17 Januari 2011

Seksinya rambutku - Jessica Iskandar



Bukan mahu memuji sendiri, tetapi bagi pelakon filem Dealova, Jessica Iskandar, rambut adalah bahagian tubuh yang paling disukainya. Ini kerana bagi Jessica, keseksian dirinya terletak pada kecantikan rambut meski ramai yang mengatakan dia mempunyai bibir yang seksi.

"Ramai yang kata bibir saya seksi. Tetapi bagi saya yang paling seksi adalah rambut saya.

"Kalau nak tahu, dari kecil saya memang teringin nak berambut panjang, tetapi ibu bapa saya tak izinkan sebab ketika itu saya masih sekolah lagi.

"Sebab itulah, sekarang saya simpan sahaja rambut panjang sebab saya suka," katanya.

Dalam pada itu, Jessica yang sebelum ini pernah ditegur kerana tampil berimej seksi mengaku mahu mengekalkan imej sederhana bagi menghormati sensitiviti peminat.

Penangan muzik Korea


AKSI 4Minute yang bertenaga atas pentas bijak menggunakan kecantikan mereka untuk mencuri tumpuan penonton.

POPULARITI penyanyi dan pengaruh muzik Korea yang semakin menular kini bagaikan mencipta fenomena baru terhadap perubahan selera muzik anak muda tempatan.

Bermula dengan pengaruh drama bersiri dari negara yang cukup terkenal dengan makanan tradisi kimchi itu, kini rebakan muzik perlahan mahupun rancak ala techno dari negara itu seakan menjadi ‘kegilaan’ remaja tempatan.

Konsert yang julung kali diadakan iaitu DiGi Live K-pop Party 2011 yang berlangsung di Stadium Negara baru-baru ini berjaya menghimpunkan tiga artis Korea di atas pentas yang sama.

Mereka ialah kumpulan muzik yang semakin mendapat perhatian ramai iaitu Beast, 4Minute dan penyanyi solo, G.Na.

Konsert tersebut dibawakan oleh DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

Biarpun kurang memperoleh publisiti mahupun terpampang mana-mana kisah mereka di media cetak, ketiga-tiga artis tersebut bagaikan sudah cukup popular di kalangan peminat setia mereka.

Kesahihan ini dapat dilihat menerusi konsert tersebut di mana lebih 2,500 penonton tidak kira jantina dan peringkat usia hadir menyaksikannya.

Mengakui gementar, ini merupakan persembahan pertama bagi kumpulan 4Minute yang dianggotai oleh lima orang wanita cantik lagi seksi serta penyanyi yang selesa berimej rambut panjang, G.Na atau nama sebenarnya Gina Choi.

Ini berbeza dengan kumpulan Beast yang dianggotai oleh Yoon DuJun, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seap, Lee Ki Wang dan Sohn Dong Woon apabila ini merupakan persembahan kedua mereka di negara ini.

Kali pertama Beast tampil menghiburkan peminat di negara ini ialah pada 26 Jun tahun lalu iaitu pada Beast Shock Of The New Era di KL Live, Kuala Lumpur.

Pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur iaitu tujuh jam sebelum berlangsungnya konsert tersebut, G.Na memberitahu dia sebelum ini banyak mendengar tentang Malaysia.

“Saya dimaklumkan bahawa peminat muzik Korea ramai di Malaysia dan kedatangan saya ke negara ini tentunya memberi pengalaman terbaik. Sejujurnya, saya sangat gementar.

“Melihat peminat menjerit memanggil nama saya membuktikan sokongan mereka kepada saya dan ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada diri saya sendiri,” kata G.Na yang mengakui tidak sihat kerana perubahan cuaca.

G.Na pada konsert tersebut tampil membuka tirai persembahan dengan gaya ringkas berseluar jeans dan kemeja-T dilengkapi jaket menyanyikan tiga buah lagu hitnya iaitu I Will Get Lost, You Go Your Way, Take A Bow dan Supa Solo.

Menyorot persembahan G.Na pada malam tersebut, dia memenuhi masa selama 20 minit dengan nyanyian dan tarian yang memukau biarpun terpaksa berulang kali minum air kerana tidak sihat.

Gagal mengawal perasaan gugup barangkali sedikit mengganggu fokus G.Na pada malam tersebut kerana terlupa lirik ketika menyampaikan lagu Take A Bow.

Bagaimanapun, sikap jujur dengan penonton yang ditunjukkan oleh G.Na harus dipuji apabila dia segera memohon maaf kepada penonton kerana gagal mengingati lirik lagu tersebut.

Kumpulan lima wanita, 4Minute tampil dengan gaya ringkas dan berseluar pendek menyanyikan lima buah lagu termasuk Huh, I My Me Mine, Highlight, Music dan Hot Issues.

Menampilkan persembahan yang cukup menarik, 4Minute ternyata bijak menggunakan ruang pentas di kiri dan kanan menandakan ada interaksi dengan penonton di sebelah kanan dan kiri selain mereka yang berada di hadapan pentas.

“Malaysia bagus!” Itu kata-kata yang terlontar daripada mulut kelima-lima gadis jelita itu sebaik tampil di pentas ketika sesi sidang akhbar berlangsung.

Biarpun ini kali pertama mereka melangkahkan kaki ke negara ini, seboleh mungkin mereka cuba membiasakan diri dengan cuaca panas berbanding cuaca sejuk bersalji di negara mereka kini.

Tidak seperti G.Na yang gementar untuk melakukan persembahan.

4Minute memberitahu, mereka telah membuat persediaan dari segi nyanyian dan tarian khas untuk peminat mereka di negara ini.

Mereka dianggotai oleh Hyu Nah, Ji Hyun, Ga Yoon, Ji Yoon dan Soh Yeon.

“Kami suka pemandangan dan alam semulajadi serta peminat-peminat yang ada di sini. Harapan kami pada masa akan datang ada lebih banyak aktiviti di Malaysia,” kata salah seorang anggota 4Minute.

KTM perkenal Duke CKD

DUKE 690R dijual dengan harga RM48,915.
DUKE 690R dijual dengan harga RM48,915.
Model 690, 690R dapat sambutan peminat supermoto

KTM Malaysia, pengedar motosikal Kraftfahrzeuge Trunkenpolz Mattighofen atau lebih popular dengan nama KTM di negara ini, akan melancarkan model berkuasa tinggi Duke 690 dan Duke 690R pemasangan tempatan (CKD) susulan peningkatan populariti jenama motosikal Austria itu di kalangan peminat motosikal tempatan.

Sumber industri berkata, motosikal berkuasa tinggi dalam kategori Supermoto atau gabungan antara model motosikal jalan raya dan ‘motorcross’ itu akan dijual pada harga atas jalan RM44,800 seunit bagi Duke 690 dan RM48,915 bagi Duke 690R.
Harga itu masing-masing adalah 18.6 peratus atau RM10,272 dan 17.3 peratus atau RM10,262 daripada harga model diimport sepenuhnya (CBU) iaitu RM48,915 seunit bagi Duke 690 dan RM59,177 bagi Duke 690R.

“Supermoto berkuasa tinggi kini semakin mendapat tempat di kalangan peminat motosikal di negara ini, sekali gus membuka peluang kepada KTM Malaysia untuk mengembangkan lagi operasinya menerusi pengenalan beberapa model CBU.

“Buat permulaan model CKD Duke 690 dan Duke 690R diperkenalkan esok, sebelum model Duke 200 pada harga antara RM15,000 hingga RM18,000 seunit dijangka dilancarkan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Tinjauan Berita Harian di sebuah ejen jualan terlarisnya iaitu Welly World Cycle Sdn Bhd di Sungai Buloh, Selangor, mendapati tempahan bagi kedua model itu sudah pun di buka sejak sebulan lalu.
Bayaran muka yang dikenakan adalah RM15,100 seunit bagi Duke 690 dan RM16,415 seunit bagi Duke 690R dengan kadar faedah pinjaman 4.8 peratus.

Seorang jurujual syarikat berkenaan berkata, jumlah tempahan setakat ini amat memberangsangkan memandangkan populariti penyertaan KTM dalam Moto GP, motorcross serta rali terkenal seperti Paris-Dakar.

Mengenai kegusaran pengguna berhubung kesukaran mendapatkan alat ganti khususnya motosikal keluaran Eropah di negara ini, katanya, perkara itu kini bukan lagi menjadi masalah utama khususnya bagi motosikal KTM.

“Selain ejen jualan di seluruh negara, KTM juga kini memiliki pusat servis dan alat ganti di beberapa bandar utama di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

“Alat ganti KTM mudah didapati susulan sambutan memberangsangkan motosikal itu oleh pengguna di negara ini sejak 10 tahun lalu dan harganya juga amat berpatutan,” katanya.

Penari akui terima wang daripada PM Itali




ROM - Seorang remaja perempuan yang berusia 18 tahun, Karima El Mahroug mengaku Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi memberinya 7,000 euro (RM28,615) ketika dia menghadiri parti Hari Kekasih pada tahun lalu.

Menurutnya, dia menghadiri parti itu di sebuah vila milik Berlusconi tetapi menjelaskan mereka tidak melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, pendakwa raya di Milan melakukan siasatan berhubung dakwaan bahawa Berlusconi membayar gadis bawah umur itu untuk melakukan seks dan menggunakan kuasa yang ada untuk menutup kesalahan itu.

Remaja itu lebih dikenali sebagai Ruby berbanding nama asalnya merupakan penari di sebuah kelab malam.

Ketika sesi temu bual dengan stesen televisyen Sky TG24 kelmarin, Ruby mengaku bahawa dia menyamar sebagai wanita dewasa yang berumur 24 tahun ketika menghadiri parti itu.

Menjawab soalan kenapa Berlusconi memberinya wang itu, Ruby menjawab: "Saya baru sahaja sampai ke Milan pada ketika itu dan dia tahu kesusahan keluarga saya. Dia ingin membantu."

Menurut Ruby, Berlusconi tidak mengetahui bahawa ketika itu dia merupakan remaja bawah umur.

Pada Jumaat lalu, pendakwa raya menghantar notis saman untuk perdana menteri itu dan peguamnya hadir untuk disoal siasat berhubung isu tersebut. - AP

Pengasas Facebook pindah rumah


SEBUAH kereta Honda Acura berwarna merah milik Mark Zuckerberg (kiri) diletakkan di rumah sewanya di Palo Alto, California baru-baru ini.


PALO ALTO, Amerika Syarikat - Pengasas laman sosial popular Facebook, Mark Zuckerberg, 26, memilih untuk mengamalkan gaya hidup sederhana apabila dia berpindah ke rumah baru dua tingkat yang sederhana, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun kekayaan Zuckerberg dianggarkan AS$15.86 bilion (RM48.53 bilion) dia lebih selesa menyewa sebuah rumah bersama teman wanitanya, Priscilla Chan yang terletak di pinggir bandar dengan keadaan sekitar yang biasa sahaja.

Lokasi rumah baru Zuckerberg lebih dekat dengan pejabatnya.

Rumah sewa itu yang tidak mempunyai sistem kawalan kamera tertutup dianggarkan berharga kira-kira AS$2.38 juta (RM7.3 juta) dan mempunyai lima bilik berbanding rumah sewa lamanya sebelum ini yang mempunyai empat bilik.

Selain tinggal di kawasan penempatan biasa, Zuckerberg selesa menggunakan kenderaan lamanya, Honda Acura berwarna hitam yang bernilai kira-kira AS$20,628 (RM63,131).

Dia mengasaskan Facebook lapan tahun lalu.

Zuckerberg menggunakan kereta Honda itu selepas tawarannya untuk membeli sebuah kereta BMW milik jirannya ditolak. - Agensi

NASA dedah idea pesawat baru menjelang 2025


SYARIKAT Boeing mengemukakan idea pesawat seperti burung untuk Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat.


WASHINGTON - Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) mendedahkan gambar generasi baru pesawat penumpang pada 2025, lapor sebuah akhbar semalam.

Ia mendedahkan konsep reka bentuk bagi menggambarkan penerbangan yang mempunyai enjin tidak terlalu bising dan penggunaan tenaga yang efisen.

Tiga buah syarikat gergasi penerbangan, Lockheed Martin, Northrop Grumman dan The Boeing Company mengemukakan pelbagai reka bentuk itu pada hujung tahun lalu.

Ketiga-tiga syarikat itu memenangi kontrak daripada NASA untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan sekali gus menguji konsep tersebut pada tahun ini.

Reka bentuk itu dikemukakan selepas NASA mendedahkan bahawa ia mahu membina pesawat super yang lebih laju, lebih besar dan tidak bising selain penggunaan bahan bakar yang lebih efisen serta mesra alam.

Kini setiap syarikat tersebut akan meneroka, menguji dan membuat simulasi reka bentuk masing-masing dalam tahun ini dengan harapan NASA akan memilih salah satu ciptaan yang dikemukakan itu. - Agensi

DUIT