19 Februari 2010

Bank Rakyat Catat Untung RM1.55 Bilion

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.55 bilion bagi tahun yang berakhir pada 31 Dis, 2009, peningkatan sebanyak 25.6 peratus berbanding RM1.234 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Jumlah ini dicapai dengan kenaikan 18.3 peratus dalam pendapatan kasar kepada RM3.783 bilion daripada RM3.197 bilion pada 2008.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pencapaian keputusan berkenaan terutamanya disebabkan oleh keseluruhan pendapatan yang lebih tinggi daripada semua segmen perniagaan dan kos dana yang baik.

"Jumlah ini merupakan keuntungan tertinggi yang dicatatkan dalam masa 55 tahun operasinya," kata beliau pada majlis pengumuman prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat di sini Jumaat.

Susulan prestasi cemerlang berkenaan, bank mengumumkan dividen tunai sebanyak 15 peratus berjumlah RM299 juta yang akan dibayar kepada anggota mulai 22 Feb, kata Ismail Sabri.

Pendapatan bersih Bank Rakyat selepas pengagihan untung kepada pendeposit berkembang sebanyak 28.4 peratus kepada RM2.61 bilion, dirangsang oleh pertumbuhan kukuh berterusan dalam pembiayaan berkualiti, deposit dan peningkatan berterusan dalam kualiti aset.

Pendapatan daripada pembiayaan berjumlah RM3.396 bilion berbanding dengan RM2.804 bilion pada 2008 di mana 93.4 peratus adalah daripada perbankan pengguna manakala perbankan komersial menguasai 6.6 peratus jumlah pendapatan pembiayaan.

Ia juga mencatatkan asas fi sebanyak RM81.7 juta, peningkatan 41.6 peratus berbanding dengan RM57.7 juta pada tahun sebelumnya, di mana 65.6 peratus datang dari fi khidmat wasiat, komisyen bagi Takaful dan Mesin Teler Automasi (ATM).

Jumlah aset Bank Rakyat berkembang sebanyak 21.3 peratus atau RM8.9 bilion kepada RM50.6 bilion sehingga akhir tahun lepas, dipacu kebanyakannya oleh pertumbuhan dalam pembiayaan.

Nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) bersih bank sehingga akhir tahun lepas meningkat kepada 0.8 peratus daripada 1.8 peratus pada 2008.

Peningakatan dalam nisbah NPF mencerminkan pengurusan kredit kukuh, proses mendapatkan kembali kredit yang proaktif dan dasar pinjaman berhemat Bank Rakyat, kata Ismail Sabri.

Menteri itu juga berkata Koperasi Bank Persatuan Malaysia Bhd, yang dikenali sebagai Bank Persatuan, akan dinaik taraf kepada bank koperasi tahun ini.

"Kami akan memastikan semua syarat Bank Negara dipatuhi," katanya.

Bank Persatuan yang berpangkalan di Pulau Pinang telah beroperasi sejak tahun 1950-an.

- Sumber dari BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT