01 Mac 2012

Menara komunikasi tertinggi siap dibina


GAMBAR yang dirakamkan kelmarin
menunjukkan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree di timur Tokyo.

TOKYO - Pembinaan menara komunikasi paling tinggi di dunia, Tokyo Sky Tree dengan ketinggian 634 meter di sini siap sepenuhnya semalam.

Pembinaan itu lewat dua bulan ekoran kejadian gempa dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun lalu yang menyebabkan kekurangan bahan binaan.

Tokyo Sky Tree turut diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi dunia selepas Burj Khalifa di Dubai yang setinggi 828 meter.

Ketua-ketua industri pelancongan di negara ini berharap menara setinggi 634 meter itu akan dapat menarik kehadiran ramai pelancong asing.

Bilangan pelancong asing menurun di Jepun selepas bencana tsunami dan krisis nuklear yang berlaku pada tahun lalu.

Pembinaan menara di timur Tokyo itu bermula pada Julai 2008 dan mengikut jadual asal ia sepatutnya siap dibina pada Disember tahun lalu.

Tokyo Sky Tree turut mengatasi Menara Canton di Guangzhou, China yang setinggi 600 meter dan Menara CN setinggi 553 meter di pusat bandar Toronto, Kanada.

Seramai 580,000 pekerja terlibat dalam pembinaan menara itu yang menelan belanja AS$806 juta (RM2.4 bilion). - AFP

Berlian milik bekas Permaisuri Perancis dilelong


GAMBAR menunjukkan sebutir batu berlian yang pernah dipakai bekas Permaisuri Perancis, Marie de Medici.

GENEVA, Switzerland - Firma lelongan antarabangsa, Sotheby akan melelong sebutir batu berlian yang pernah dipakai oleh bekas Permaisuri Perancis, Marie de Medici.

Berlian itu dipakai oleh Medici semasa hari pertabalannya sebagai Permaisuri Perancis pada 13 Mei 1610.

Batu berlian seberat 35 karat yang berbentuk seperti buah pear itu dijangka dilelong pada harga antara AS$2 juta (RM5.9 juta) hingga AS$4 juta (RM11.9 juta) pada 15 Mei depan di sini.

Ia pernah dibeli oleh seorang pengumpul berlian, Nicolas Harley de Sancy.

De Sancy membeli berlian tersebut di Istanbul, Turki pada akhir kurun ke-16.

Ekoran itu, berlian itu diberi nama Beau de Sancy.

Berlian tersebut telah beralih tangan dalam kalangan kerabat diraja Perancis, England, Prussia dan Belanda. - Agensi

DUIT