19 Februari 2010

Masjid ala China di Malaysia


RANTAU Panjang, Kelantan memang popular untuk membeli-belah. Ada yang sanggup datang dari selatan tanah air untuk mendapatkan tilam dan pinggan mangkuk buatan Thailand. Kini, ia memiliki satu lagi tarikan dengan pembukaan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, akhir tahun lalu. Dibina dengan kos kira-kira RM8.8 juta, masjid ini dikatakan yang pertama menerapkan seni bina China di Kelantan. Ramai pengunjung Kelantan terpikat dengan bentuk atapnya yang melentik di bahagian hujung. Jika atas bumbung utama dicat hijau tua, bahagian bawah atau dalam pula diwarnai dengan merah garang. Dalam kalangan penduduk tempatan, ia lebih dikenali sebagai masjid Cina atau masjid Beijing kerana seni bina berlandaskan Masjid Niujie di Beijing yang sudah berusia lebih 1,000 tahun.

Selain menjadi simbol Islam adalah untuk semua dan bersifat universal, reka bentuk dan hiasan dalamannya turut memiliki sentuhan pengaruh seni bina India dan Uzbekistan. Jika diamati dari dekat, anda akan dapat melihat seni bina tradisional China yang kuat pada dengan motif berupa ‘bracket cluster’ di bahagian bawah bumbung dan corak yang menjadi hiasan pada pintu dinding.
Tata atur bangunan juga diberi perhatian khusus dengan seni bina berkonsepkan ‘dinding dalam dinding’ iaitu laman dalaman seperti yang dilihat di rumah lama di China. Kompleks masjid dua tingkat itu dapat memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Hiasan dalaman bermotifkan Islam seperti panel ukiran ayat suci al-Quran pula menghiasi dinding dewan solat utama.

Menara kubah kecil berbentuk serban dengan lilitan mukanas pada bahagian bawahnya.
Sekeliling luar menara pula ini dihiasi dengan 99 nama Allah dari bahagian atas sehingga ke bawah.

Kawasan khas pula diperuntukkan untuk bazar untuk penjualan barangan dan cawangan perbankan Islam.
- Sumber dari Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT