04 Julai 2012

Malaysia destinasi pilihan Qatar Holding

 Dr Hussain Ali  (kiri),  bersama Ng Yen Yen melihat model hotel yang bakal dibangunkan di Bukit Bintang, semalam. - Foto Nurul Shafina Jemenon/BH
Dr Hussain Ali (kiri), bersama Ng Yen Yen melihat model hotel yang bakal dibangunkan di Bukit Bintang, semalam.

Syarikat labur RM2b buka rangkaian hotel mewah


Kuala Lumpur: Qatar Holding LLC, pemilik rangkaian peruncitan Harrods memilih Kuala Lumpur sebagai dua daripada lokasi pertama rangkaian hotel di bawah jenama mewah itu. Pembangunan hotel itu yang akan dilaksanakannya secara usaha sama dengan syarikat tempatan, Jerantas Sdn Bhd bakal membabitkan pelaburan RM2 bilion.
Naib Pengerusi Qatar Holding, Dr Hussain Ali Al-Abdulla, penerokaan dalam bidang perhotelan itu adalah sebahagian strategi jangka panjang syarikat berkenaan mengembangkan portfolio Harrods selepas mengambil alih rangkaian peruncitan mewah berpangkalan di London itu daripada Mohammed Al Fayed pada 2010.

Beliau berkata, Hotel Harrods Kuala Lumpur itu akan dibangunkan di tapak seluas 2.19 hektar berhadapan pusat membeli-belah Pavilion Kuala Lumpur.

“Kami sudah selesai menjalankan kajian daya maju dan menjangkakan pembinaan hotel tujuh bintang itu akan dimulakan dalam tempoh setahun dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Qatar Holding dan Jerantas bagi usaha sama itu di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Hussain Ali berkata, pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia, persekitaran politik yang stabil serta prospek pelancongan yang cerah mendorong Qatar Holding memilih negara ini untuk membangunkan Harrods Hotel.

“Harrods Hotel Malaysia itu akan mempunyai antara 250 hingga 300 bilik berserta apartmen dan ruang niaga,” katanya.

Selain menjadi rakan usaha sama, Jerantas juga akan menjadi pemaju tunggal projek berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT