15 Jun 2011

Tulang dinosaur dilelong RM8.25 juta


RANGKA dinosaur 'Pasangan Bertempur' yang dilelong kepada sebuah muzium pada harga RM8.25 juta di Dallas, Amerika Syarikat, kelmarin. - REUTERS


DALLAS 14 Jun - Sejumlah koleksi pelbagai rangka dinosaur telah dilelong, termasuk 'pasangan bertempur' dijual pada harga AS$2.75 juta (RM8.25 juta) kelmarin.

Koleksi pasangan bertempur tersebut yang terdiri daripada rangka dua ekor dinosaur dikenali sebagai allosaurus dan stegosaurus dibeli oleh sebuah muzium.

Kedua-dua rangka tersebut ditemui di sebuah kuari di Wyoming dengan rahang allosaurus berada di kaki stegosaurus, yang menimbulkan spekulasi kedua-dua dinosaur sedang bertempur antara mangsa dan pemangsa.

Rangka seekor triceratop pula dibeli oleh pengumpul peribadi pada harga AS$657,250 (RM1.97 juta).

Jualan oleh Heritage Auctions itu melibatkan lelongan lebih 200 bahan termasuk batu meteor, bahan mineral dan fosil lain.

Heritage Auctions enggan memaklumkan nama muzium yang membeli koleksi 'pasangan bertempur' itu namun menyatakan ia merupakan sebuah muzium di luar Amerika Syarikat (AS).

Pengarah sejarah alam Heritage Auctions, David Herskowitz dalam satu kenyataan berkata, beliau gembira koleksi itu menemui 'rumah' baru yang hebat.

''Ia merupakan spesimen ikonik era-Jurasik di mana sains tidak mengetahui kedua-dua dinosaur itu hidup pada waktu yang sama dan kini rumah baru mereka akan membolehkan orang awam menyaksikannya,'' katanya.

Ahli paleontologi, Henry Galiano yang menemui rangka allosaurus dan stegosaurus pada 2007 itu berkata, ia dilelong bagi membolehkan pihaknya mengumpul dana bagi meneruskan kajian dan pencarian spesimen baru.

Beratus-ratus orang hadir ke jualan lelong di Fair Park di sini bagi melihat koleksi rangka dinosaur dan artifak lain yang jarang ditemui itu. - Reuters

Airbus bina pesawat kabin telus untuk tahun 2050


ILUSTRASI konsep pesawat masa depan yang diterbitkan oleh Airbus kelmarin, menunjukkan kabin telus, membolehkan penumpang melihat pemandangan di sekeliling ketika terbang merentasi udara. Pesawat ini dijangka beroperasi pada 2050. - AGENSI


LONDON 14 Jun - Syarikat pengeluar pesawat, Airbus mempamerkan reka bentuk konsep bagi pesawat masa depan dengan kabin yang telus supaya penumpang dapat melihat pemandangan di sekeliling ketika terbang merentasi udara.

Pesawat yang dilengkapi membran dinding kabin 'pintar' dan permainan interaktif itu dijangka mula beroperasi pada 2050.

Konsep futuristik bagi perjalanan udara dalam tempoh 40 tahun akan datang itu didedahkan di sini semalam oleh Airbus dan pastinya akan menggerunkan mereka yang sudah sememangnya takut menaiki penerbangan.

Kabin kelas pertama, perniagaan dan ekonomi digantikan dengan zon-zon untuk bersantai di depan, bekerja di belakang, dan sebuah bar serba lengkap untuk bersosial.

Penumpang akan dapat melihat pemandangan di sisi dan depan mereka, kerana itu penutup mata mungkin perlu dipakai semasa berlepas dan mendarat.

Dinding pesawat berubah mengikut keadaan cahaya manakala paparan permainan holografik dan kemudahan hiburan dalam penerbangan menggunakan kuasa yang dijana dengan haba tubuh penumpang.

Kabin konsep itu merupakan struktur bionik yang meniru kecekapan tulang burung, dakwa Airbus.

Ia akan memberikan kekuatan di mana perlu, di samping membolehkan pemasangan membran dinding kabin 'pintar' yang mengawal suhu udara dan boleh dijadikan telus supaya penumpang menikmati pemandangan panorama yang terbuka luas.

Kabin masa depan itu menyusuli pesawat konsep yang dipamerkan oleh Airbus pada tahun lepas, dilengkapi pelbagai teknologi untuk mengurangkan penggunaan bahan api, pengeluaran asap, pembaziran dan bunyi.

"Penyelidikan kami menunjukkan penumpang pada 2050 mengharapkan pengalaman perjalanan yang lancar sambil mengambil berat tentang alam sekitar dan kabin konsep itu direka dengan tujuan itu," kata Naib Presiden Eksekutif Kejuruteraan Airbus, Charles Champion. - Agensi

DUIT