sebahagian penduduk.

"Pada masa ini, kebanyakan penduduk seperti takut dengan ancaman serangan pengganas dan jika bencana alam pada skala besar melanda AS," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT