21 September 2011

Neymar nafi tinggalkan Santos


NEYMAR terus dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke Sepanyol.

SAO PAULO - Bintang muda Brazil, Neymar menafikan spekulasi yang mengaitkan dengan perpindahan lumayan ke Sepanyol.

Sebaliknya Neymar berkata, dia akan terus kekal bersama Santos.

Sebelum ini, Neymar, 19, sudah beberapa kali dikaitkan dengan dua kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.

"Saya tidak akan meninggalkan Santos (ketika pintu perpindahan dibuka pada Januari ini).

"Saya akan kekal di sini (Santos). Saya adalah seorang pemain Santos dan saya tidak berunding dengan sesiapa.

"Saya mempunyai rakan dan keluarga di sini. Saya juga gembira di sini, jadi tidak ada sebab untuk saya berpindah," katanya pada satu sidang media di sini semalam.

Pada awal Ogos lalu, media tempatan Sepanyol melaporkan, bintang muda Brazil itu akan berhij- rah ke sana pada Disember depan selepas aksi Kejohanan Kelab Dunia.

Teka-teki penghijrahan Neymar ke Eropah tercetus apabila di terang-terangan memuji Barcelona walaupun mengakui gembira di Santos dan membantu kelab itu menjuarai Piala Libertadores awal tahun ini.

Ketika ini, Neymar mempunyai kontrak bernilai hampir AS$2 juta (RM6.2 juta) setahun bersama Santos hingga 2015. - AFP

Ahli perniagaan didakwa atur gadis untuk PM Itali


CAROLONA MARCONI

ROM - Seorang ahli perniagaan Itali, Giampaolo Tarantini didakwa telah mengatur perjalanan untuk sejumlah wanita cantik dari Britain untuk menghadiri parti Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang wanita yang berasal dari Venezuela, Carolona Marconi, 33, yang sering muncul di televisyen dalam program-program televisyen terbitan sebuah stesen penyiaran milik Berlusconi juga dikatakan terlibat sama.

Maklumat itu didedahkan dalam fail yang mengandungi lebih 100,000 intipan ke atas perbualan telefon melibatkan Tarantini dengan Berlusconi.

Fail itu menyimpan maklumat tersebut ekoran kes mahkamah yang membicarakan tuduhan terhadap lapan orang yang disyaki membekalkan pelacur untuk parti-parti Berlusconi.

Berlusconi menganjurkan parti itu di kediamannya di Rom, Milan dan Sardinia.

Maklumat itu menunjukkan bahawa Tarantini membelanjakan kira-kira £80,000 (RM394,080) dalam tempoh sembilan bulan untuk gadis-gadis menghadiri 25 parti dengan membeli tiket penerbangan dari London dan Paris menuju ke Rom.

Selain tiket penerbangan, dia juga membayar pemandu untuk menjemput para gadis yang ditempatkan di hotel lima bintang.

Dia akan membayar wanita itu melebihi £4,000 (RM19,708) untuk menghabiskan waktu malam bersama Berlusconi selain memberi mereka barang kemas. - Agensi

Wanita bunuh buaya 317.51kg


CONNIE HANCOCK membunuh seekor buaya sepanjang
3.96 meter di Tasik George, Florida baru-baru ini.

MIAMI - Seorang wanita, Connie Hancock menangkap dan membunuh salah seekor buaya yang paling besar di negeri Florida, Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar semalam.

Connie yang berusia 27 tahun menghabiskan masa lebih sejam untuk menangkap buaya sepanjang 3.96 meter dan seberat 317.51 kilogram (kg) di Tasik George di Florida baru-baru ini.

Dia menangkap dan membunuh buaya itu semasa memburu bersama suaminya dengan menaiki sebuah bot.

Buaya itu dibunuh Connie dengan sejenis senjata dalam air selepas haiwan tersebut makan umpan yang dipasang mereka.

Haiwan itu dibenarkan untuk dibunuh di Florida.

Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar Florida menyatakan buaya paling besar yang pernah ditangkap pada tahun lalu di negeri itu ialah sepanjang 4.37 meter. - Agensi

DUIT