04 April 2011
AS bina penempatan bawah tanah hindar bencana alam
Tempahan terhadap rumah kecil itu kini semakin meningkat di AS sejak gempa bumi berkekuatan 9.0 skala Ricther dan tsunami melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Rumah seluas 41,757 meter persegi itu boleh menempatkan 950 orang dalam tempoh setahun dan berkeupayaan menahan letupan sehingga 50 megatan.
Syarikat Vivos yang berpusat di California adalah firma yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan penempatan tersebut.
Terdahulu, individu yang sudah membuat tempahan perlu membayar wang pendahuluan sebanyak AS$5,000 (RM15,100), di mana harga sebenar untuk seunit rumah itu bernilai AS$25,000 (RM75,700).
Jurucakap syarikat itu menyatakan, permohonan untuk membeli rumah itu kini melonjak 1000 peratus selepas bencana alam dahsyat melanda Jepun.
Walaupun rumah itu bersaiz agak kecil, ia turut dilengkapi kemudahan moden yang sememangnya dapat memenuhi keperluan pembeli di negara itu.
Kompleks perumahan penduduk setinggi empat tingkat itu turut dilengkapi dengan bilik kediaman untuk penduduk, pusat perubatan dan klinik gigi.
Kemudahan lain seperti rumah untuk haiwan peliharaan, kedai roti dan kek serta bilik khas untuk upacara keagamaan turut dibina di kompleks itu.
Malah, beberapa unit lokap juga dibina di dalam kompleks penempatan tersebut.
Sebuah menara pemerhati berketinggian 107 meter turut dibina supaya penduduk dapat melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Pangarah Urusan Syarikat Vivos, Robert Vicino berkata, penduduk di AS kini khuatir dengan perubahan keadaan bumi berikutan kesan gempa bumi di Jepun, pada bulan lalu. Mereka amat risau dengan persekitaran yang semakin tercemar akibat kebocoran radiasi di mana ia turut meningkatkan risiko terhadap kesihatan mereka.
Laporan mengenai tahap radiasi pada paras rendah yang dikesan di beberapa kawasan di AS turut menyebabkan penduduk mengambil tindakan berjaga-jaga dan seterusnya memilih untuk tinggal di penempatan bawah tanah tersebut.
Sekurang-kurangnya sebanyak 15 kawasan di AS melaporkan kewujudan radiasi pada paras rendah di permukaan udara di kawasan berkenaan.
Terdahulu, Agensi Keselamatan Alam Sekitar mengesahkan sisa radiasi dikesan pada alat penapis udara di Alabama dan dalam takungan air hujan di Pennsylvania dan Massachusetts.
Walaupun paras radiasi berada pada tahap rendah dan tidak berbahaya kepada kesihatan, penduduk turut diberi amaran awal supaya tidak menggunakan air hujan yang terkumpul di dalam tangki simpanan mereka.
Vicino berkata lagi, bilakah krisis itu akan berakhir tidak diketahuinya, atau adakah ia juga akan menyebabkan kejatuhan ekonomi? Hal ini kerana kemerosotan ekonomi yang teruk akan mengakibatkan keadaan huru-hara, di mana ia juga boleh menyebabkan sebanyak 90 peratus populasi penduduk di dunia terancam.
Syarikat itu mendakwa kompleks perumahan kecil itu turut dilengkapi dengan sistem pelindung khas yang dapat mengelakkan apa jua bentuk bencana termasuklah jika berlaku krisis nuklear.
Projek pembinaan kompleks perumahan di bawah tanah semakin berkembang sejak beberapa tahun lalu, tetapi ada juga pihak yang mengkritik usaha itu kerana ia dilihat seperti sengaja mencetuskan rasa cemas penduduk dan mahu mengaut keuntungan semata-mata.
Ketua di Pusat Penganalisis di Rusia untuk Pasaran Hartanah, Oleg Repchenko berkata, ketakutan seperti ini telah lama wujud di AS iaitu sejak Perang Dingin lagi terutama selepas kejadian 11 September 2001, di mana ia memberi kesan besar terhadap persekitaran dan psikologi sebahagian penduduk.
"Pada masa ini, kebanyakan penduduk seperti takut dengan ancaman serangan pengganas dan jika bencana alam pada skala besar melanda AS," katanya.
Azarenka rangkul gelaran kedua
MIAMI - Pemain Belarus, Victoria Azarenka menewaskan Maria Sharapova 6-1, 6-4 untuk merangkul gelaran kedua pada Kejohanan Tenis Terbuka Sony Ericsson kelmarin.
Azarenka, 21, tidak mempersia- siakan peluang yang terhidang hasil kesilapan yang dilakukan Sharapova yang juga bekas pemain No. 1 dunia dari Rusia itu.
"Saya bermain dengan sangat baik pada set pertama," kata Azarenka yang juga pemain pilihan kelapan itu.
"Maria (Sharapova) adalah seorang pemain yang hebat dan saya tahu yang dia akan berjuang sehingga ke akhir. Dia akhirnya berjaya menampilkan corak permainan tenis yang menarik dan saya terpaksa bertahan. Tetapi ia sangat berbaloi."
Azarenka yang memenangi kesemua sembilan permainan untuk menguasai saingan itu apabila Sharapova tiba-tiba mendapat rentak, akhirnya memperoleh servis dan mematahkan servis Azarenka sebanyak dua kali untuk keputusan 4-3 pada set kedua.
Begitupun, Sharapova sekali lagi melakukan kesilapan, sekali gus memberikan Azarenka peluang untuk mendahului 5-3 selepas dia melakukan kesilapan berganda ketujuh dalam perlawanan itu.
Pada aksi seterusnya, Sharapova menyelamatkan dua mata akhir sebelum Azarenka memenangi permainan itu.
"Saya tidak merasakan yang saya telah melakukan kesilapan," kata Azarenka.
"Dia (Sharapova) bermain dengan baik, jadi saya terpaksa lebih banyak bertahan."
Sharapova terpaksa akur dengan kehebatan Azarenka, sekali gus membolehkan lawannya itu melakar sejarah untuk memenangi gelaran kedua di Miami selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Serena Williams pada final 2009.
"Adalah terlalu lambat untuk saya bangkit semula apabila saya ketinggalan satu set dan terikat 4-4 pada set kedua," kata Shara- pova.
"Sudah tentu saya berharap untuk bangkit lebih awal. Saya melakukan lebih banyak perkara menarik berbanding apa yang saya lakukan hari ini (kelmarin)." - AFP
Facebook disaman lebih RM3 bilion
WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan laman web berkenaan disaman lebih AS$1 billion (RM 3.3 bilion) kerana menyiarkan artikel anti-Yahudi, lapor sebuah akhbar semalam.
Saman terbabit difailkan oleh peguam yang juga seorang aktivis, Larry Klayman di sebuah mahkamah tinggi di sini pada Khamis lalu.
Dalam samannya, Klayman menuduh Facebook lewat menarik semula satu muka suratnya yang bertajuk 'Intifada Palestin Ketiga' bagi menentang Israel.
Menurutnya, Facebook sengaja membiarkan halaman tersebut kerana faktor komersial.
Halaman Facebook itu yang mengajak orang ramai bangkit menentang Israel, menyaksikan lebih 300,000 pengguna mengklik tanda 'suka' terhadap cadangan tersebut.
Intifada atau kebangkitan menentang Yahudi tersebut dirancang diadakan pada 15 Mei depan.
Muka surat itu cuma dipadam oleh Facebook pada 29 Mac lalu, beberapa hari selepas beberapa orang membuat aduan termasuk Menteri Diplomatik Awam Israel, Yuli Edelstein dan sebuah pertubuhan pro-Israel, Liga Anti-Defamasi.
Mengulas mengenai kes tersebut, seorang jurucakap Facebook berkata, dakwaan Klayman sama sekali tidak berasas.
"Kami akan menentang habis-habisan untuk membuktikan kami tidak bersalah," katanya.
Menurutnya, muka surat itu dikekalkan kerana ia bermula sebagai gesaan ke arah bantahan aman sebelum komen-komen di muka surat itu bertukar menjadi lebih ganas.
- Agensi
Selepas 6 bulan nikah, baru tahu isteri ialah lelaki
|
Umar berkenalan dengan isterinya itu, Fransiska Anatasya Octaviany menerusi Facebook setelah tertarik dengan kecantikan wajahnya.
"Semasa mereka bertemu, lelaki yang mengaku wanita itu memakai tudung," kata seorang pegawai polis di Jatiasih, Bekasi, Darmawan Karosekali kelmarin.
Namun, setelah enam bulan bernikah, Umar melihat terdapat sesuatu yang mencurigakan pada tubuh isterinya itu kerana dia kelihatan tegap.
"Selepas diperiksa (oleh Umar), ternyata dia (Fransiska) memang laki-laki," kata Darmawan.
Umar yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis. "Buat masa ini, kita sudah tahan (lelaki yang menyamar wanita itu) dan kesnya sedang disiasat," kata Darmawan.
Pasangan itu berkahwin seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri setelah jiran-jiran Umar mengadu dia tinggal bersama Fransiska selama seminggu. Perbuatan tersebut tidak elok dipandang masyarakat dan agama.
Jiran-jirannya itu meminta mereka berkahwin dan pasangan itu bersetuju.
Jelas Darmawan, Fransiska memalsukan kad pengenalan dirinya, manakala dua orang rakannya menyamar menjadi ibu bapanya semasa akad nikah.
Jika didapati bersalah, Fransiska akan dihukum penjara tujuh tahun kerana menyamar menjadi lelaki. - Agensi