20 Julai 2010

Punca sakit leher, belakang

Selain bebanan pada tubuh, masalah ini juga boleh disebabkan saraf tunjang, paru-paru dan abdomen tidak normal

DIANGGARKAN 80 peratus orang dewasa pernah mengalami masalah sakit belakang dalam kehidupan mereka dan kira-kira 50 peratus pula mengalami sakit leher atau sakit tengkuk.

Malah, sakit belakang dan sakit tengkuk atau leher adalah kesakitan paling lazim yang memaksa pesakit bertemu doktor, selain menjadi penyebab utama kecacatan, meninggalkan kerja dan membabitkan kos penjagaan kesihatan yang tinggi.


Secara perubatan, leher dan bahu terdiri daripada otot, tulang, saraf, arteri dan salur darah, begitu juga ligamen dan struktur sokongan lain. Banyak keadaan yang boleh menyebabkan sakit leher dan belakang khususnya kawasan sekitar bahu. Ada yang mengancam nyawa seperti serangan jantung dan trauma serta keadaan lain seperti bebanan. Perlu diketahui, antara tabiat buruk menyebabkan sakit belakang:
  • Gemar membongkok ke depan dan beralih ke kiri dan kanan ketika mengangkat atau menarik sesuatu.
  • Membongkok ke depan dan ke bawah ketika bekerja.
  • Perjalanan yang jauh tanpa berhenti rehat.
  • Berdiri terlalu lama.
  • Membawa barang yang beratnya tidak seimbang.
  • Duduk membongkok di kerusi.
  • Membongkokkan badan ketika batuk atau bersin.
  • Memakai kasut bertumit tinggi.
INFO: Petua elak sakit belakang
  • Tidur di atas tilam spring; letakkan papan di atas dasar tilam.
  • Elakkan diri daripada ketegangan yang boleh menyebabkan sakit belakang.
  • Kekalkan kedudukan susuk badan (posture) yang baik ketika duduk dan berdiri.
  • Apabila mengangkat barang, tegakkan belakang anda dan bengkokkan lutut saja.
  • Pelajari senaman yang boleh membaiki pergerakan dan kedudukan susuk badan anda.
  • Jika memandu, anda perlu berhenti dan berehat seketika atau keluar dari kereta setiap 90 minit.
  • Bagi wanita, pakai kasut bertumit rendah.
  • Luangkan sedikit masa untuk berehat dan elakkan daripada terlalu banyak membuat kerja yang membebankan untuk jangka waktu yang lama.
  • Pegang objek yang berat rapat ke badan anda.
  • Apabila duduk di kerusi, pilihlah tempat duduk yang dapat mengampu seluruh paha anda dan biarkan kaki anda lurus ke bawah dan memijak lantai atau bangku kecil dengan selesa.

Lelaki muda tak endah darah tinggi

pix_gal0

Panduan Asas Tekanan Darah
Kategori Systolic (mm Hg) Diastolic (mm Hg)
Optima kurang 120 dan kurang 80
Normal kurang 130 dan kurang 85
Normal (tinggi) 130-139 atau 85-89

Info: Kawal tekanan darah tinggi
  • Kurangkan berat badan
  • Bersenam
  • Kurangkan pengambilan garam dan ambil menu yang sihat
  • Berhenti merokok
  • Kurangkan pengambilan kafein
  • Kurangkan tekanan
  • Lakukan pemeriksaan tekanan darah secara berkala.
  • Anak obes

    pix_gal0
    Gemuk melampau ancaman utama kanak-kanak di Malaysia, termasuk di luar bandar

    BAYI yang gempal sering menjadi tumpuan kerana disifatkan sebagai comel. Namun, di sebalik kecomelan itu, sebenarnya terkandung bahaya jika bayi yang montel itu kekal gemuk dan seterusnya obesiti apabila dewasa.

    Lebih membimbangkan, obesiti bukan masalah peribadi atau individu itu semata-mata tetapi turut menjejaskan pembangunan negara. Apalagi kanak-kanak yang berperanan sebagai generasi muda negara. Anak obes ini berdepan pelbagai risiko kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan tahap lemak dalam darah abnormal, penolakan insulin dan diabetes jenis dua, hati dan pundi kencing terjejas serta kemurungan.

    Risiko Masalah lain yang turut menjejaskan kehidupan seharian mereka termasuk sering tercungap-cungap, gelisah atau masalah tidur, kelihatan lebih berusia atau lebih dewasa sebelum usia (kanak-kanak terlebih berat mungkin lebih tinggi atau cepat matang dari segi seksual berbanding rakan sebaya). Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka berhadapan masalah gangguan kitaran haid dan masalah kesuburan.

    Di Malaysia, masalah itu tidak terkecuali apabila semakin ramai kanak-kanak ‘dibiarkan’ obes akibat sikap ibu bapa yang tidak prihatin soal pemakanan anak-anak. Bayangkan, si kecil yang didedahkan dengan makanan segera yang mengandungi banyak lemak pada usia awal lagi.

    Kanak-kanak Melayu berusia 7 hingga 12 tahun misalnya, menjadi kumpulan terbesar atau 67 peratus yang bermasalah obesiti di Semenanjung Malaysia berbanding kumpulan etnik lain.
    Hasil dua kajian oleh universiti tempatan menunjukkan 23 peratus kanak-kanak Cina dan 10 peratus kanak-kanak India mengalami masalah lebihan berat badan dalam lingkungan usia sama.

    INFO: Tangani obesiti si kecil

  • Seawal usia kehamilan hingga setahun
    Susu ibu bantu cegah masalah berat badan dan bayi yang menyusu lebih berupaya kawal pengambilan makanan.

  • Usia dua ke enam tahun
    Sesuai memulakan tabiat pemakanan yang baik. Bantu anak membentuk pemilihan makanan dengan pengenalan kepada pelbagai jenis makanan yang sihat. Galakkan juga mereka untuk aktif bersukan.

  • Usia 7- 12 tahun
    Galakkan mereka dengan aktiviti fizikal. Jika tidak menyepak bola di padang, berjalan-jalan atau bermain di laman sudah memadai.

  • Usia 13 ke 17
    Remaja gemarkan makanan ringan dan segera. Namun, hadkan kepada tiga bulan sekali, andai mereka benar-benar mahukannya. Didik mereka hargai makanan sihat selain babitkan mereka dalam usaha menyediakan makanan sihat bersama-sama di rumah.

  • Kurangkan masa menonton televisyen, komputer atau bermain komputer. Jangan biasakan mereka makan sambil menonton televisyen.
  • 16 Julai 2010

    Syaaban masa perbaiki diri bagi menghadapi Ramadan

    DARIPADA Aisyah, katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa Baginda akan berpuasa seterusnya. Dan Baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya pada Syaaban. (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Syaaban ertinya berpecah atau bercerai-berai. Ia dinamakan demikian kerana orang Arab pada bulan itu akan berhijrah ke tempat lain untuk mencari air sehingga ke gua-gua. Ada mengatakan, Syaaban tanda pemisah yang memisahkan Rejab dan Ramadan.

    Dapat disimpulkan, pengertian Syaaban adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan memasuki Ramadan.

    Sebahagian ahli hikmah menyatakan, sesungguhnya Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, Syaaban pula adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan dan Ramadan adalah masa untuk menerangkan hati dan membersihkan jiwa.

    Antara amalan digalakkan pada Syaaban adalah memperbanyakkan puasa sunat. Kitab Durratun Nasihin ada menyebut Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.

    Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mengagungkan Syaaban, bertakwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri daripada perbuatan maksiat, maka Allah mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya dalam tahun itu daripada segala macam bencana dan penyakit. (Dipetik daripada kitab Zubdatul Waizhin)

    Bertaubat dan meraikan malam 15 Syaaban atau lebih dikenali sebagai malam Nisfu Syaaban di mana sunat ia dihidupkan dengan membaca zikir dan al-Quran kerana malam itu adalah malam yang amat mustajab dan penuh dengan rahmat.

    FUTURISTIK


    Jet pejuang Taranis yang menggunakan sistem teknologi tinggi tidak mampu dikesan radar, diperkenalkan BAE System, kelmarin di London. – AGENSI

    Firma pertahanan Britain, BAE System kelmarin memperkenalkan jet pejuang berteknologi tinggi, Taranis, yang dilengkapi sistem pintar dan tidak mampu dikesan radar.

    Jet tanpa pemandu dan mempunyai saiz sama seperti pesawat Hawk ini bukan sahaja mampu mengangkut bom, peluru berpandu dan menembusi jauh ke kawasan musuh tanpa disedari, malah boleh bertindak sebagai pembunuh senyap, walaupun musuh berada di benua lain.

    Taranis memiliki sensor untuk melaksanakan risikan dan pengawasan di kawasan musuh dan boleh dikawal dari jauh menggunakan satelit komunikasi dari mana-mana tempat di dunia.

    Dengan reka bentuk moden tidak ubah seperti kapal angkasa, Taranis mampu mempertahankan diri sendiri daripada ancaman jet pejuang tanpa pemandu dan dengan pemandu, dijangka dipandu uji tahun depan.

    Satelit kesan sinaran dari letupan bintang


    Imej yang dikeluarkan NASA pada Rabu lalu ini merakamkan sinaran paling terang yang dikesan oleh satelit Swift yang dicetuskan oleh letupan besar bintang yang dikenali sebagai Tycho Supernova atau SN1572, (bulatan merah di bahagian atas kiri gambar) beribu-ribu tahun lalu. Kali pertama sinaran itu dikesan ialah pada 1572 dan cahayanya adalah seterang planet Zuhrah. – AFP

    WASHINGTON 15 Julai – Letupan sebuah bintang lima bilion tahun silam mengeluarkan sinaran paling terang pernah disaksikan sehingga menyilaukan sebuah satelit yang ditempatkan di orbit untuk merakamkan peristiwa seumpama itu.

    Cetusan sinar gama dan pancaran sinar-X yang menyusul selepas letupan itu berpunca daripada sebuah bintang yang musnah lima bilion tahun lalu, jauh di luar galaksi Bima Sakti, kata saintis Britain dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), semalam.

    Tempoh selama itu diperlukan untuk radiasinya sampai ke satelit pencerap Swift yang berada dalam orbit.

    Cetusan sinar-X yang begitu terang menyilaukan Swift pada 21 Jun lalu, dan perisian satelit tersebut menganggapnya sebagai satu kelainan yang tidak perlu dihiraukan, kata pakar astronomi itu.

    “Kekuatan sinar-X itu di luar jangkaan dan belum pernah dilihat sebelum ini,” kata penyelidik utama Swift, Neil Gehrels di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard di Maryland.

    Katanya, cetusan yang diberi nama GRB 100621A ialah sumber sinar-X paling terang yang pernah dikesan oleh Swift sejak satelit itu mula mencari fenomena sedemikian pada 2005.

    “Cetusan itu begitu terang sehingga menyebabkan perisikan analisis data kami berhenti berfungsi,” kata Phil Evans dari Universiti Leicester, Britain.

    Beliau mengesan cetusan itu ketika meneliti data yang dirakamkan dari Swift.

    – Reuters

    Adab bermunajat


    Kita disuruh berdoa sebagai tanda perhambaan kepada Allah yang Maha Kuasa. - Gambar hiasan

    KITA tidak hanya dituntut menjaga adab dengan manusia sahaja, bahkan juga dengan Allah SWT. Seorang wali Allah, Wahab r.a. mengatakan: "Aku telah membaca dalam sebahagian kitab suci, bahawa Allah SWT berkata: Hambaku, patuhlah kepadaku terhadap apa yang telah aku perintahkan kepadamu, dan jangan kamu mengajar aku dengan sesuatu demi kemuslihatanmu.

    "Aku akan memuliakan kepada sesiapa sahaja yang memuliakan aku, sebaliknya aku akan menghina sesiapa yang merendah-rendahkan perintahku, dan Aku tidak melihat pada hak seseorang hamba sehingga hamba itu melihat pada hak-Ku".

    Manusia mengharapkan pertolongan Allah apabila berhadapan dengan kesusahan, mala petaka, musibah dan lain-lain.

    Manusia bermohon kepada Allah agar kehendak dan keinginannya tercapai. Jika sebaliknya, maka tidak ada apa dilakukan kerana tidak ada apa-apa tujuan.

    Manusia yang tidak bermohon kepada Allah, adalah orang yang sombong.

    Sikap manusia ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (al-Mukmin: 60)

    Inilah sikap manusia. Apabila ditimpa apa jua musibah yang tidak menguntungkan dirinya akan berhubung dengan Allah, jika sebaliknya Allah tidak dihajati lagi.

    Sikap sebegini menampakkan manusia tidak memahami adab dengan Allah. Ini kerana berdoa bukan untuk memohon agar Allah perkenankan hajat, tetapi ia menunjukkan sifat perhambaan manusia kepada Allah sebagai merendah diri kepada-Nya.

    Sepatutnya kita bermohon kepada Allah, tetapi Dia yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Ini kerana kita tidak mengetahui hakikat yang sebenar adakah yang kita pilih baik atau buruk di sisi Allah SWT.

    Menjadi tanggungjawab Allah untuk memperkenankan bila dan apa yang kita pohon. Apa yang kita kehendaki tidak bermakna Allah menghendaki. Kita suka tidak semestinya Allah suka.

    Allah perkenankan doa

    Menurut Ibn 'Ataillah, terdapat tiga jenis manusia dalam berdoa kepada Allah:

    lManusia yang tidak pernah berpaling daripada Allah. Sentiasa menyerah diri kepada-Nya dengan harapan mencapai reda Allah. Menerima apa sahaja ketentuan Allah dan sentiasa bersangka baik sama ada Allah perkenan doanya atau tidak.

    lManusia yang berdoa kepada Allah dan yakin bahawa Allah tetap dengan janji-Nya dan sesekali tidak menyalahi janji-Nya.

    Jika hajatnya belum tercapai dan doanya lambat diperkenankan, dia beranggapan positif bahawa kemungkinan cara dan kaedah, atau pelakuannya yang tidak mengikut perintah Allah. Masih melakukan maksiat sama ada disedari atau tidak.

    Harapannya sentiasa tinggi agar Allah memperkenan doanya, lalu dia gembira apabila diperkenankan-Nya dan disyukuri.

    lManusia yang tidak pernah putus harapan berdoa kepada Allah untuk memohon apa yang dihajati.

    Namun pada masa yang sama meninggalkan perintah Allah, mengerjakan larangan dan tegahan Allah dan hatinya tidak sejajar dengan apa yang didoakan. Doa orang seperti ini lambat dimakbulkan.

    Apabila doanya lambat diperkenankan hatinya menjadi ragu-ragu dan timbul kebimbangan.

    Wirid dan warid

    Dua perkara ini saling berkait di dalam perhubungan manusia dengan Allah. Bagi mencapai reda Allah dan syurga-Nya maka seseorang hamba itu perlu berwirid.

    Wirid adalah segala amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wirid ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan jika tertinggal maka segera diqada.

    Hasil daripada usaha dan ketekunan wirid ini, maka Allah akan menganugerahkan warid. Warid adalah sesuatu yang dianugerahkan atau kemuliaan yang diberi Allah kepada seseorang hamba berkat amal solehnya.

    Anugerah dan kemuliaan ini yang datang daripada Allah dalam bentuk nur. Ia tidak dapat dilihat dengan pancaindera mata, hati akan dilimpahi dengan ilmu tentang ketuhanan dan menjadikan imannya semakin bertambah.

    Ini bermakna warid adalah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat dan patuh serta tunduk kepada-Nya. Wirid adalah kewajipan kita yang dituntut oleh Allah ke atas kita. Ibn 'Ataillah al-Askandari menyebutkan bahawa: "Datangnya bantuan Allah adalah berdasarkan kepada sejauh mana persiapan hamba-Nya".

    Wirid adalah menjadi hak Allah untuk ditunaikan oleh manusia dengan mengerjakan segala yang wajib dan menampungnya dengan amalan sunat.

    Inilah akhlak orang yang beriman dan menjadi jalan ahli ibadat bagi menambah dan meningkatkan imannya kepada Allah SWT. Inilah yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam sabda-Nya yang bermaksud: "Sebaik-baik amal kepada Allah ialah amal yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit."

    Khalid al-Walid ‘pedang Allah’

    PERJANJIAN damai Hudaibiah banyak membuka hati orang-orang kafir untuk memeluk Islam. Antaranya yang memeluk Islam ialah Khalid bin al-Walid. Beliau dahulu adalah pemimpin pasukan Quraisy yang sangat terkemuka. Beliau juga merupakan seorang pahlawan perang yang sangat gagah dan berani.

    Hampir semua peperangan disertai oleh beliau akan beroleh kemenangan. Selepas memeluk Islam, Rasulullah memberikannya jolokan ‘Saifullah’ iaitu Pedang Allah. Beliau juga telah menakluki negeri Syria.

    Selepas memeluk Islam, Khalid menjadi pemimpin dalam setiap peperangan. Ini disebabkan beliau bijaksana dan berpengalaman dalam mengatur strategi peperangan.

    Ketika beliau melihat jumlah pasukan musuh di Muktah yang berlipat ganda ramainya, beliau memasang strategi dengan mengajak pasukannya mundur ke selatan sementara pihak musuh mundur ke utara.

    Dengan itu, kedua-dua pasukan tidak bertembung dan berada dalam keadaan yang jauh. Keadaan itu menjadikan mereka lebih selamat dalam pasukan daripada meneruskan peperangan yang akan membawa kepada kebinasaan dan kematian.

    Sementara itu, beliau juga telah menugaskan sebahagian pasukannya yang berada di barisan belakang untuk melancarkan pertembungan dan pergaduhan sebagai taktik seolah-olah pasukan Muslimin sedang mendapatkan bantuan dari Madinah.

    Taktik yang beliau atur ini ternyata berhasil. Pihak musuh menjadi takut terhadap pasukan Muslimin sehingga sebahagiannya terus berusaha mundur dan tidak meneruskan peperangan.

    Ketika hendak memeluk Islam, beliau telah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat dikenali oleh semua orang dan pengikut-pengikut baginda juga semakin bertambah.

    Pernah suatu ketika, baginda dan rombongan baginda dalam perjalanan menuju ke Hudaibiah, pasukan Khalid telah mengekori baginda. Kemudian beliau melihat Rasulullah bersembahyang Zuhur bersama-sama para sahabat baginda.

    Pada mulanya beliau bercadang hendak menyerang mereka ketika mereka sedang bersembahyang itu, tetapi tiba-tiba tidak tercapai keinginan untuk membuat sedemikian.

    Khalid terus menunggu sehingga baginda menunaikan solat Asar pula. Tetapi niat itu diketahui oleh Rasulullah, lalu baginda dan para sahabat terpaksa menunaikan solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut dan berjaga-jaga.

    Terus hati Khalid berasa serba salah dan tidak jadi hendak menghalang Rasulullah.

    Apabila beliau mengetahui pemergian baginda ke Hudaibiah adalah untuk membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy, terus Khalid bersemangat untuk mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk Islam.

    Lalu beliau pun segera mengajak kawan-kawannya untuk pergi ke Madinah menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Rasulullah sungguh gembira menyambut kedatangan Khalid dan sahabat-sahabatnya, lalu mengislamkan mereka.

    09 Julai 2010

    Pembinaan Masjid Nabawi


    Masjid Nabawi di Madinah.

    SELEPAS membina masjid Quba', Rasulullah SAW pun meneruskan perjalanan baginda bersama-sama dengan sahabat ke Madinah yang juga ketika itu dikenali sebagai Yathrib.

    Perjalanan yang ditempuh amat jauh dan memakan masa berhari-hari. Cuaca padang pasir yang panas terik dan kering menyukarkan perjalanan. Walaupun begitu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat baginda dan para sahabat untuk berhijrah.

    Ketika dalam perjalanan itu juga, tiba-tiba sahaja unta yang ditunggang oleh Rasulullah berhenti dan melutut. Terdapat beberapa orang Islam sedang mengerjakan solat di tempat itu. Baginda dan para sahabat pun berhenti di situ.

    Di tempat itu juga terdapat dua orang anak lelaki yatim piatu. Seorang bernama Sahl dan seorang lagi Sohail. Mereka mempunyai sebuah kandang unta di tempat yang betul-betul mengenai tapak Rasulullah ingin membina masjid.

    Sebagaimana yang diketahui, Rasulullah akan membina masjid di mana sahaja baginda berhenti. Baginda pun memanggil kedua-dua orang lelaki itu. Baginda ingin berunding untuk mendapatkan kandang unta mereka. Tujuan baginda adalah untuk membina sebuah masjid di situ.

    Mereka pun berkata: "Wahai Rasulullah, ambil sahajalah kandang unta kami itu. Binalah masjid sebagaimana kehendak Allah. Kami amat berbesar hati sekiranya dapat berbakti di jalan Allah."

    Walaupun begitu, Rasulullah menolak tawaran mereka itu. Baginda telah membayar sebanyak 10 dinar dan mengarahkan sahabat untuk membuat pembayaran kepada mereka berdua.

    Setelah itu, pembinaan masjid Nabawi pun dimulakan. Rasulullah telah mengarahkan pokok-pokok kurma ditebang dan batu-batu dialihkan.

    Kubur-kubur pada zaman Islam telah digali dan ditanam semula di tempat lain. Kawasan tapak kandang unta itu terdapat air yang bertakung. Baginda pun telah mengarahkan para sahabat agar mengalirkan air itu ke tempat lain sehingga kering.

    Masjid Nabawi yang dibina itu mempunyai ukuran panjang dari depan ke belakang lebih kurang 100 hasta dan begitu juga pada bahagian sisi sebelah lagi. Ia berbentuk empat persegi dan dipengaruhi dengan reka bentuk pembinaan pada ketika itu.

    Binaan asasnya pula berukuran tiga hasta dalam yang dibina di atas tanah. Para sahabat dan baginda membina masjid ini secara bergotong-royong.

    Rasulullah membuat kiblat ke arah Baitulmaqdis di Palestin kerana pada ketika itu belum diperintahkan arah kiblat menghadap ke Kaabah di Mekah. Unsur-unsur seni bina Masjid Nabawi banyak menyerupai Masjid Quba.

    Kedua-dua masjid ini mempunyai ciri-ciri rekaan dan binaan daripada Masjidil Haram di Mekah. Pada tahun 700 masihi, Masjid Nabawi diperbaharui atas perintah khalifah Walid Abdul Malik.

    Bantu si comel


    Bantu anak berjalan dengan cara yang betul. - Gambar hiasan

    MENYAKSIKAN anak mula belajar berjalan merupakan detik yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh pasangan suami isteri.

    Namun apa yang berlaku sebenarnya, anak itu sendiri yang memutuskan bila dia bersedia untuk membuka langkah pertama.

    Paling penting ibu bapa tidak harus membandingkan keupayaan anak mereka untuk berjalan dengan anak orang lain, sebaliknya terima saja keupayaan anak itu seadanya.

    Ada sesetengah anak yang mula belajar berjalan ketika memasuki usia setahun dan ada juga anak yang baru belajar untuk meluruskan kaki ketika usianya sudah mencapai 18 bulan.

    Apa pun selagi bayi membesar dengan normal, ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Namun jika ingin menyedapkan hati, ibu bapa boleh bertanya atau mendapatkan pandangan doktor.

    Berjalan merupakan proses yang berkaitan dengan keseimbangan, perkembangan motor dan perbuatan yang tidak terlalu tergopoh-gapah. Sesetengah bayi, dapat berdiri tegak sudah satu kejayaan baginya, manakala yang lain dapat melangkahkan satu kaki ke hadapan merupakan impian yang tidak terhenti di situ saja.

    Sebenarnya terdapat beberapa cara ibu bapa oleh membantu bayi belajar berjalan. Galakkan bayi untuk berdiri dan berpapah pada perabot rumah untuk meningkatkan kestabilan dan membantunya belajar menyeimbangkan badan dengan betul.

    Apabila bayi semakin yakin, dia akan memilih untuk bergerak mengelilingi perabot untuk mencapai mainan kesukaannya.

    Baby walker

    Alat bantuan berjalan yang mempunyai tempat duduk dan beroda ini bukan alat terbaik untuk membantu anak berjalan lebih awal.

    Malah ia sebenarnya boleh menyekat perkembangan semula jadi anak untuk berjalan. Bayi yang menggunakan walker cenderung bergantung kepada alat tersebut untuk bergerak dan menyeimbangkan badan.

    Keadaan ini menyebabkan otot yang diperlukan untuk berjalan tidak berkembang seperti sepatutnya.

    Gunakan baby walker dengan berwaspada memandangkan setiap tahun banyak berlaku kemalangan disebabkan alat tersebut.

    Kaki ayam

    Alam semula jadi sebenarnya memberi kita lapik tapak kaki terbaik untuk kita mengekalkan keseimbangan badan. Memakaikan kasut pada anak yang baru cuba berjalan juga tindakan semula jadi, tetapi cuba biarkan anak terbiasa dengan permukaan yang berbeza-beza seperti rumput, karpet, kayu dan pasir. Ia akan menjadi pengalaman yang menarik dan mengujakan bagi anak.

    Pegang tangan

    Memegang atau memimpin tangan memang dilihat cara terbaik untuk membantu anak berjalan tetapi sebenarnya menjejaskan keseimbangannya.

    Kalau mahu juga berbuat demikian cuba pegang badannya supaya tegak.

    Interaksi

    Satu dunia 'baru' akan terbuka apabila anak boleh berdiri dan dia akan melihat sekelilingnya dengan perspektif yang baru. Sokong keterujaan itu dengan menghabiskan lebih banyak masa bersamanya dan beri galakkan untuk dia berasa lebih yakin menggerakkan atau melangkahkan kakinya.

    Dan apabila dia jatuh, ketawa bersamanya dan galakkannya untuk mencuba lagi. Anak anda akan cuba mencapai semua benda apabila dia boleh berjalan. Waktu ini mungkin anda akan 'merindui' saat-saat dia hanya berbaring di katil.

    Khasiat limau bali


    Buah limau bali muda berumur antara empat dan lima minggu.

    INOVASI ini dihasilkan daripada tisu buah limau bali muda (Citrus grandis) menggunakan teknik pengkulturan tisu. Ia berupaya digunakan sebagai sumber antioksida semula jadi dalam produk kesihatan dan makanan berfungsi.

    Sumber antioksida daripada bahan semula jadi iaitu limau bali muda yang berpotensi tinggi menggantikan bahan sintetik yang kini menguasai pasaran.

    Kelebihan CiTRUsX adalah kandungan asid askorbik yang tiga kali ganda lebih tinggi berbanding buah limau bali itu sendiri.

    Produk ini juga mengandungi sebatian gandingan yang sama dengan buah limau seperti flavones, flavanones dan beberapa komponen lain yang melengkapkan fungsi sebagai antioksida dan ia hanya diperoleh dalam antioksida semula jadi.

    Tisu hasil dari proses kultur ini amat berpotensi dalam menghasilkan bahan sebatian semula jadi kerana ia terdiri daripada struktur sel yang homogen dan sememangnya tersedia untuk diaplikasikan ke dalam produk kesihatan dan makanan berfungsi tanpa perlu melalui proses pengekstrakan.

    Sumber antioksida semula jadi dari tisu kultur buah limau bali muda ini boleh dicampurkan terus pada produk kesihatan termasuk vitamin, makanan berfungsi, minuman kesihatan dan produk penjagaan kulit.

    Selain itu, ia juga mampu bertindak sebagai bahan pengawet semula jadi bagi memanjangkan jangka hayat produk.

    Penggunaan buah limau bali muda dalam penyelidikan ini dapat mengurangkan pembaziran pembuangan buah limau bali muda yang dilakukan kebanyakan pengusaha tanaman itu bagi memberi peluang sebahagian buah saja membesar pada saiz yang dikehendaki.

    Secara tidak langsung, penyelidikan ini turut memberi tambah nilai kepada industri penanaman pokok limau bali yang kebanyakannya tertumpu kepada pemasaran buah limau bali matang semata-mata.

    Permintaan dan pasaran asid askorbik yang sememangnya tinggi di dunia masa kini memberi kelebihan kepada produk ini.

    Tambahan pula ia dihasilkan secara semulajadi memberi kelebihan untuk dipilih apabila memasuki pasaran kelak.

    Sejarah Sel Stem


    Seorang lelaki menjalani rawatan sel stem untuk merawat kakinya yang lumpuh.

    Sel stem merupakan satu bidang bioteknologi yang sudah lama diperkenalkan di dunia. Sel stem yang diperkenalkan di Malaysia beberapa tahun lepas menjadi jalan penyelesaian kepada beberapa pemasalahan penyakit terutama berkaitan genetik.

    Kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati darah tali pusat mengandungi banyak sel termasuk sel stem. Pada tahun 1998 pula, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit fanconi anemia.

    Pada tahun 1997, Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya - PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang pesakit talasemia major yang didermakan daripada adiknya yang baru lahir.

    Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya, PPUM berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita leukemia.

    Sel stem ialah sel kosong berbanding sel-sel lain yang bersifat tersendiri dan berkeupayaan terbahagi dan menghasilkan rangsangan pembentukan sel-sel lain seperti dalam darah merah dan sel darah putih.

    Darah di dalam tali pusat bayi adalah sumber sel stem yang sangat bernilai secara genetiknya.

    Sel ini yang ada di dalam tali pusat adalah building block kepada darah dan sistem pertahanan yang biasanya akan ditukarkan kepada sel darah merah, sel darah putih dan platelet, iaitu sel yang akan memulihkan kecederaan. Oleh itu ia boleh digunakan untuk merawat sel-sel dan tisu-tisu gantian bagi merawat 70 jenis penyakit seperti parkinson, alzheimer, leukemia, angin ahmar, serangan jantung, kencing manis, penyakit darah (barah, talasemia, anemia), sklerosis berbahagi, artritis reumatoid dan lumpuh saraf tunjang.

    PERCUTIAN KELUARGA DI LANGKAWI

    Pada 2 Julai yang lepas, aku bersama keluargaku telah pergi bercuti di Langkawi. Percutian ini telah mendapat sponsor dari PROTON kerana kami telah membeli kereta EXORA tempohari. Kos ini hanyalah melibatkan penginapan sahaja dan kami menginap di Hotel Holiday Villa di pantai tengah.

    Percutian ini boleh dianggap seronok kerana hanya melibatkan kami sahaja ( aku, isteri dan 2 org anak ). Sebelum ini, kami bercuti beramai-ramai termasuk kakak & abang aku.

    Antara tempat yang telah kami lawati ialah Underworld, Kabelcar, Muzium Perdana (Tun Dr, Mahathir Galeri), Padang Maksirat dan Makam Mahsuri.


    Mandi di Pantai Chenang


    Rumah tradisional di Padang Mahsirat


    Bergambar di Makam Mahsuri


    Kereta Kebanggaan Malaysia, F1


    Isteri dan anak-anak di dalam Galeri Tun Dr. Mahatzir


    Diriku

    KURSUS

    Pada 24 Jun yang lepas, aku telah ditawarkan oleh Yayasan Badan Berkanun untuk menghadiri kursus di Kota Kinabalu, Sabah. Aku sangat teruja untuk ke sana kerana ini merupakan kali pertama aku akan menjejak kaki ke Sabah. Ia juga pengalaman pertama aku untuk menaiki kapal terbang. Aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada majikanku ( SME Corp. Malaysia ) kerana memberi peluang untuk aku merasai semua ini dan juga untuk menambahkan ilmu pengetahuanku didalam bidang kewangan kerajaan.

    Kursus aku bermula dari 24-26 Jun 2010 dan tajuknya Kursus Kewangan Kerajaan.

    Aku menaiki kapal terbang dari Bayan Lepas pada 23 Jun jam 9.05mlm. Ini adalah kerana perjalanan dari P.Pinang ( Airasia ) hanya sekali sahaja untuk satu hari. Pengalaman menaiki kapalterbang memamg tidak dapat dilupakan, teknologi manusia telah berjaya membawa dari satu tempat ke tempat yang lain dalam tempoh yang singkat.

    Ketibaan aku di Kota Kinabalu jam 12.15 tghmlm telah disambut oleh Encik Ghazali, Pengarah SME Corp Negeri Sabah. Aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi untuk mengambil aku di lapangan terbang. Seterusnya beliau menghantar aku terus ke hotel penginapan aku iaitu Daya Hotel KK.


    Hotel Penginapan


    Hujan turun di sepanjang kursus di sabah. Walaupun begitu, aku bersama dengan rakan kursus sempat juga untuk berjalan disekeliling bandar Kota Kinabalu nie. Pada petang 24 Jun, kami menuju ke kedai menjual mutiara iaitu "Jamilah Optemetries". Barangan yang dijual memang baik dan berkualiti, begitu juga dengan 'harganya'.


    Permadangan di Pasar Basah, ada ikan todak besar.





    Pasar Besar Kota Kinabalu

    Kami juga pergi ke Pasar Besar, Bazar Philiphine, Pasar Malam dan tempat menjual barangan kraf.

    Pada 26 Jun, kami sempat juga pergi snorkling di Pulau Sapi untuk beriadah.


    Menaiki bot menuju ke Pulau Sapi, Sabah


    Aktiviti Snorkling, kali pertama nie


    Pemandangan di ketibaan Pulau Sapi

    Pada hari terakhir ini tiada aktiviti lain yang dilakukan kerana masing-masing sibuk berkemas untuk pulang. Perjalanan pulang aku ke Pulau Pinang adalah jam 6.05 petang. Selepas check-out dari hotel, dalam jam 3.00ptg aku bertolak ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Aku tunggu disana selama 3 jam dan ia sangat membosankan kerana tiada permandangan dan tempat yang menarik untuk dilihat.

    Walaupun begitu aku berasa seronok berada di sabah ini dan bercadang untuk pergi lagi ke sana bersama keluarga kerana banyak lagi tempat yang belum dilawati.

    DUIT