19 Februari 2010

Tanah Berharga RM454,000 semeter!!!??

MAKKAH: Harga tanah sebesar semeter persegi di beberapa kawasan di Makkah kini didakwa mencecah SR500,000 (RM453,644) dan ia dijangka meningkat lagi selari dengan projek pembesaran Masjidil Haram.
“Harga tanah meningkat dari masa ke semasa sepanjang tempoh projek pembesaran Masjidil Haram yang bertujuan meningkatkan kapasiti jemaah.

“Nilai tanah di sekitar Masjidil Haram kini terlalu mahal, apatah lagi yang terletak hampir dengannya. Malah ia kini lebih bernilai daripada emas dan berlian,” kata pelabur hartanah, Ahmad Al-Ghamdi.

Beliau menyatakan, pelabur bagaimanapun berlumba-lumba memiliki tanah di sekitar kawasan itu kerana pulangan lumayan yang bakal mereka peroleh.

“Jutaan umat Islam membanjiri bandar ini sepanjang tahun dan atas sebab itu Makkah memerlukan lebih banyak bangunan untuk memenuhi keperluan mereka.” Pada masa sama, nilai tanah di kawasan yang berjauhan dengan Masjidil Haram turut dilapor meningkat akibat projek pembesaran itu.

“Permintaan membeli rumah oleh penduduk Makkah kini meningkat lebih daripada 54 peratus.

“Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada permintaan di bandar lain dengan peningkatan purata hanya 2.5 peratus setiap tahun,” kata Ahmad lagi.

Jurunilai hartanah, Ibrahim Abdul Halim bagaimanapun berkata, peningkatan permintaan kediaman di Makkah tidak memeranjatkan kerana bandar itu amat penting buat umat Islam.

“Selain pengunjung dan jemaah, Makkah memiliki lebih 688,000 penduduk, termasuk 137,000 keluarga,” katanya.

Beliau menyatakan, keluarga di Makkah memerlukan 88,600 apartmen dan 13,700 rumah.

“Untuk beberapa tahun lagi, penduduk memerlukan lebih 35,000 apartmen dengan nilai pelaburan lebih SR12 bilion (RM10.9 bilion) dan kira-kira 2,500 villa dan rumah bernilai lebih SR14 bilion (RM12.7 bilion),” katanya lagi.

Bagi memenuhi permintaan dan membina apartmen dan juga rumah yang diperlukan, Makkah memerlukan kira-kira 13 juta meter persegi tanah kosong.

Sementara itu, pampasan kepada pemilik bangunan yang dimusnahkan untuk projek pembesaran Masjidil Haram kini mencecah lebih SR40 bilion (RM36.3 bilion). - Agensi

- Sumber dari Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT