19 Februari 2010

Kenali Kacang Soya

KACANG SOYA ataupun nama saintifiknya glycine max, sejenis tumbuhan tegak dan rimbun berukuran sehingga 70 cm. Bunganya berbentuk gumpalan, berwarna putih dan ungu. Manakala bijinya adakala berwarna kuning, hijau, coklat ataupun hitam atau kedua-duanya.



Kacang soya adalah legume berprotin tinggi (keluarga fabaceae) yang ditanam sebagai makanan bagi manusia dan ternakan. Perkataan soy (soya bean) diambil dari perkataan bahasa Jepun, shoyu (kicap).

Ia dianggap sebagai sumber protein lengkap iaitu protein yang mengandungi sejumlah besar kesemua asid amino penting yang diperlukan oleh tubuh manusia kerana ketidakupayaan badan manusia bagi menghasilkannya. Dengan sebab ini, kacang soya amat penting bagi kebanyakan pengamal vegetarian. Protein kacang soya pada asasnya sama dengan biji legum lain (pulses). Bijiran bukan legum yang lain mempunyai profil yang setanding dengan kacang soya adalah bijiran seperti oat.

Kacang soya boleh diproses dengan pelbagai cara. Bentuk biasa hasil soya termasuk tepung soya, tauhu, tempe, soya licithin dan minyak sayuran. Ia juga merupakan bahan utama dalam penghasilan kicap.

Kebanyakan keluaran tenusu telah ditiru menggunakan kacang soya dan keluaran seperti susu soya, yogurt dan krim keju soya boleh didapati dengan mudah. Keluaran ini mempunyai tekstur dan bentuk yang serupa dengan keluaran berasaskan susu, bagaimanapun hasil soya tidak mengandungi jumlah kalsium yang banyak. Maka, kebanyakan pengeluar kacang soya menjual keluaran diperkaya dengan kalsium.

Tofu mengandungi sejumlah besar mineral penting kerana garam kalsium digunakan bagi pemejal protein dalam susu soya bagi menghasilkan tauhu (tofu). Tambahan lagi, protein soya telah didapati dapat mengurangkan penyingkiran kalsium oleh buah pinggang.

Kacang soya digunakan dalam barangan pengilangan termasuk minyak, sabun kosmetik, resin, plastik, dakwat, krayon, pelarut dan biodesile.



KEBAIKAN SOYA:

1. Ia merupakan makanan seimbang yang sangat baik dan murah daripada daging, susu dan telur.

2. Mengandungi 50 peratus protein bagi setiap 100 gm kacang soya, merupakan dua kali lebih daripada kacang tanah, 11 kali lebih daripada susu dan tiga kali lebih daripada telur.

3. Kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, magnesium, zat besi dan fosforus.

4. Kaya dengan vitamin A, B, C, D serta lacithin.

5. Ia boleh dijadikan bahan pengganti susu bagi bayi yang mempunyai alahan terhadap susu lembu.

6. Protein soya boleh mengurangkan risiko penyakit kanser dan jantung.

7. Mudah dicerna dan mengandungi semua asid amino yang diperlukan untuk membina dan membaiki tisu badan yang rosak serta membekalkan tenaga.

8. Mempunyai kadar lemak yang rendah dan kaya dengan protein, sesuai untuk pesakit jantung dan kencing manis.

Istimewanya epal hijau

Amalan memakan sebiji epal hijau setiap hari sememangnya digalakkan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Ini kerana ia bukan sekadar mempunyai pelbagai khasiat malahan ia juga mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam badan.

Epal hijau mengandungi zat besi, magnesium, potasium, kalsium, soldium, vitamin C, vitamin A dan vitamin B serta merupakan sumber serat yang mudah larut. Kita digalakkan memakan epal bersama dengan kulitnya kerana sebahagian kandungan vitamin C terletak di bawah kulitnya.


Epal Hijau

Epal hijau boleh membantu mencegah:

* Pembinaan kolesterol dalam dinding salur darah.
* Mengurangkan risiko penyakit jantung.
* Membantu kesihatan membran paru-paru.
* Membantu kesihatan tulang dengan menambah bahan kimia (boron) pada mineral tulang.
* Membantu kesihatan sistem kardiovaskular dengan mengekalkan tahap kolesterol darah.
* Membantu mengekalkan berat badan.
* Mengurangkan tekanan penyakit asma.
* Mengurangkan risiko barah.

Bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau penghadaman, kisarkan epal hijau dengan saleri dan diminum setiap pagi sebelum sarapan. Ia dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik.

Epal hijau juga bertindak sebagai penyegar kulit wajah. Potong epal hijau dan rendamkan seketika di dalam air batu selama 5 minit. Kemudian letakkan di muka, biarkan selama 15 minit. Anda akan dapat rasakan kesegarannya. Jika diamalkan selalu ia boleh melicinkan kulit.

Bank Rakyat Catat Untung RM1.55 Bilion

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.55 bilion bagi tahun yang berakhir pada 31 Dis, 2009, peningkatan sebanyak 25.6 peratus berbanding RM1.234 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Jumlah ini dicapai dengan kenaikan 18.3 peratus dalam pendapatan kasar kepada RM3.783 bilion daripada RM3.197 bilion pada 2008.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pencapaian keputusan berkenaan terutamanya disebabkan oleh keseluruhan pendapatan yang lebih tinggi daripada semua segmen perniagaan dan kos dana yang baik.

"Jumlah ini merupakan keuntungan tertinggi yang dicatatkan dalam masa 55 tahun operasinya," kata beliau pada majlis pengumuman prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat di sini Jumaat.

Susulan prestasi cemerlang berkenaan, bank mengumumkan dividen tunai sebanyak 15 peratus berjumlah RM299 juta yang akan dibayar kepada anggota mulai 22 Feb, kata Ismail Sabri.

Pendapatan bersih Bank Rakyat selepas pengagihan untung kepada pendeposit berkembang sebanyak 28.4 peratus kepada RM2.61 bilion, dirangsang oleh pertumbuhan kukuh berterusan dalam pembiayaan berkualiti, deposit dan peningkatan berterusan dalam kualiti aset.

Pendapatan daripada pembiayaan berjumlah RM3.396 bilion berbanding dengan RM2.804 bilion pada 2008 di mana 93.4 peratus adalah daripada perbankan pengguna manakala perbankan komersial menguasai 6.6 peratus jumlah pendapatan pembiayaan.

Ia juga mencatatkan asas fi sebanyak RM81.7 juta, peningkatan 41.6 peratus berbanding dengan RM57.7 juta pada tahun sebelumnya, di mana 65.6 peratus datang dari fi khidmat wasiat, komisyen bagi Takaful dan Mesin Teler Automasi (ATM).

Jumlah aset Bank Rakyat berkembang sebanyak 21.3 peratus atau RM8.9 bilion kepada RM50.6 bilion sehingga akhir tahun lepas, dipacu kebanyakannya oleh pertumbuhan dalam pembiayaan.

Nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPF) bersih bank sehingga akhir tahun lepas meningkat kepada 0.8 peratus daripada 1.8 peratus pada 2008.

Peningakatan dalam nisbah NPF mencerminkan pengurusan kredit kukuh, proses mendapatkan kembali kredit yang proaktif dan dasar pinjaman berhemat Bank Rakyat, kata Ismail Sabri.

Menteri itu juga berkata Koperasi Bank Persatuan Malaysia Bhd, yang dikenali sebagai Bank Persatuan, akan dinaik taraf kepada bank koperasi tahun ini.

"Kami akan memastikan semua syarat Bank Negara dipatuhi," katanya.

Bank Persatuan yang berpangkalan di Pulau Pinang telah beroperasi sejak tahun 1950-an.

- Sumber dari BERNAMA

Tanah Berharga RM454,000 semeter!!!??

MAKKAH: Harga tanah sebesar semeter persegi di beberapa kawasan di Makkah kini didakwa mencecah SR500,000 (RM453,644) dan ia dijangka meningkat lagi selari dengan projek pembesaran Masjidil Haram.
“Harga tanah meningkat dari masa ke semasa sepanjang tempoh projek pembesaran Masjidil Haram yang bertujuan meningkatkan kapasiti jemaah.

“Nilai tanah di sekitar Masjidil Haram kini terlalu mahal, apatah lagi yang terletak hampir dengannya. Malah ia kini lebih bernilai daripada emas dan berlian,” kata pelabur hartanah, Ahmad Al-Ghamdi.

Beliau menyatakan, pelabur bagaimanapun berlumba-lumba memiliki tanah di sekitar kawasan itu kerana pulangan lumayan yang bakal mereka peroleh.

“Jutaan umat Islam membanjiri bandar ini sepanjang tahun dan atas sebab itu Makkah memerlukan lebih banyak bangunan untuk memenuhi keperluan mereka.” Pada masa sama, nilai tanah di kawasan yang berjauhan dengan Masjidil Haram turut dilapor meningkat akibat projek pembesaran itu.

“Permintaan membeli rumah oleh penduduk Makkah kini meningkat lebih daripada 54 peratus.

“Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada permintaan di bandar lain dengan peningkatan purata hanya 2.5 peratus setiap tahun,” kata Ahmad lagi.

Jurunilai hartanah, Ibrahim Abdul Halim bagaimanapun berkata, peningkatan permintaan kediaman di Makkah tidak memeranjatkan kerana bandar itu amat penting buat umat Islam.

“Selain pengunjung dan jemaah, Makkah memiliki lebih 688,000 penduduk, termasuk 137,000 keluarga,” katanya.

Beliau menyatakan, keluarga di Makkah memerlukan 88,600 apartmen dan 13,700 rumah.

“Untuk beberapa tahun lagi, penduduk memerlukan lebih 35,000 apartmen dengan nilai pelaburan lebih SR12 bilion (RM10.9 bilion) dan kira-kira 2,500 villa dan rumah bernilai lebih SR14 bilion (RM12.7 bilion),” katanya lagi.

Bagi memenuhi permintaan dan membina apartmen dan juga rumah yang diperlukan, Makkah memerlukan kira-kira 13 juta meter persegi tanah kosong.

Sementara itu, pampasan kepada pemilik bangunan yang dimusnahkan untuk projek pembesaran Masjidil Haram kini mencecah lebih SR40 bilion (RM36.3 bilion). - Agensi

- Sumber dari Harian Metro

Tip Penjagaan Jantung

Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalarn tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dan awal diberikan kepada jantung.
Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.
Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang.

Bagaimanakah caranya?
Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.
Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.
Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan.
Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.
Kawalan berat badan
Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi.
Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.
Pemakanan
Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.
Berhenti merokok
Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.
Bersenam
Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung.Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.
Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.
Perubahan gaya hidup
Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah.
Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.

Rahsia kecantikan Melayu silam

ORANG tua dahulu percaya ramuan kecantikan boleh diperoleh di dapur. Mereka menggunakan kunyit, beras, temu lawak, daun limau purut, timun dan pulut sebagai rutin perawatan dari zaman anak dara sehingga berkahwin. Di Spa Ledang Best Western Premier Seri Pacific (BWPSP), rahsia kejelitaan Melayu silam ini kembali disingkap menerusi penggunaan ramuan semula jadi meliputi herba, rempah ratus dan haruman bunga semula jadi. Petua kecantikan seperti bertangas, bertungku dan mandi bunga ditawarkan dalam suasana eksklusif. Penyelianya, Syazmin Syamin Idris, berkata pihaknya menawarkan amalan kecantikan warisan Melayu silam termasuk bertangas untuk mengeluarkan peluh bagi membuang toksik khususnya di bahagian sulit wanita.

"Amalan bertangas menggunakan ramuan herba dan rempah ratus membantu mengatasi masalah keputihan dan kegatalan vagina gadis. Bagi wanita yang sudah berusia, ia membantu mengetatkan saluran vagina selain masalah haid tidak teratur," katanya. Amalan bertungku jika diamalkan selalu membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan batu merian'.

"Rawatan mandi bunga yang menggunakan bunga mawar dan melur dan memanfaatkan khasiat susu membantu menambah aura seri wajah," katanya. Mereka yang mahu mencuba rawatan menyeluruh boleh mengambil pakej Rahsia Puteri Ledang meliputi urutan minyak herba seribu bunga, perawatan kulit kepala, perawatan wajah, skrab dan mandian susu bercampur herba di samping pilihan bertangas dan bertungku. "Pakej Diang Suri dan Rendaman Kuntum pula untuk tetamu wanita dengan mandian dan terapi urutan kepala dan bahagian bahu.

"Kaum lelaki boleh mencuba spa dengan dekorasi Nusantara ini dengan pakej Taming Sari menampilkan perawatan akar rambut dan mandian herba," katanya. Jika bersama keluarga atau pasangan, ada lima bilik rawatan dengan dua daripadanya dilengkapi sauna dan jakuzi. Sudut khas untuk pengunjung melakukan perawatan rambut dan tata hias kuku tangan dan kaki.

- Sumber dari Harian Metro

Masjid ala China di Malaysia


RANTAU Panjang, Kelantan memang popular untuk membeli-belah. Ada yang sanggup datang dari selatan tanah air untuk mendapatkan tilam dan pinggan mangkuk buatan Thailand. Kini, ia memiliki satu lagi tarikan dengan pembukaan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, akhir tahun lalu. Dibina dengan kos kira-kira RM8.8 juta, masjid ini dikatakan yang pertama menerapkan seni bina China di Kelantan. Ramai pengunjung Kelantan terpikat dengan bentuk atapnya yang melentik di bahagian hujung. Jika atas bumbung utama dicat hijau tua, bahagian bawah atau dalam pula diwarnai dengan merah garang. Dalam kalangan penduduk tempatan, ia lebih dikenali sebagai masjid Cina atau masjid Beijing kerana seni bina berlandaskan Masjid Niujie di Beijing yang sudah berusia lebih 1,000 tahun.

Selain menjadi simbol Islam adalah untuk semua dan bersifat universal, reka bentuk dan hiasan dalamannya turut memiliki sentuhan pengaruh seni bina India dan Uzbekistan. Jika diamati dari dekat, anda akan dapat melihat seni bina tradisional China yang kuat pada dengan motif berupa ‘bracket cluster’ di bahagian bawah bumbung dan corak yang menjadi hiasan pada pintu dinding.
Tata atur bangunan juga diberi perhatian khusus dengan seni bina berkonsepkan ‘dinding dalam dinding’ iaitu laman dalaman seperti yang dilihat di rumah lama di China. Kompleks masjid dua tingkat itu dapat memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Hiasan dalaman bermotifkan Islam seperti panel ukiran ayat suci al-Quran pula menghiasi dinding dewan solat utama.

Menara kubah kecil berbentuk serban dengan lilitan mukanas pada bahagian bawahnya.
Sekeliling luar menara pula ini dihiasi dengan 99 nama Allah dari bahagian atas sehingga ke bawah.

Kawasan khas pula diperuntukkan untuk bazar untuk penjualan barangan dan cawangan perbankan Islam.
- Sumber dari Harian Metro

DUIT