|
MEMPELAI yang hendak dirai Mohammad Marji, 57, sudah pun beredar meninggalkan majlis. Namun, seperti ada rasa tanggungjawab, Mohammad atau mesra disapa Pak Mat berkeras dan semahu-mahunya hendak mempersembahkan tarian barongan yang menjadi kebanggaannya.
Meskipun sudah lewat lima jam ke majlis perkahwinan itu, dia tidak kisah kalau pasangan mempelai tiada, janji masih ada tetamu yang boleh dihiburkannya.
Lelaki itu tidak henti meluahkan kekesalan atas kelewatannya. "Tak tahulah apa yang tak kena dengan kereta aku. Anak buah aku semua dah ada kat padang, tunggu aku je ni," dengusnya.
Memang benar. Peralatan muzik dan para penari sudah sedia menanti pewaris Barongan Kampung Parit Binggan Batu, Batu Pahat, Johor di Padang Perumahan Awam Labis itu.
Tanpa banyak bicara, Pak Mat lantas mencapai trompetnya yang terukir kepala naga di hujungnya untuk memulakan persembahan.
Tatkala bunyi gong, gendang, bonang, angklung dan trompet bersatu dan alunan irama yang mengasyikkan mula bergema, semua tetamu bagaikan larut mendengarnya.
Lagu bertajuk Cecah Rowo, Caping Gunung dan Perahu Layur dendangan kumpulan Barongan Seri Wahyuni berjaya memikat perhatian para hadirin.
Tidak kira tua atau muda, masing-masing terpaku dan enggan berganjak. Namun sekali-sekala, ada raut ketakutan pada riak wajah mereka.
Adegan demi adegan membuat jantung berdegup pantas. Seperti mengikut ritma, seorang lelaki umpama seorang pahlawan melangkah ke tengah padang.
Tubuhnya meliuk-lentuk. Kemudian datang tiga gadis berpakaian tradisional merah jambu bersama kuda kepang menghampirinya.
Topeng harimau
Debaran kepada persembahan ini semakin terasa apabila seorang pahlawan itu memakai topeng harimau yang dihiasi bulu merak. Entah dari mana kekuatan yang diperoleh, lelaki itu berupaya mengangkat topeng seberat 36 kilogram (kg) itu.
Persembahan yang memakan masa dua jam itu penuh bertenaga, unik dan tersendiri.
Pak Mat bukan sebarangan orang. Kata-kata yang terpacul daripada mulut beliau merupakan penanda aras kepada semangatnya yang luar biasa. Dia utuh memegang pepatah Melayu. Katanya, hidup dikandung adat, mati dikandung tanah.
|
|
"Saya mula didedahkan dengan barongan seawal usia enam tahun. Arwah ayah selalu bawa saya melihat persembahan yang dibuat oleh kumpulannya.
"Yang lucunya ketika itu apa yang bermain di fikiran saya cuma keseronokan bila melihat seorang pendekar menggayakan topeng kepala harimau yang dihiasi bulu burung merak," beritahu Pak Mat.
Dia terus bercerita tanpa ada perasaan riak. Arwah datuknya, Binggan Abu Bakar ialah individu yang bertanggungjawab menubuhkan kumpulan barongan di Kampung Parit Binggan Batu (di mana) sekitar tahun 1930-an.
Era Perang Dunia Kedua telah merencatkan seni itu seketika. Roh barongan yang mengalir dalam tubuh keturunan Binggan, seolah-olah mengajak abangnya, Yusuf mengembalikan kegemilangan warisan itu sebelum Pak Mat mengambil alih pada tahun 1969.
Pak Mat bukan sekadar boleh memainkan semua alat muzik bahkan pandai menari.
Salasilah barongan
Dia yang juga memimpin kumpulan kuda kepang dan zapin di kampung itu dilihat begitu gembira untuk menghuraikan salasilah barongan atau dikenali sebagai riyok.
Sambil membetulkan kopiah corak batik ala Jawa di kepalanya, dia mula bercerita: "Barongan dipercayai berkembang di Malaysia sekitar tahun 1722 setelah dibawa oleh hamba abdi yang datang ke Johor ketika kejatuhan kerajaan Riau Lingga.
"Dulu, pemain-pemainnya akan jadi separa sedar dan mabuk kerana terlalu asyik menarikan gerak tari, namun kini ia sudah berubah, tiada lagi kejadian mabuk kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam."
Desas-desus kononnya barongan diciplak daripada tarian Reog yang berasal dari Ponorogo, Indonesia dan menyerupai budaya Hindu, Pak Mat kurang arif mengenainya.
Lelaki berjiwa besar ini tidak putus bercakap tentang kemalapan seni barongan. Keluhnya, masyarakat masa kini hanya memandang sebelah mata warisan turun temurun itu.
Namun, kehadiran temannya, Shudak Dollah, 52, bersama sembilan orang ahli kumpulan barongan Seri Wahyuni memberi sedikit kelegaan kepada Pak Mat.
Shudak yang ramah-tamah memberitahu, dia sudah 25 tahun bersama Kumpulan Barongan Seri Wahyuni dan seni itu sudah meresap jauh ke dalam dirinya.
"Saya bukan sekadar minat tapi niat saya lebih kepada mempertahankan nilai dan warisan budaya bangsa.
"Sebagai seorang yang berketurunan Jawa, saya mahu barongan terus hidup dan dikenali oleh anak cucu kita nanti," katanya sambil mendedahkan bahawa dirinya merupakan pahlawan di sebalik topeng harimau dan merak itu.
Mengulas lanjut, Shudak terpaksa mengerah seluruh kudratnya membawa topeng yang beratnya melebihi 30kg itu.
Katanya, dia juga perlu berhati-hati kerana topeng yang digalas di atas kepala, hanya dikawal dengan gigitan pada palang kayu kecil yang diletakkan di dalam topeng kayu itu.
Terdapat 2,500 helai bulu merak yang disusun pada jalinan buluh yang diikat dengan rotan.
"Pernah sekali dalam satu persembahan, seorang penonton cuba untuk mengayakan topeng berkenaan tapi mengalami kemalangan dan tercabut tiga batang gigi kerana tidak biasa melakukannya," imbas Shudak.
Shudak memberitahu, dia sendiri memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk memahirkan diri. Sememangnya, stamina dan kekuatan fizikal untuk menjadi penari barongan sangat dituntut.