26 September 2013

Berlian merah jambu sebesar biji plum akan dilelong



SEORANG model menunjukkan berlian seberat 59.6 karat di Geneva, Switzerland semalam.- afp



GENEVA - Sebutir berlian merah jambu seberat 59.60 karat yang dikenali sebagai Pink Star akan dilelong oleh firma Sotheby pada November depan pada harga tawaran AS$60 juta (RM196.8 juta).

Harga tersebut adalah yang paling mahal untuk sebutir batu permata.

"Sebutir berlian merah jambu seberat 5 karat adalah sukar untuk ditemui, bayangkan permata ini mempunyai berat 59.60 karat," kata pengerusi divisyen barang kemas Sotheby's, David Bennett.

Menurutnya, batu berlian itu dilombong oleh firma De Beers di Afrika pada 1999 tanpa mendedahkan nama negara berkenaan.

"Berlian merah jambu yang sebesar buah plum kering itu dahulunya seberat 132.5 karat sebelum dicanai," ujar Bennet. - AFP

Kediaman di pulau dijual RM12.8 juta



KEDIAMAN tujuh bilik di Pulau Belden, dalam negeri Connecticut, Amerika Syarikat yang berusia lebih 100 tahun.- Agensi



HARTFORD, Connecticut - Sebuah pulau persendirian bersama kediaman di perairan negeri Connecticut akan dijual dan bakal menjadi milik anda pada harga AS$4 juta (RM12.8 juta), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Selain itu, pembeli juga berpeluang untuk menemui sebuah peti harta karun berisi emas yang tertanam di pulau berkenaan menurut legenda tempatan.

Pulau Belden itu dilengkapi tujuh bilik yang dibina pada tahun 1912 dan masih berada dalam keadaan baik.

Premis berusia lebih 100 tahun ini mempunyai reka bentuk kolonial British di samping pemandangan laut yang indah.

Pemiliknya, Cristine Svenningsen membayar sebanyak AS$2.66 juta (RM8.5 juta) untuk Pulau Belden pada tahun 2006.

Sementara itu, mereka yang mahu membeli Pulau Belden perlu maklum bahawa pengangkutan pergi dan balik dari lokasi tersebut tidak disediakan. - Agensi

DUIT