17 Februari 2011

Kadar sewa kediaman di Tokyo tertinggi di dunia


Pemandangan hartanah komersial dan kediaman Hong Kong yang merupakan salah satu negara mengenakan sewa kediaman tertinggi di dunia. – AFP

HONG KONG 16 Feb. – Kadar sewa kediaman di Tokyo adalah tertinggi di dunia bagi ekspatriat, diikuti Moscow dan Hong Kong yang mencatatkan peningkatan 22 peratus, satu kenaikan tertinggi, kata satu tinjauan di sini.

Menurut Laporan Perunding Sumber Manusia ECA Antarabangsa berkata, ekspatriat yang menetap di Jepun perlu membayar secara purata AS$4,352 sebulan untuk apartmen dua bilik pada tahun lalu, Moscow AS$3,500 dan Hong Kong AS$2,830.

Katanya, peningkatan nilai yen tertinggi dalam tempoh 15 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat pada November lalu, mengukuhkan kedudukan Tokyo di dalam senarai itu.

Pengarah Serantau ECA Asia, Lee Quane berkata, pergerakan mata wang negara matahari terbit itu boleh memberikan kesan yang besar kepada kos syarikat.

‘‘Tokyo adalah antaranya,’’ katanya.

Kadar sewa di Moscow susut 25 peratus pada 2009 selepas para pekerja asing meninggalkan negara itu berikutan krisis ekonomi tetapi kini mereka telah kembali semula.

‘‘Situasi ini menyebabkan bekalan kediaman semakin terhad mengakibatkan kadar sewa naik kira-kira 17 peratus kepada AS$3,500 sebulan,’’ ujarnya.

Hong Kong pula menyaksikan lonjakan enam anak tangga kepada kedudukan ketiga selepas kadar sewanya meningkat 22 peratus dalam perbandingan tahun ke tahun, manakala London dan Singapura, masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Di seluruh Asia, kadar sewa bagi apartmen dua bilik naik kira-kira tujuh peratus pada tahun lalu berbanding kejatuhan purata satu peratus di peringkat global.

‘‘Dua tahun lalu, kadar sewa Asia jatuh disebabkan kemelesetan dan pemulihan ekonomi telah menyebabkan harga melambung semula,’’ katanya.

Robert Kuok kekal individu terkaya di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Robert Kuok kekal sebagai individu terkaya di Malaysia dengan memiliki kekayaan sebanyak RM50.04 bilion, demikian menurut tinjauan terbaharu majalah Malaysian Business di sini.

Taikun telekomunikasi, T. Ananda Krishnan pula berada dalam kedudukan semakin selesa apabila berjaya merapatkan jurang kekayaan yang dimiliki bernilai RM45.78 bilion.

Nilai kekayaan Ananda meningkat hampir 70 peratus berikutan pertambahan nilai Maxis dan tindakannya menjadi tiga syarikatnya sebagai syarikat milik persendirian.

Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada pada kedudukan ketiga sebagai individu terkaya negara dengan kekayaan RM12.77 bilion diikuti Tan Sri Lee Shin Chen, Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd. dengan mengumpul kekayaan sebanyak RM12.74 bilion.

Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay kekal ditempat kelima dengan nilai harta RM10.89 bilion dan tempat keenam, Pengerusi Kumpulan Hong Leong, Tan Sri Quek Leng Chan, meningkat daripada kedudukan ketujuh dengan kekayaan RM7.09 bilion.

Satu-satunya individu Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary pula berada kedudukan ketujuh dengan nilai kekayaan RM8.84 bilion, peningkatan hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Balu Tan Sri Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua pula berada di kedudukan kelapan dengan anggaran kekayaannya RM7.43 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King, Pengerusi Rimbunan Hijau pula ditempat kesembilan dengan memiliki kekayaan sebanyak RM4.77 bilion dan hartawan Singapura, Ong Beng Seng didakwa berada pada kedudukan ke-10 dengan nilai aset RM3.98 bilion.

Beng Seng merampas kedudukan Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent apabila kekayaannya menyusut menyebabkan ia hanya sekadar berada di tempat ke-12.

Sementara itu, senarai individu-individu terkaya menerima tiga nama baru dengan kemasukan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum dan Pengerusi Eksekutif Supermax Corporation Bhd. , Datuk Seri Stanley Thai serta Naib Pengerusi Eksekutif Tan Chong Holdings Bhd., Datuk Tan Heng Chew.

Menurut Malaysian Business, jumlah kekayaan 40 individu terkaya di Malaysia meningkat lebih daripada 30 peratus didorong oleh peningkatan pasaran saham dan peluasan ekonomi.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kekayaan 40 individu itu berdasarkan nilai pegangan saham dalam syarikat-syarikat tersenarai sehingga 21 Januari lalu.

Jumlah kekayaan kesemua individu itu sekarang bernilai RM206.27 bilion sehingga 21 Januari 2011 berbanding RM156.7 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Keseluruhan pertambahan itu adalah seiring dengan kenaikan 20 peratus FBM KLCI sejak tinjauan terakhir.

Tambahnya, tahun ini menyaksikan bilangan individu terkaya lebih banyak iaitu sebanyak 27 orang, bertambah lima daripada 2010.

Kereta baru PM Britain kalis bom


CIRI-CIRI istimewa kereta rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron.

LONDON - Kereta Jaguar XJ X351 yang digunakan sebagai kenderaan rasmi Perdana Menteri Britain, David Cameron, dilengkapi pelbagai ciri istimewa bagi menghalang serangan pengganas, lapor sebuah akhbar semalam.

Banyak ciri tersebut dirahsiakan tetapi kereta mewah berharga £200,000 (RM977,309) itu dilaporkan memiliki perisai kalis bom, tayar masih boleh bergerak walaupun pancit, tingkap kalis peluru dan bekalan oksigen untuk digunakan dalam serangan kimia atau biologi.

Kereta itu juga dipercayai dilengkapi senjata yang boleh digunakan petugas keselamatan untuk membalas tembakan sekiranya mereka diserang.

Kereta XJ X351 itu mampu memecut selaju 264 kilometer sejam kerana ia dijana enjin petrol berkuasa tinggi dengan kapasiti 5.0 liter yang berupaya mengeluarkan 503 kuasa kuda (hp).

Kenderaan itu jauh lebih berkuasa berbanding Jaguar XJ standard yang cuma mengeluarkan 385 hp.

Satu kelemahan kereta tersebut adalah ia menggunakan banyak petrol iaitu 3.78 liter petrol untuk jarak 36.8 kilometer manakala pengisian tangki penuh memerlukan belanja sebanyak £104 (RM507).

- Agensi

Ketam labah-labah semakin membesar


KETAM labah-labah yang dipamerkan di Akuarium Sea Life Weymouth, Dorset memiliki berat 15 kilogram.

WEYMOUTH - Seekor ketam labah-labah gergasi seberat 15 kilogram semakin membesar selepas ia ditangkap oleh seorang nelayan di Heda, Teluk Suraga, barat daya Tokyo, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketam labah-labah Jepun itu pada mulanya mahu dijual untuk dijadikan hidangan makanan.

Bagaimanapun, nelayan itu menghubungi seorang ahli biologi yang bekerja dengan Akuarium Sea Life Weymouth di Britain, Robin James.

James pernah melawat kampung nelayan itu beberapa minggu sebelum ketam tersebut ditangkap.

Ahli biologi tersebut kemudian mengatur rancangan untuk menyelamatkan ketam labah-labah itu daripada dibunuh untuk dijadikan makanan.

Kakitangan di akuarium itu percaya bahawa ketam tersebut adalah yang paling besar pernah dipelihara di dunia.

Ketam labah-labah yang berusia 40 tahun itu kini dipamerkan di akuarium tersebut di Weymouth, Dorset, Britain sebelum ia dipindahkan ke Munich, Jerman. - Agensi

Penyu gergasi ganggu majlis perkahwinan


KATHRYN dan suaminya menolak penyu gergasi di Akuarium Sea Life di London pada Isnin lalu.

LONDON - Seekor penyu gergasi mengganggu satu majlis perkahwinan yang diadakan di dalam Akuarium Sea Life di sini pada Isnin lalu.

Insiden itu berlaku semasa pengantin lelaki menyarungkan cincin di jari pengantin wanita.

Seekor penyu gergasi itu kemudian menghampiri mereka sebelum ia menggigit gaun pengantin perempuan, Kathryn O'Connor.

Kathryn dan pengantin lelaki, James Oliver kemudian bertindak menolak penyu tersebut dengan tangan mereka.

Oliver kemudian meneruskan majlis perkahwinan dengan mendukung isterinya itu manakala seorang jurugambar merakamkan peristiwa melucukan itu. - Agensi

DUIT