09 Mac 2010

Mengatur tabiat makan anak


Tabiat mengambil makanan ringan di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan.


KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.

Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.

Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.

Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.

Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.

Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.

Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.

Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.

Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.

Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.

Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.

Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.

Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.

Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.

Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.

Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.

Kekal Aktif Walaupun Sudah Berusia


TUA sememangnya tidak boleh dielak tetapi persediaan menghadapi proses penuaan sepatutnya bermula sejak muda.


SEBUT saja perkataan tua, tergambar di fikiran kita kelibat lelaki atau wanita yang uzur, berpenyakit dan tidak mampu untuk melakukan kegiatan secara aktif. Bagi kebanyakan orang, tua bermakna penamat segala-galanya terutama dari sudut aktiviti fizikal termasuk seksual.

Tua juga diumpamakan hanya menunggu ajal dan sering disisihkan. Ini kerana istilah tua dikaitkan terus dengan penampilan tidak menarik, kendur, kedut, kerepot dan klimaksnya nyanyuk.

Malah lebih menyedihkan apabila caruman atau wang pencen hasil penat lelah semasa bekerja terpaksa dilaburkan untuk merawat pelbagai penyakit kronik yang mendatang ketika tua.

Datuk Dr. Hassan Yaacob menarik perhatian mengenai penuaan dan persepsi yang silap mengenainya terutama di kalangan rakyat Malaysia. Ketika ditemui beliau membangkitkan satu persoalan menarik iaitu mampukah manusia hidup sehingga usia 150 tahun?

Semestinya jawapannya mustahil. Terutamanya untuk hidup pada usia itu dalam keadaan mental serta fizikal yang masih boleh diharapkan. Biarpun hakikatnya ramai yang mahu hidup lama untuk menambah amal ibadat dan menebus dosa-dosa lama.

Dr. Hassan yang juga Profesor Pelawat di Res Institute for Traditional Medicine Toyama Med & Pharm University, Japan menegaskan, mengikut kajian, manusia sememangnya mampu menjangkau usia lebih panjang dalam keadaan sihat mental dan fizikal.

Pengalaman

Beliau berkongsi pengalaman menetap di sebuah perkampungan di Toyama, Jepun. Kekagumannya terserlah melihat warga tua pada usia 70 dan 80 tahun masih gigih mengusahakan sawah dan ladang. Kudrat dan penampilan wajah mereka tidak membayangkan usia.

"Masyarakat di sana mengamalkan gaya hidup berkualiti, tua sememangnya tidak boleh dielak tetapi persediaan menghadapi proses penuaan sepatutnya bermula sejak muda.

''Itu kekurangan dalam masyarakat kita terutama orang Melayu. Apabila usia meningkat, kita tidak peduli lagi tentang penjagaan diri, malas bersenam, tidak menjaga makan sehingga menjejaskan penampilan diri,'' ujar Dr. Hassan yang juga Pengerusi Eksekutif Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kajian pakar perubatan menunjukkan usia 40-an adalah peringkat umur di mana sifat keremajaan seseorang mula hilang sekali gus membuka tirai penuaan.

Bermula dari peringkat itu, proses yang sepatutnya berlaku adalah tidak membiarkan penuaan merosakkan diri seseorang sebaliknya pergerakan jam biologi itu mesti diterima secara positif.

Dalam erti kata lain, kepekaan terhadap kemerosotan kesihatan akibat penuaan boleh ditunda dan dihalang seperti mana penemuan pakar awet muda di Amerika Syarikat (AS).

Dr. Hassan yang terkenal dengan produk kesihatan berasaskan ekstrak gamat menggariskan lima faktor penentu muda atau tua seseorang bukan dari sudut usia.

l Sistem imunisasi semakin merosot

l Fungsi memori dan kognitif menurun

l Struktur otot sukar dibentuk semula dan jumlah lemak dalam badan bertambah

l Aktiviti seksual semakin berkurangan

l Kadar penyembuhan luka semakin lambat

Langkah memastikan kesemua faktor itu diterbalikkan mesti menjadi perhatian manusia yang ingin melalui usia tua secara aktif dan sihat.

Masyarakat Malaysia terutama orang Melayu mesti menukar kepercayaan bahawa tua penamat segala-galanya. Sebaliknya usia emas mesti dimanfaatkan sepenuhnya termasuk mengisi peluang melihat alam ciptaan Allah.

Amalan itu jelas dipraktikkan di kalangan masyarakat Eropah, Jepun dan Korea. Adalah pemandangan biasa pasangan warga tua dari negara-negara tersebut mengisi usia tua dengan aktiviti pelancongan.

Jika mereka boleh, mengapa kita tidak. Yang penting betulkan persepsi mengenai penuaan dan tingkatkan pengambilan suplemen kesihatan yang mampu merejuvanasi sistem sel-sel badan.


- Sumber dari Utusan Malaysia

Pemakaian Purdah

Ketua hak asasi Eropah pertikai haram purdah

STRASBOURG 8 Mac - Ketua hak asasi manusia bagi Eropah berpendapat pengharaman purdah dan tudung tidak akan membebaskan wanita daripada tertindas, malah langkah tersebut boleh menyebabkan mereka menjadi lebih tersisih dalam masyarakat.

Pesuruhjaya hak asasi manusia Majlis Eropah, Thomsas Hammarberg menggambarkan pengharaman purdah dan tudung sebagai pencabulan yang tidak wajar terhadap privasi peribadi.

Penyokong pengharaman itu tidak dapat membuktikan bahawa wanita yang memakai tudung lebih tertindas daripada wanita lain, atau pemakaian tudung dan purdah menjejaskan demokrasi atau moral orang ramai, kata beliau semalam.

"Mengharamkan purdah dan tudung tidak akan membebaskan wanita daripada tertindas, tetapi sebaliknya boleh menjadikan mereka bertambah tersisih dalam masyarakat Eropah," menurut pesuruhjaya itu.

Malah pengharaman mungkin juga melanggar Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia, katanya.

Beberapa negara Eropah termasuk Austria, Denmark dan Belanda menimbangkan langkah untuk mengharamkan pemakaian tudung.

Pada Januari lalu satu laporan Parlimen Perancis menggesa supaya purdah dan tudung diharamkan, dengan alasan wanita Islam yang menutup seluruh muka dan kepala mereka menimbulkan cabaran 'tidak wajar' terhadap nilai-nilai hidup Perancis.

Hammarberg berkata, dakwaan kononnya pemakaian tudung menjejaskan demokrasi, keselamatan awam atau moral orang ramai adalah tidak meyakinkan kerana bilangan wanita yang memakainya adalah kecil.

Hanya kira-kira 1,900 wanita Islam memakai tudung di Perancis, negara yang mempunyai masyarakat Islam terbesar di Eropah.

Kerajaan mana-mana negara patut mengelak daripada meluluskan undang-undang yang menetapkan cara penduduknya berpakaian, kata Hammarberg. - AFP


- Sumber dari Utusan Malaysia

Menantu Luarbiasa

Mamat ni amat lah tergila-gilakan Minah anak Pak Haji Dollah. Minah nie boleh lah tahan cun nya. Mamat ni pun tak kalah lah kacaknya. Ngurat-punya-ngurat tersangkutlah dua hati ini. Pak Haji Dollah bukanlah jenis yang memilih sangat orangnya, tambahan pulak si Mamat ini pandai berlakon, depan Pak Haji Dollah dia bukan main warak lagi, berkopiah dikepala. Selepas ditetapkan hari kahwinnya, maka lancar je jawab nikahnya si Mamat tadi. Biasalah malamnya agak lewat sikit keluarga Haji Dollah masuk tidurnya pasal dok berkemas rumah lepas kenduri siangnya. Pasangan Mamat dan Minah pun lewat jugak lah masuk tidurnya.

Selepas semuanya selesai dan semuanya nyenyak tidurnya, pagi besoknya Pak Haji Dollah pun mengejutkan semua isi rumah untuk solat subuh. Semua isi rumah pun bangun dan si Mamat dan Minah pun bangun mandi dan bersiap untuk mendirikan solat subuh. Tapi dek kerana lewat bangun, Si Mamat tak sempat bersolat jemaah dengan Pak Haji Dollah. Walaupun telah dikejutkan awal oleh isterinya Minah.

Maka, Pak Haji Dollah pun suruhlah menantunya tu solat sendirian ketika ahli keluarga lainnya sedang berwirid. Si Mamat pun qamat dan dirikanlah solat subuhnya. Selepas selesai solatnya dan memberi salam. Pak Haji Dollah pun menegur menantunya Si Mamat tadi, "Hai Mat kenapa solat subuh tiga rakaat?" lantas Si Mamat Jawab "eh.. ia ke? tiga rakaat? rasa-rasanya dah cukup empat rakaat tadi..."

Masya Allah.. mengucap panjang Pak Haji Dollah. Si Minah tersenyum sipu malu dengan gelagat suaminya. Sahla si Mamat ni tak pernah sembahyang subuh! Kantoi..kantoi...

http://gelihati.blogspot.com/

Menantu Hantu

Ada satu famili. Satu hari sedang menantu lelaki tengok TV, bapa mertua lalu di depan. Tiba-tiba bapa mertua rebah sambil memegang dada. Apa lagi, kelam-kabutlah si menantu. Isterinya dan emak mertuanya pun menerkam ke arah bapa mertua sambil pegang-pegang dada bapa mertua.

Bapa mertua tak bergerak, senyap saja. Bertambahlah gabra semua yang melihatnya. Emak mertua menyuruh menantu mengajar bapa mertua, yang di atas ribanya itu mengucap. Dia gabra, sampai isterinya pun tolak-tolak bahunya suruh cepat lakukan. Emak mertuanya ulangi lagi suruh dia ajar mengucap.

Dalam gabra itu, si menantu pun dekatkan mulutnya ke telinga bapa mertua sambil berkata: "Ma Rabbuka! (Siapa Tuhan kamu!).." Kuat juga dia sebut, hingga terkejut emak mertua bila mendengarnya.

Tiba-tiba bapa mertua tersedar dan terus berkata: "Bila masa kau jadi malaikat ni? Aku belum mati lagi la..".

Menu Harian Anak Anda?

Apa yang penting dalam menyediakan menu harian anak anda?

1. Makanan yang berkhasiat

* Masak sendiri makanan si manja anda.
* Pastikan ianya berkhasiat, bersih dan sihat.
* Elakkan daripada memberi si manja anda makanan ringan atau makanan segera yang kebanyakannya tidak berkhasiat.


2. Variasikan makanan

* Pelbagaikan menu si manja anda.
* Aturkan menu yang menarik untuknya.


3. Nutrien yang cukup

* Pastikan kandungan nutrien yang cukup untuk keperluan si manja anda.
* Jadikan piramid makanan sebagai panduan dalam menyediakan menu.


4. Hidangan yang menarik

* Gunakan sayuran atau buah-buahan yang berwarna-warni.
* Hiaskan makanan dengan cara yang kreatif untuk menarik perhatian si manja.


- Sumber dari SAJI

Makanan Berkhasiat Untuk Anak-anak

Berikan anak anda sarapan yang berkhasiat supaya mereka dapat memberi tumpuan penuh terhadap aktiviti yang dilakukan sepanjang hari.

1. MAKANAN BERKANJI

Khasiat: Membekalkan tenaga
Sumber: Nasi dan roti

Pelbagaikan menu sarapan si manja anda dengan menyediakan menu yang menarik. Sediakan sama ada roti bakar, sandwich, bubur nasi ataupun nasi goreng untuk mereka.

2. BIJIRIN SARAPAN PAGI

Khasiat: Mengandungi tenaga, vitamin dan mineral

Bijirin sarapan pagi merupakan menu yang mudah disediakan. Namun, anda harus peka terhadap kandungan pemakanannya. Pastikan ia tidak mengandungi terlalu banyak gula dan garam. Sekiranya anda kreatif, anda boleh campurkan bijirin ini bersama kismis dan hirisan buah-buahan. Pasti ianya akan lebih menarik.

3. SUSU DAN HASIL TENUSU

Khasiat: Kaya dengan kalsium
Sumber: Susu, dadih dan keju

Hasil tenusu penting untuk si manja anda dalam membentuk tulang dan gigi yang kuat dan sihat.

4. BUAH-BUAHAN

Khasiat: Kaya dengan vitamin

Pengambilan buah-buahan untuk sarapan pagi adalah baik untuk si manja anda. Seeloknya, anda sediakan jus buah-buahan segar untuk menarik perhatian mereka.

Melebatkan rambut

BAHAN-BAHAN:


3 sudu minyak sapi

Tuala


CARA-CARA:

1. Mula-mula, lumurkan minyak sapi ke seluruh kulit kepala

2. Kemudian, bungkus kepala dengan menggunakan tuala yang kering

3. Biarkan ia semalaman

4. Keesokannya, bilas rambut anda sehingga bersih

5. Untuk hasilnya, amalkan petua ini 2 minggu sekali

- Sumber dari SAJI

Menghilangkan bintik hitam



BAHAN-BAHAN:

1 biji telur (ambil putihnya)

1 sudu teh perahan limau nipis

Kapas muka


CARA-CARA:

1. Campurkan air perahan limau nipis ke dalam putih telur.

2. Kemudian, ambil beberapa helai kapas muka, dan rendamkan di dalam bancuhan tadi.

3. Setelah itu, lekatkan kapas tersebut pada dahi, hidung, pipi dan dagu.

4. Biarkan sehingga kapas kering.

5. Setelah kering, tarik kapas secara perlahan-lahan dan lihat hasilnya.


- Sumber dari SAJI

DUIT