JIKA dikira, sudah berapa nyawa kanak-kanak terkorban angkara 'makhluk' Allah yang memang tidak layak lagi digelar manusia kerana tergamak melakukan tindakan luar kewarasan akal.
TIDAK BERSALAH...tangan kanak-kanak cedera akibat perbuatan ibu tirinya. Kes penderaan secara kejam sehingga membunuh kanak-kanak tidak berdosa sememangnya mengundang marah orang ramai apatah lagi perasaan mereka yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa korban.Itu belum lagi kisah seperti kes rogol, liwat dan penderaan seksual kanak-kanak oleh golongan bernafsu binatang yang pernah tercatat antara tragedi hitam angkara perbuatan 'laknat' yang sukar dimaafkan.
Penderaan meninggalkan kesan amat mendalam dalam diri mangsa, malah tiada ubat untuk merawat kesan trauma dialami mereka, tambahan pula pada usia yang masih mentah. Media massa sememangnya memandang besar isu ini dan sebab itu ia sering dilaporkan sebagai tajuk utama berita. Namun semakin luas liputan diberikan semakin menjadi-jadi pula seorang demi seorang didera. Lebih memilukan, kes penderaan yang berlaku sekarang tidak hanya meninggalkan kesan lebam, patah atau trauma semata-mata, malah kini ia lebih tragis kerana berakhir dengan kematian. Bulan lalu, kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafiah Humairah Sahari mencatat satu lagi sejarah hitam di negara ini apabila kanak-kanak semuda itu yang barangkali masih pelat percakapannya didera sehingga meninggal dunia. Allahyarham dilaporkan mengalami pendarahan otak serta mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan diterajang cukup-cukup oleh manusia bertopeng syaitan itu. Hasil bedah siasat mendapati arwah mengalami kecederaan teruk pada bahagian kulit kepalanya yang terkoyak akibat dipijak. Maha Suci Allah! Semoga si pelaku mendapat ganjaran setimpal dengan apa yang dilakukannya.
Manusia semakin kejam! Tidak dapat digambarkan bagaimana kanak-kanak berkenaan dipukul dan disepak terajang. Bagaimana mereka hendak mempertahankan diri sedangkan pendera adalah seorang lelaki dewasa yang 'kuat', tetapi tewas kepada rasukan syaitan. Boleh dikatakan ibu bapa kini tidak senang duduk kerana sering risau dengan pergerakan anak mereka kerana mereka sebenarnya terancam.
Lebih memburukkan keadaan, kebanyakan kes seumpama ini dilakukan mereka yang dikenali seperti rakan emak mangsa, bapa saudara atau sepupu. Nauzhubillah! Sifat marah contohnya, jika gagal dibendung dan dibiar menguasai diri pasti akan memburukkan keadaan.
Penyakit panas baran akan membawa seseorang itu ke dunia yang penuh dengan dosa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Neraka dilapisi oleh hal yang menyenangkan (hawa nafsu manusia), sedangkan syurga dilapisi hal yang tidak disukai manusia." (Hadis riwayat Bukhari) Kemarahan akan membutakan akal sehingga mendorong seseorang memukul sesiapa saja tanpa pertimbangan yang waras yang akhirnya membawa padah seperti kematian. Dr Muhammad Qutub menyatakan jahiliah abad ke-20 atau jahiliah moden adalah sifat yang mungkin berlaku dalam masyarakat lain pada zaman apa pun apabila mereka mempunyai beberapa ciri.
Antaranya tidak ada iman kepada Allah, tiada pelaksanaan hukum menurut apa yang diturunkan Allah, hadir pelbagai perkara thaghut yang mengajak manusia tidak beribadah dan tidak taat kepada perintah Allah serta sikap menjauhkan diri daripada agama Allah sehingga penyelewengan menjurus kepada nafsu manusia. Mungkin itulah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita yang langsung tidak mengendahkan larangan serta melanggar syariat Allah s.w.t secara jelas. Dalam suasana ibu bapa yang sibuk kerjaya masing-masing membuatkan mereka kurang masa yang berkualiti untuk dihabiskan bersama anak-anak. Namun atas faktor kesempitan dan kos sara hidup tinggi membuatkan mereka tiada pilihan selain terpaksa 'berjuang' bersama suami mencari rezeki tambahan. Walau sesibuk mana sekalipun ibu atau bapa dengan kerjaya masing-masing, anak tidak sepatutnya dipinggirkan. Mungkin sekarang ramai yang menggaji dan mengupah pengasuh untuk menjaga anak mereka, tetapi anak sebenarnya lebih memerlukan perhatian daripada kedua ibu bapa mereka sendiri.
Dunia kini sudah berubah kerana jika dulu mereka berani melepaskan anak bermain di taman permainan, tetapi keadaan itu tidak boleh lagi dilakukan kerana setiap orang yang berada di sekeliling kita boleh diragui tindak-tanduknya. Satu perkara menarik untuk dikongsi bersama adalah di United Kingdom di mana penderaan kanak-kanak memang tidak kedengaran kerana mereka cukup memandang berat isu berkenaan. Contohnya, jika kanak-kanak bawah 12 tahun ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa di rumah, ia satu kesalahan yang boleh didenda.
Malah, jiran juga memainkan peranan utama sekiranya mereka terdengar tangisan kanak-kanak lain daripada biasa, mereka akan segera menghubungi polis untuk menyiasat apa yang berlaku dalam rumah berkenaan. Menurut Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, perangai jahiliah kembali melanda masyarakat kita dalam bentuk yang lebih moden.
"Jika dulu jahiliah diukur dengan masyarakatnya yang menyembah berhala namun kini kita masyarakat dihambat dengan kehidupan penuh dengan kebendaan.
"Memang benar perilaku golongan yang sanggup membunuh, mendera serta merogol ini melambangkan sifat kemanusiaan yang semakin menipis," katanya.
Beliau berkata akibat desakan material itu manusia hidup dalam kekacauan yang akan membawa kehancuran.
"Masalah penderaan ini adalah berpunca daripada beberapa sebab antaranya masalah anak yang tidak sah taraf menyebabkan mereka hilang rasa tanggungjawab untuk menjaganya. "Kemudian, mereka mempunyai anak sendiri namun akibat tekanan dan desakan hidup, mereka menganggap anak adalah bebanan," katanya.
Mahmood Zuhdi berkata sebagai jalan penyelesaian masyarakat perlu membangunkan kembali nilai moral yang sering dilupakan.
"Masyarakat perlu mengamalkan kesederhanaan dan tidak terlalu membayangkan nilai kebendaan yang akan memisahkan mereka jauh daripada landasan yang diredai.
"Dalam dunia yang serba pantas ini tuntutan material terlalu diagungkan sehingga melupakan adat, kesopanan yang Islam anjurkan," katanya.
Institusi kekeluargaan pastinya akan kekal luhur jika agama menjadi tunjang utama dengan mengabdikan sepenuh tanggungjawab untuk memberi kebahagiaan kepada keluarga tercinta. Selain itu, pendedahan kepada kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan agar masyarakat kita sentiasa terdedah dengan program khusus serta peranan sebenar mereka dalam melahirkan rakyat yang seimbang rohani serta emosinya. Islam terbukti berjaya mengatur kehidupan umatnya dengan lengkap. Jika zaman silam kita hidup dipenuhi dengan dosa dan noda, jadi kita perlu kembali semula ke pangkal jalan dengan melakukan 'penghijrahan' kepada kehidupan baru yang lebih baik. Dengan keperibadian tinggi serta jiwa yang sihat saja dapat menghadapi segala kesulitan. Keperibadian yang memiliki roh agama pasti mampu menghadapi setiap masalah yang datang menimpa.
-Sumber dari Harian Metro