27 Oktober 2010

Sotong peramal Piala Dunia mati


GAMBAR fail menunjukkan Paul membuka tudung sebuah kotak plastik yang mengandungi kupang dan lambang bendera Jerman semasa membuat ramalan perlawanan Piala Dunia antara Jerman dengan England di akuarium Sea LIfe di bandar Oberhausen, Jerman pada 25 Jun lalu.


FRANKFURT - Seekor sotong kurita, Paul di Jerman yang menyebabkan para peminat bola sepak di seluruh dunia terpegun kerana ketepatannya meramalkan beberapa keputusan bola sepak Piala Dunia 2010 mati semasa berumur dua setengah tahun semalam.

Menurut seorang jurucakap akuarium Sea Life yang menempatkan haiwan tersebut, Ariane Vieregge, sotong yang pernah meramalkan Sepanyol sebagai juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu mati di dalam akuariumnya di bandar Oberhausen, barat Jerman pada waktu pagi.

Sotong itu kelihatan baik apabila diperiksa lewat kelmarin.

Namun, kata jurucakap itu, Paul gagal untuk meneruskan hidup dan ia mati akibat semula jadi.

"Kami semua mula menyayanginya dan akan merasai kehilangannya," kata pengurus akuarium itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.

Setakat ini, pihak pengurusan Sea Life masih belum memutuskan cara untuk memperingati penghuni yang paling terkenal dalam akuarium berkenaan.

Sotong itu pernah mendapat ancaman bunuh kerana ia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman pada pusingan kedua kejohanan Piala Dunia 2010.

"Kami mungkin memutuskan untuk menyediakan kubur kecil buat Paul dalam pekarangan akuarium kami dan mendirikan satu 'makam' sederhana yang kekal," kata pengurus tersebut.

Sotong itu menjadi selebriti semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung pada Jun dan Julai lalu di Afrika Selatan.

Paul bersara daripada membuat ramalan selepas perlawanan menentukan juara Piala Dunia antara skuad bola sepak Sepanyol dengan Belanda.

Selepas perlawanan itu berakhir, sotong itu kembali dengan peranan asal dengan membuatkan kanak-kanak gembira apabila melihat gelagatnya di dalam akuarium.

Paul mendapat perhatian ramai apabila ia berjaya meramalkan dengan tepat tujuh perlawanan melibatkan skuad bola sepak Jerman dalam kejohanan Piala Dunia itu.

Sotong itu memulakan ramalannya dengan membuka penutup salah satu daripada dua kotak plastik yang mengandungi kupang dan bendera skuad yang berentap dalam pertandingan.

Antara ramalan yang dibuat oleh Paul ialah kemenangan Jerman ke atas pasukan Argentina dan kekalahan Jerman ke atas Serbia.

Sotong itu turut meramalkan kemenangan Jerman ke atas England dan kekalahan Jerman ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir.

Selepas kemahiran meramalnya itu didedahkan, Paul telah dilantik menjadi duta mewakili England yang cuba menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia pada 2018.

Sotong itu dilahirkan di akuarium Weymouth Sea Life Centre, England pada 2008.

Kebolehan meramalkan itu kemudian menjadi ilham pemilik beberapa haiwan lain yang cuba membuktikan ia setanding dengan Paul.

Antara haiwan lain yang mengikut jejak langkah Paul ialah burung bayan di Singapura dan burung kakak tua Lorenzo di Hannover, Jerman. - Agensi

Pelacur diarah pakai jaket cerah


GAMBAR menunjukkan beberapa pelacur memakai jaket berwarna cerah di Els Alamus, Sepanyol baru-baru ini.


ELS ALAMUS - Pelacur jalanan di sebuah bandar di Sepanyol diarahkan memakai jaket cerah oleh polis bagi mengelakkan kemalangan jalan raya, lapor sebuah akhbar semalam.

Mereka mula memakai jaket keselamatan itu pada minggu lalu ekoran satu operasi yang dilakukan pasukan polis Catalan, Mossos d'Esquadra.

Dalam operasi itu, pekerja seks yang gagal mematuhi arahan tersebut di tempat mereka bekerja di lebuh raya LL-11 dekat sini, di Catalonia, timur laut Sepanyol akan disaman £35 (RM175).

Marah dengan tindakan polis, para pelacur berkenaan memakai jaket terang berwarna kuning itu bersama pakaian seksi mereka semasa bekerja walaupun kelihatan agak janggal.

Seorang jurucakap polis berkata, pihaknya bukan menjadikan pelacur sebagai sasaran kerana undang-undang lalu lintas itu melibatkan semua pejalan kaki.

Namun, sebelum ini, Datuk Bandar Els Alamus, Josep Maria Bea cuba mengusir pelacur-pelacur itu dari kawasan tersebut. - Agensi

Pemuda cipta rekod naiki papan selaju


MISCHO ERBAN bergerak dengan papan selajunya.


DENVER - Seorang pemain papan selaju memecahkan rekod dunia sendiri apabila dia menuruni bukit selaju 130.08 kilometer sejam (km/j) di sebuah lokasi rahsia di negeri Colorado, Amerika Syarikat (AS).

Dengan memakai sut kulit dan berbekalkan keberanian serta graviti, jaguh papan selaju berkenaan, Mischo Erban memecahkan rekodnya sendiri pada 30 September lalu.

Erban, 27, memecahkan rekodnya sebelum ini iaitu 113 km/j dalam percubaan tersebut yang diawasi oleh Persatuan Sukan Graviti Antarabangsa (IGSA).

Dia yang menetap di Vernon, Kanada, menaiki sebuah papan selaju panjang dengan posisi berdiri, kepala ke depan manakala kedua-dua tangannya berada di belakang bagi mencatat rekod baru tersebut.

Rekod dunia itu dicatat sepenuhnya dengan menggunakan graviti tanpa bantuan mekanikal. - Agensi

Skuter untuk menyelam di terumbu karang


GAMBAR menunjukkan seorang wanita menggunakan skuter selam ciptaan Andrew Sneath di sebuah kolam renang.


LONDON - Seorang pereka Britain, Andrew Sneath memperkenalkan skuter selam HydroBoB bagi meneroka kawasan terumbu karang, lapor sebuah akhbar semalam.

Mereka yang tidak pandai berenang boleh menaiki skuter itu untuk meneroka lokasi-lokasi pelancongan di seluruh dunia sehingga kedalaman 30 meter selepas mendengar penerangan mengenai operasinya selama 10 minit.

Pengguna HydroBOB tidak perlu memakai gogal, peralatan pernafasan atau sut selam.

Para pengguna itu boleh memakai cermin mata dan bercakap ketika berada di dalam air.

Sebuah kubah kaca memberi pandangan 180 darjah manakala kenderaan itu dilengkapi dengan tangki oksigen yang boleh digunakan selama sejam di dalam air.

Skuter itu dijana dengan menggunakan bateri 12 volt yang terletak di bawah tempat duduk yang membolehkannya bergerak selaju dua knot.

Setakat ini, Sneath menerusi syarikatnya, Hydrodome, mengeluarkan 350 HydroBoB untuk disewa di beberapa lokasi pelancongan di dunia termasuk Kepulauan Bahamas, Australia dan Tenerife. - Agensi

Kecoh Maria Ozawa lawat Indonesia




GAMBAR di Internet menunjukkan seorang wanita mirip Maria Ozawa menunggang sebuah motosikal yang didakwa milik polis Indonesia.JAKARTA - Desas-desus bintang porno Jepun, Maria Ozawa atau lebih popular dengan panggilan Miyabi berada di Indonesia didapati tidak benar, lapor akhbar Kompas semalam.

Kekecohan itu berlaku berdasarkan 10 gambar yang tersebar di Internet yang menunjukkan Miyabi sedang menjalani penggambaran sebuah filem di republik itu.

Gambar-gambar tersebut menunjukkan wanita mirip aktres lucah berdarah kacukan Jepun-Kanada itu seronok menjalani penggambaran di sebuah pusat beli-belah di sini.

Wanita mirip Miyabi itu, juga sempat bergambar bersama beberapa krew dan pelakon filem tersebut sebelum beraksi manja di atas motosikal peronda polis Indonesia.

Namun, dakwaan bahawa Miyabi berkunjung ke Indonesia disangkal oleh seorang penerbit filem tempatan, Ody Mulya Hidayat.

Ody yang pernah mengambil Miyabi berlakon dalam filem Menculik Miyabi memberitahu wartawan Kompas, dia memang mahu mengundang kedatangan bintang porno Asia tersebut, tetapi bukan dalam waktu terdekat.

Salah satu gambar yang tersebar di Internet menunjukkan dia sedang memeriksa hasil rakaman dari sebuah komputer riba. Ody mengaku bahawa foto yang beredar di Internet itu bukan merupakan gambar Miyabi.

"Itu bukan Miyabi. Itu orang lain. Ini memang strategi saya bikin heboh," kata Ody ketika dihubungi oleh pemberita Kompas.

Ody mengaku sengaja mencari pelakon yang mirip dengan Miyabi.

"Memang kami ada pelakon yang mirip (dengan Miyabi). Saya memang dapatkannya daripada ejen," jelasnya.

Menurutnya, pelakon mirip Miyabi itu didatangkan dari Taiwan.

"Tetapi, maaf, saya rahsiakan namanya," katanya.

Menurutnya, dia membuat satu ujian penggambaran dengan pelakon mirip Miyabi itu di Sentul, Indonesia pada minggu lalu. - Agensi

DUIT