20 Jun 2011

Gaya duduk rakyat Thai jadi kegilaan di Facebook


RATUSAN orang menghantar gambar yang menunjukkan mereka duduk bersimpuh di pelbagai lokasi di laman Facebook.


BANGKOK - Gaya duduk tradisional rakyat Thailand kini menjadi kegilaan terbaharu dalam kalangan penduduk negara itu di laman Facebook, lapor akhbar Bangkok Post semalam.

Lebih 65,000 orang sudah mendaftarkan diri di laman Facebook yang mempromosikan kempen gaya duduk itu yang dikenali sebagai pubpeab sejak ia dilancarkan pada Jumaat lalu.

Gaya duduk itu menunjukkan seseorang individu itu duduk bersimpuh di pelbagai lokasi dengan gambar mereka disiarkan di laman berkenaan.

Antara gambar itu menunjukkan anggota-anggota pasukan bola keranjang Pattani di selatan Thai duduk bersimpuh di tengah gelanggang sukan tersebut.

Terdapat juga gambar yang menunjukkan dua lelaki duduk bersimpuh di sebuah stesen tren.

Pengarah Jabatan Pemantauan Kebudayaan Thailand, Ladda Tangsupachai memuji kempen tersebut dengan menyatakan generasi muda perlu banyak mempelajari gaya duduk tradisional itu. - Agensi

Jet hipersonik paling laju


GAMBAR yang tidak bertarikh menunjukkan lakaran artis pesawat hipersonik yang dirancang pembinaan oleh syarikat aeroangkasa, EADS.


LE BOURGET - Syarikat aeroangkasa, EADS yang membina pesawat Airbus semalam mendedahkan rancangan untuk membina pesawat penumpang hipersonik yang mengambil masa cuma dua setengah jam penerbangan dari Paris ke Tokyo.

Ketua Pegawai Teknikal EADS, Jean Botti berkata, pesawat tersebut mirip jet supersonik Concorde yang pernah digunakan oleh syarikat Air France.

Pesawat itu kini sedang dimajukan dengan kerjasama Jepun.

Ia dianggarkan boleh membawa di antara 50 hingga 100 penumpang.

Pembinaan pesawat itu dikenali sebagai projek pengangkutan kelajuan tinggi sifar pencemaran.

Bagaimanapun, Ketua EADS, Louis Gallois berkata, ia mengambil masa di antara 30 hingga 40 tahun untuk membina pesawat tersebut. - Reuters

DUIT