MEREKA yang terlibat dalam dunia perniagaan tentunya mengetahui betapa hebat ujian dan dugaan untuk membuka perniagaan dan untuk membawa perniagaan ke mercu kejayaan.
Dalam mengejar kejayaan yang terlalu tinggi untuk dijulang, ditambah pula dengan iklim persaingan yang terlalu hebat, para peniaga terdedah kepada ruang yang banyak untuk membuat penipuan atau sekurang-kurangnya menyembunyikan kebenaran.
Produk-produk yang ditawarkan kepada pengguna kadang-kala penuh dengan penipuan dan eksploitasi.
Pengguna menjadi mangsa kerana kerakusan mencari harta kekayaan secara tamak haloba yang tidak berkesudahan.
Antara penipuan yang kerap berlaku ialah menyembunyikan sifat sebenar barangan yang dijual. Produk-produk yang ditawarkan kadang-kala tidak menepati spesifikasi yang telah digembar-gemburkan dalam brosur, risalah dan sebagainya.
Iklan-iklan yang memaparkan tentang produk sama ada di televisyen, surat khabar, papan iklan dan sebagainya cuba memberikan penerangan tentang kelebihan yang ada secara melampau dan berlebih-lebihan.
Akhirnya, pengguna akan terpukau dan terus membuat pembelian walaupun pada asasnya mereka tidak memerlukan produk tersebut sehingga sanggup untuk berhutang.
Apabila pengguna membuat pembelian dan pulang ke rumah masing-masing, akhirnya didapati barangan berkenaan tidak mengikut spesifikasi yang dipersetujui dalam akad pembelian.
Maka, di sinilah timbulnya ketidakadilan dan penganiayaan kepada pembeli. Hal ini akan memberi impak yang negatif kerana tidak wujud keredaan pembeli terhadap barangan yang diperolehi.
Terdapat juga di kalangan peniaga yang sanggup untuk mengubah timbangan, sukatan atau ukuran. Kesan daripada itu, barangan yang dibeli oleh pengguna menjadi lebih mahal daripada jumlah yang sepatutnya.
Allah SWT mencela golongan ini dalam firman-Nya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada Hari (Kiamat) orang yang amat besar (huru-haranya). Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam? (al-Mutaffifiin: 1-6).
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman: ...Dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. (al-Israa': 35).
Penipuan juga banyak berlaku melalui perniagaan Internet, sama ada melalui jual-beli barang atau pelaburan. Ditambah pula dengan sikap pengguna yang malas untuk membuat kajian serta analisis terlebih dahulu.
Untuk mengelakkan penipuan ini, pengguna perlu mengetahui secara terperinci mengenai pihak yang menjual barangan tersebut. Sila semak dan teliti pengalaman mereka yang telah berurusniaga dengan syarikat terbabit.
Sila pastikan barangan yang ingin dibeli benar-benar wujud dan boleh diperoleh dalam masa yang telah ditetapkan. Elakkan daripada membeli barangan yang agak kabur spesifikasinya untuk mengelakkan berlakunya unsur gharar atau ketidakpastian yang akan menjejaskan kesahihan kontrak jual-beli tersebut.
Terdapat juga mereka yang sanggup menjual barangan tiruan dengan menyatakan barangan tersebut adalah tulen. Barangan-barangan ini biasanya menggunakan jenama yang sama atau hampir sama, tetapi dijual dengan harga yang lebih rendah sehingga mengelirukan pembeli.
Namun, sebagaimana yang diketahui, ia mempunyai kualiti yang terlalu rendah sehingga menyebabkan barangan tersebut tidak tahan lama, bahkan terdapat juga barangan yang langsung tidak dapat digunakan.
Kesan daripada aktiviti ini antaranya, pemilik atau penjual barangan yang tulen akan mendapat kerugian kerana pembeli cenderung untuk membeli barangan tiruan disebabkan terpedaya dengan tawaran harga yang lebih rendah.
Sehubungan dengan itu, kita perlu sedaya-upaya mengelakkan diri daripada menggunakan barangan tiruan atau cetak rompak kerana dari sudut yang lain kita sebenarnya menganiaya pengeluar atau penjualnya.
Amanah adalah merupakan elemen yang sangat penting dalam menjamin sesebuah perniagaan itu maju, berjaya dan yang lebih pentingnya ialah diberkati oleh Allah SWT. Perkara ini sejajar dengan ajaran Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW: Dua orang yang sedang melakukan jual-beli dibolehkan tawar-menawar selama belum berpisah; jika mereka itu berlaku jujur dan menjelaskan (ciri dagangannya), maka mereka akan diberi barakah dalam perdagangannya itu; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (ciri dagangannya), barakah dagangannya itu akan dihapus. (riwayat Bukhari)