14 Februari 2012

Brazil minat jet tempur Perancis




SAO PAOLO - Brazil "hampir pasti" membeli jet pejuang Perancis, Rafale, bagi meningkatkan keupayaan pertahanan udara negara Amerika Selatan berkenaan.

Keputusan tersebut jika dimuktamadkan kelak, bakal menjadikan Brazil memilih pesawat tempur itu.

Presiden Brazil, Dilma Rousseff dan barisan penasihat kanan beliau percaya tawaran firma Perancis, Dassault Aviation untuk menjual 36 buah jet Rafale adalah yang terbaik secara keseluruhan berbanding dua lagi pesaingnya.

Rousseff sebelum ini bimbang berhubung keupayaan Rafale berikutan belum ada pihak luar yang membeli jet pejuang berkenaan.

Namun, beberapa sumber memberitahu, kebimbangan tersebut terlerai selepas India pada 31 Januari lalu mengumumkan untuk membeli 126 buah pesawat Rafale.

Dua lagi pembida selain Perancis adalah jet pejuang F-18 Super Hornet buatan firma Amerika Syarikat (AS), Boeing dan jet tempur buatan Saab dari Sweden, Gripen.

Pesawat AS, F-18 dipercayai lebih murah berbanding Rafale.

Namun, sumber-sumber di Brazil berkata, Dassault menawarkan kombinasi terbaik merangkumi pesawat pejuang berkualiti tinggi dan perkongsian teknologi yang merupakan faktor utama untuk Brazil menerima tawaran firma Perancis berkenaan.

Brazil berharap dapat menggunakan teknologi Perancis untuk membangunkan industri pertahanan negara tersebut yang diterajui firma tempatan, Embraer.

Dassault mengemukakan Rafale sebagai pesawat bersaiz sederhana dan tangkas di samping kos operasi yang rendah. Faktor-faktor tersebut menjadi tarikan utama kepada Brazil yang tidak memiliki konflik dengan jiran-jirannya, tetapi mahu menggunakan Rafale bagi tujuan pertahanan seperti meronda kawasan-kawasan sumber minyak di perairan negara itu.

Akhbar Perancis, La Tribune pada 2 Februari lalu telah melaporkan bahawa Dassault akan memuktamadkan perjanjian untuk menjual sekurang-kurangnya 16 buah jet Rafale kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi. - Reuters

Askar AS gigit daging mentah ular tedung


SEORANG askar marin Amerika Syarikat menggigit daging mentah seekor ular tedung manakala kepalanya dililit dengan kulit haiwan itu.


SATTAHIP, Thailand - Seorang askar Amerika Syarikat (AS) merasai daging mentah seekor ular tedung di sebuah pangkalan tentera laut di sini semalam.

Askar itu menggigit daging mentah ular tersebut manakala kulit haiwan tersebut dililitkan pada kepalanya.

Kira-kira 13,000 anggota tentera daripada tujuh buah negara menyertai latihan ikhtiar hidup itu.

Anggota-anggota tentera Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, AS, Singapura dan Jepun menyertai latihan tersebut.

Dalam latihan itu, askar-askar minum darah ular dan menggunakan tangan untuk memisahkan kepala ayam jantan daripada badan. Mereka turut memakan serangga. - Agensi

DUIT