|
Kita disuruh berdoa sebagai tanda perhambaan kepada Allah yang Maha Kuasa. - Gambar hiasan |
KITA tidak hanya dituntut menjaga adab dengan manusia sahaja, bahkan juga dengan Allah SWT. Seorang wali Allah, Wahab r.a. mengatakan: "Aku telah membaca dalam sebahagian kitab suci, bahawa Allah SWT berkata: Hambaku, patuhlah kepadaku terhadap apa yang telah aku perintahkan kepadamu, dan jangan kamu mengajar aku dengan sesuatu demi kemuslihatanmu. "Aku akan memuliakan kepada sesiapa sahaja yang memuliakan aku, sebaliknya aku akan menghina sesiapa yang merendah-rendahkan perintahku, dan Aku tidak melihat pada hak seseorang hamba sehingga hamba itu melihat pada hak-Ku".
Manusia mengharapkan pertolongan Allah apabila berhadapan dengan kesusahan, mala petaka, musibah dan lain-lain.
Manusia bermohon kepada Allah agar kehendak dan keinginannya tercapai. Jika sebaliknya, maka tidak ada apa dilakukan kerana tidak ada apa-apa tujuan.
Manusia yang tidak bermohon kepada Allah, adalah orang yang sombong.
Sikap manusia ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: ...dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina. (al-Mukmin: 60)
Inilah sikap manusia. Apabila ditimpa apa jua musibah yang tidak menguntungkan dirinya akan berhubung dengan Allah, jika sebaliknya Allah tidak dihajati lagi.
Sikap sebegini menampakkan manusia tidak memahami adab dengan Allah. Ini kerana berdoa bukan untuk memohon agar Allah perkenankan hajat, tetapi ia menunjukkan sifat perhambaan manusia kepada Allah sebagai merendah diri kepada-Nya.
Sepatutnya kita bermohon kepada Allah, tetapi Dia yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Ini kerana kita tidak mengetahui hakikat yang sebenar adakah yang kita pilih baik atau buruk di sisi Allah SWT.
Menjadi tanggungjawab Allah untuk memperkenankan bila dan apa yang kita pohon. Apa yang kita kehendaki tidak bermakna Allah menghendaki. Kita suka tidak semestinya Allah suka.
Allah perkenankan doa
Menurut Ibn 'Ataillah, terdapat tiga jenis manusia dalam berdoa kepada Allah:
lManusia yang tidak pernah berpaling daripada Allah. Sentiasa menyerah diri kepada-Nya dengan harapan mencapai reda Allah. Menerima apa sahaja ketentuan Allah dan sentiasa bersangka baik sama ada Allah perkenan doanya atau tidak.
lManusia yang berdoa kepada Allah dan yakin bahawa Allah tetap dengan janji-Nya dan sesekali tidak menyalahi janji-Nya.
Jika hajatnya belum tercapai dan doanya lambat diperkenankan, dia beranggapan positif bahawa kemungkinan cara dan kaedah, atau pelakuannya yang tidak mengikut perintah Allah. Masih melakukan maksiat sama ada disedari atau tidak.
Harapannya sentiasa tinggi agar Allah memperkenan doanya, lalu dia gembira apabila diperkenankan-Nya dan disyukuri.
lManusia yang tidak pernah putus harapan berdoa kepada Allah untuk memohon apa yang dihajati.
Namun pada masa yang sama meninggalkan perintah Allah, mengerjakan larangan dan tegahan Allah dan hatinya tidak sejajar dengan apa yang didoakan. Doa orang seperti ini lambat dimakbulkan.
Apabila doanya lambat diperkenankan hatinya menjadi ragu-ragu dan timbul kebimbangan.
Wirid dan warid
Dua perkara ini saling berkait di dalam perhubungan manusia dengan Allah. Bagi mencapai reda Allah dan syurga-Nya maka seseorang hamba itu perlu berwirid.
Wirid adalah segala amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wirid ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan jika tertinggal maka segera diqada.
Hasil daripada usaha dan ketekunan wirid ini, maka Allah akan menganugerahkan warid. Warid adalah sesuatu yang dianugerahkan atau kemuliaan yang diberi Allah kepada seseorang hamba berkat amal solehnya.
Anugerah dan kemuliaan ini yang datang daripada Allah dalam bentuk nur. Ia tidak dapat dilihat dengan pancaindera mata, hati akan dilimpahi dengan ilmu tentang ketuhanan dan menjadikan imannya semakin bertambah.
Ini bermakna warid adalah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang taat dan patuh serta tunduk kepada-Nya. Wirid adalah kewajipan kita yang dituntut oleh Allah ke atas kita. Ibn 'Ataillah al-Askandari menyebutkan bahawa: "Datangnya bantuan Allah adalah berdasarkan kepada sejauh mana persiapan hamba-Nya".
Wirid adalah menjadi hak Allah untuk ditunaikan oleh manusia dengan mengerjakan segala yang wajib dan menampungnya dengan amalan sunat.
Inilah akhlak orang yang beriman dan menjadi jalan ahli ibadat bagi menambah dan meningkatkan imannya kepada Allah SWT. Inilah yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam sabda-Nya yang bermaksud: "Sebaik-baik amal kepada Allah ialah amal yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit."