18 Februari 2016

India lancar telefon pintar paling murah



AGENSI - SYARIKAT Ringing Bells menjual telefon pintar yang baru dilancarkan semalam pada harga serendah AS$7.30.


NEW DELHI – Sebuah syarikat kurang dikenali di India melancarkan telefon pintar dipercayai paling murah di dunia semalam untuk bersaing dalam pasaran yang kini didominasi telefon pintar berharga murah.

Sebuah telefon pintar Freedom 251 buatan syarikat Ringing Bells itu berharga cuma AS$7.30 (RM30.30) atau bersamaan satu peratus daripada harga iPhone terbaharu.
Ringing Bells ditubuhkan pada September 2015 dan mula menjual telefon pintar menerusi laman webnya sejak beberapa minggu lalu menggunakan jenama Bell, kata seorang jurucakap syarikat itu.

“Ini merupakan model utama kami dan kami percaya ia akan merevolusikan industri ini,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, Ringing Bells mengimport komponen telefon pintar dari luar negara dan memasangnya di India namun, merancang untuk mengeluarkan telefon pintar secara domestik dalam tempoh setahun lagi.

Telefon pintar murah, kebanyakannya dibuat di China, membanjiri pasaran India tetapi pesaing domestik semakin pesat mengeluarkan jenamanya sendiri yang rata-rata berharga kurang daripada AS$20 (RM83).

India yang memiliki pasaran telefon pintar kedua terbesar di dunia kini mempunyai lebih satu bilion pelanggan alat komunikasi berkenaan. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT