01 Mac 2011

Bumi berharga RM14,844 trilion


GAMBAR menunjukkan rupa bentuk Bumi.

LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang saintis telah mencipta formula untuk menilai harga planet Bumi dan dia menetapkan Bumi berharga 3,000 trilion (RM14,844 trilion), lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis berkenaan yang bertugas di Universiti California-Santa Cruz, Greg Laughlin, membuat pengiraan itu berdasarkan faktor usia Bumi, saiz, suhu jisim dan beberapa statistik penting yang lain.

Dia mendapati Bumi adalah planet termahal berbanding planet-planet lain di cakerawala.

Cruz mencipta formula tersebut untuk menetapkan nilai planet-planet yang ditemui oleh kapal angkasa Kepler berharga £600 juta (RM2.9 bilion) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

"Saya percaya selama ini sukar untuk kita membayangkan nilai sesuatu planet terutamanya planet- planet yang menyerupai Bumi," katanya pada minggu lalu.

"Justeru, saya mencipta formula metrik ini supaya mudah untuk saya membuat penilaian sama ada sesuatu planet itu berharga atau sebaliknya," tambah Cruz.

Menurutnya, terdapat sekitar 1,235 planet di alam semesta dengan Marikh bernilai sekitar £10,000 (RM49,500), Zuhrah pula cuma 1 penny (RM0.04). - Agensi

Ronaldo bakal timang anak kedua


IRINA SHAYK

LONDON - Pemain bola sepak terkenal dari Portugal, Christiano Ronaldo mungkin akan menjadi bapa untuk kali kedua ekoran khabar angin yang menyatakan teman wanitanya, Irina Shayk kini sedang mengandung, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Bintang kelab bola sepak Real Madrid berusia 26 tahun itu juga dikatakan sibuk membuat persiapan perkahwinan pada musim panas selepas dia melamar Irina pada Hari Kekasih yang lalu.

Akhbar Correio da Manha melaporkan perut Irina sudah nampak agak besar dan dia dilihat memakai cincin pertunangan.

Walaupun pasangan tersebut tidak merancang untuk mempunyai anak namun berita itu diterima dengan gembira.

Seorang rakan Ronaldo berkata: "Dia suka menjadi bapa." Ibu Ronaldo, Dolores mahu anaknya itu berkahwin di Funchal, di pulau Madeira, Portugal.

Jurucakap Ronaldo bagaimanapun enggan memberi komen terhadap khabar angin tentang perkahwinan dan kehamilan tersebut.

Ronaldo menjalin hubungan dengan Irina sejak 10 bulan lalu.

Anak bintang bola sepak itu, Cristiano Ronaldo Jr. yang dilahirkan menerusi seorang ibu tumpang dijaga oleh Dolares di Portugal.

Identiti ibu tumpang itu tidak pernah diketahui sehingga ke hari ini. - Agensi

DUIT