04 Oktober 2011

Hotel di dalam hutan menanti pembeli


HOTEL Balsams Grand Resort di Dixville Notch, New Hampshire, Amerika Syarikat kini mencari pemilik baharu.


DIXVILLE NOTCH, New Hampshire - Sebuah hotel berusia hampir 150 tahun yang terletak di dalam hutan di sini kini menanti pembeli sejak ia mula berada dalam pasaran untuk dijual pada Julai tahun lalu.

Hotel Balsams Grand Resort yang ditutup pada 14 September lalu itu mempunyai padang golf dan boleh memuatkan 400 tetamu.

Ahli lembaga pengarah hotel itu kini mencari pemilik baharu yang boleh memodenkan hartanah tersebut kerana ia tidak pernah mengalami sebarang kerja-kerja pengubahsuaian besar sejak awal tahun 1900-an.

Hotel itu milik keluarga Tillotson sejak tahun 1954 yang terkenal kerana melabur dalam industri getah.

Namun, ia kini mengalami kerugian sejak beberapa tahun lalu.

Hotel itu menggunakan tenaga wap panas yang dijana oleh sebuah loji biojisim yang pernah digunakan untuk menjana kilang milik Tillotson yang terletak dekat dengan hotel tersebut.

"Ia adalah kos terbesar kami selain kos buruh, ia menyebabkan kami sukar bersaing sebagai sebuah hotel. Adalah sukar untuk mendapat pulangan modal apabila kos tenaga anda begitu tinggi," kata presiden dan pengurus besar hotel tersebut, Jeff McIver.

Hotel itu mengalami kerugian selama bertahun-tahun dengan aset yayasan keluarga tersebut digunakan untuk menampung kos operasinya. - Agensi

Belanja RM32.06 juta angkut batu 340 tan


SEORANG pekerja berdiri di depan bongkah batu seberat 340 tan yang diangkut ke Muzium Seni dari kuari Stone Valley di Riverside, California pada 22 September lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Muzium Seni Los Angeles yang membelanjakan sehingga AS$10 juta (RM32.06 juta) untuk membawa sebuah bongkah batu ke sebuah bangunannya di pusat bandar ini.

Bongkah batu seberat 340 tan itu akan dijadikan karya hasil seni oleh artis terkenal AS, Michael Heizer dalam pameran yang dikenali sebagai Levitated Mass.

Ia diangkut dari kuari Stone Valley dekat sini oleh sebuah kenderaan pengangkut yang mempunyai 196 tayar yang mampu membawa berat muatan 450,000 kilogram.

Seramai 60 orang termasuk pemandu, juruarah dan anggota polis terbabit dalam usaha memindahkan bongkah batu gergasi tersebut.- Agensi

DUIT